Ads Top

Berwakaf Bukan Untuk Orang Lain, Untuk Kita

Sejak sedekad ini banyak institusi madrasah agama dan pusat tahfiz dibina bagi memenuhi permintaan masyarakat yang sedar akan kepentingan pendidikan agama dan hafazan Al-Quran.

Fenomena ini didasari oleh kesedaran masyarakat terhadap slogan ‘kembali kepada Al- Quran, kembali kepada ajaran Islam sebenar’ tatkala keadaan umat Islam kini dilanda pelbagai krisis akhlak, ideologi salah dan kelemahan umat Islam.

Akhir-akhir ini aliran tahfiz pula semakin berkembang pesat. Tidak dapat disangkal lagi, bahawa madrasah agama persendirian sejak dahulu telah memberi sumbangan besar kepada dakwah Islam dan pendidikan agama. Institusi madrasah agama dan pusat tahfiz juga telah terbukti melahirkan para agamawan, intelektual Islam dan generasi yang mempunyai sahsiah tinggi dan pengetahuan agama yang baik.

Pendidikan memerlukan kewangan, sekalipun institusi tersebut dibina atas kapasiti sumbangan individu tertentu yang mewakafkan harta seperti tanah dan lot bangunan. Perbelanjaan mengurus seperti emolumen guru dan staf, bil api air, pembekalan dan peralatan serta penyelengaraan peralatan pejabat seperti sewa beli mesin untuk tujuan pentadbiran masih diperlukan.

Justeru itu, institusi pendidikan agama seperti madrasah dan tahfiz persendirian juga memerlukan aliran dana tunai untuk membiayai kos pengurusan setiap bulan.

Senario semasa menyaksikan kebanyakan madrasah dan pusat tahfiz persendirian banyak berdiri diatas kaki sendiri beserta bantuan zakat dan bantuan per kapita mengikut kepala murid setahun sekali yang diberikan kerajaan (jika berdaftar).

Namun, peruntukan tersebut hanya dapat membantu institusi tersebut berbelanja sekadarnya bagi tujuan membayar bil utiliti dan perbelanjaan asas sahaja. Manakala emolumen guru dan staf diambil daripada yuran pelajar dan sumbangan orang ramai.

Oleh sebab itu, upah guru dan staf di institusi madrasah dan tahfiz persendirian adalah rendah. Manakala untuk pembangunan infrastruktur sekolah seperti pembinaan bilik darjah, asrama dan kantin, pula bergantung kepada kemampuan institusi terbabit.

Tentang Wakaf

Wakaf pendidikan bukanlah terma yang asing dalam terminologi wakaf. Masyarakat Islam sudah biasa dengan istilah wakaf. Namun, wakaf yang umumnya difahami oleh kebanyakkan masyarakat hanya berkaitan pembinaan masjid, surau dan tanah perkuburan.

Wakaf pendidikan adalah sejenis sumbangan yang diberikan dengan niat wakaf bertujuan membina atau menaik taraf institusi pendidikan agama.

Apabila berbicara mengenai wakaf ada dua perkara penting yang perlu diketahui. Wakaf boleh diwujudkan dalam dua bentuk. Pertama am dan kedua khusus.

Fasal 2 Enakmen Wakaf Selangor 1999 mendefinisikan wakaf am sebagai suatu wakaf diwujudkan bagi tujuan kebajikan atau khairat umum. Manakala, Wakaf Khusus diwujudkan bagi tujuan khusus. Wakaf Khusus adalah wakaf yang menyebut benefisiari dan tujuan harta wakaf itu diwakafkan seperti membuat masjid, kubur ataupun sekolah. Dalam hal ini wakaf pendidikan termasuk dalam jenis wakaf khusus.

Ulama dalam kalangan Hanafiyah mengharuskan wakaf dengan wang tunai dengan syarat wang tunai tersebut ditukar (istibdal iaitu penggantian) dengan benda yang tidak bergerak ‘Manqul Alaihi’ yang memungkinkan manfaat daripada benda tersebut kekal.

Pihak yang mengharuskannya melihat daripada sudut ‘Ijtihadi’ iaitu perkara wakaf adalah perkara ijtihad yang terbuka kepada ruang untuk disesuaikan dengan maslahah umat. Lagipun wang itu sendiri mempunyai ciri-ciri boleh menukarkan kepada ‘harta tidak boleh alih’.

Sebagai contoh, ada wakaf tunai yang dikumpul kemudian ditukarkan kepada ‘harta kekal’ seperti bangunan sekolah, asrama pelajar dan kemudahan-kemudahan fizikal lain.

Dalam hal ini, wakaf tunai seperti amalan sesetengah masyarakat hari ini – menyumbangkan wang sumbangan secara tunai atau memindahkan wang ke dalam akaun pentadbir institut tersebut adalah suatu bentuk wakaf juga. Dengan syarat wang tunai itu digunakan untuk membina kemudahan fizikal atau disebut ‘wakaf lot bangunan’.

Demikian itu, menepati ciri-ciri wakaf dan selari dengan pendapat ulamak dan fatwa kebangsaan yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam kali ke 77 pada tahun 2007.

Dari aspek pengurusan wakaf yang lebih efisen, ada juga wakaf tunai yang diselenggara oleh pihak ketiga iaitu dikenali sebagai pemegang amanah wakaf. Dalam hal pengagihan dan pentadbiran, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah dilantik bagi menguruskan wakaf wang tunai yang disumbangkan masyarakat atau individu dengan cara yang lebih teratur.

Wakaf tunai format ini sedikit berbeza dengan wakaf tunai secara terus yang disumbangkan kepada madrasah agama atau pusat tahfiz secara terus tanpa pihak ketiga.

Bagaimana Wakaf Diurus Pada Zaman Lampau

Suatu masa dahulu, Khalifah Al-Makmun telah mendirikan Baitul Hikmah yang terkenal sebagai perpustakaan terbesar dunia dengan harta dan pengurusan wakaf, kemudian diteruskan oleh Sultan Nizam Al Muluk.

Kemudian sebuah lembaga yang dikenali sebagai Madrasah Nizamiyah didirikan bagi merekrut pemikir-pemikir, ahli akademik dan falsafah serta ahli sains. Salah seorang daripada mereka adalah hujatul Islam Imam Al-Ghazali. Dengan dana wakaf juga beliau telah membina Madrasah Nizamiah di hampir seluruh wilayah Dinasti Saljuk dan mendirikan perpustakaan yang mempunyai 6000 jilid buku.

Diikuti pula oleh golongan alim ulamak, mereka juga turut mewakafkan sebahagian harta mereka dalam lapangan ilmiah. Sesetengah daripada mereka mewakafkan tanah dan hasil tanaman untuk membina surau dan sekolah. Mereka yang mempunyai kurang harta pula mewakafkan kitab, pakaian, makanan, dakwat dan alat tulis.

Wakaf Dapat Menjaga Kepentingan Umah

Seruan kepada melaksanakan wakaf tunai bagi tujuan kepentingan umah ini pernah disebut oleh seorang cendikiawan Islam Melayu, iaitu Profesor Diraja Ungku Aziz. Beliau berkata

“Kalaulah umat Islam mewakafkan seringgit sahaja sebulan, bayangkan jika ada enam juta orang Islam yang berbuat demikian, maka modal yang terkumpul sebulan adalah sebanyak enam juta ringgit”.

Hakikatnya apa yang kita wakafkan bukanlah untuk orang lain, tetapi untuk kita. Firman Allah dalam surah Al- Baqarah 261 ;

“Perumpamaan orang-orang yang mendermakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan bagi sesiapa yang dikehendaki. Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui”




No comments:

Powered by Blogger.