Ads Top

Belajar 7 Ilmu Kepimpinan Daripada Rasulullah

Jika disebut Muhammad SAW, pasti seluruh dunia akan tahu siapakah pemilik nama ini. Dari satu peradaban masyarakat Jahiliyyah yang penuh dengan hal-hal buruk seperti penyembahan berhala, peperangan dan penindasan, satu permata berharga telah dilahirkan. Kemudian baginda tumbuh sebagai seorang pemimpin yang akhirnya membawa cahaya kebenaran ke seluruh dunia.

Malah baginda pernah dicatat sebagai salah seorang tokoh yang berpengaruh mengatasi tokoh-tokoh lain oleh Michael Hart, dalam bukunya “The 100: A Ranking of The Most Influential Persons”.

Apakah rahsia kepimpinan yang ada pada baginda? Apakah yang boleh kita pelajari? Berikut antaranya:

#1- Mampu Memberi Kesan Kepada Orang Lain

Antara salah satu wibawa seorang pemimpin ialah kemampuan mereka memberi pengaruh yang baik kepada kehidupan orang lain. Dan hal ini ada pada diri baginda. Sejak baginda diutuskan sebagai pembawa kebenaran, pengaruhnya dirasakan oleh setiap lapisan orang – yang miskin, yang kaya, yang kecil, yang dewasa, yang tua, muda dan semuanya.

Pengaruhnya bukan sahaja dirasai oleh orang terdekat dengan baginda malah kepada dunia seluruhnya, bukan sahaja kepada mereka yang hidup pada zamannya malah setelah baginda meninggal dunia. Pengaruhnya mampu merentas masa, zaman dan keadaan.

Rasulullah berhijrah ke Madinah dengan hanya beberapa puluh orang namun kembali semula ke Mekah dengan rombongan lebih kurang 10,000 orang. Selama di Madinah, baginda telah banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat di sana, mengembangkan Madinah yang asalnya tempat yang tidak dikunjungi orang menjadi satu tempat yang dikunjungi oleh para pedagang kerana kemakmurannya.

#2- Kemahiran Untuk Memimpin Berkembang Setiap Hari

Rasulullah SAW bermula sebagai manusia biasa, namun tidak ada satu masa pun baginda berhenti berdakwah malah terus menyebarkan mesej tauhid. Baginda bermula dalam keadaan senyap-senyap dengan pengikut yang tidak ramai, tetapi dengan berlalunya masa, pengikut baginda semakin bertambah dan sokongan yang diterima semakin kuat.

Antara doa baginda yang dikabulkan oleh Allah yang membuatkan Islam semakin kuat ialah dengan keislaman Saidina Umar Al-Khattab yang sebelumnya merupakan orang kuat kaum Quraisy.

Maka satu perkara yang perlu difahami ialah seorang pemimpin itu menjadi pemimpin dengan cabaran dan halangan yang dilalui setiap hari. Pengalaman telah mampu menajam dan meneguhkan hati.

#3- Kepimpinan Sebenar Berkait Rapat Dengan Kekuatan Hubungan Dengan Pencipta

Rasulullah SAW seorang pemimpin, pendidik, serta pahlawan yang penuh dengan tugasan dan urusan di siang hari, namun malamnya diperuntukkan khusus buat pencipta.

Daripada Aisyah RA, beliau berkata:

كَانَ يُصَلِّي إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، كَانَتْ تِلْكَ صَلاَتَهُ يَسْجُدُ السَّجْدَةَ مِنْ ذَلِكَ قَدْرَ مَا يَقْرَأُ أَحَدُكُمْ خَمْسِينَ آيَةً، قَبْلَ أَنْ يَرْفَعَ رَأْسَهُ، وَيَرْكَعُ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الفَجْرِ، ثُمَّ يَضْطَجِعُ عَلَى شِقِّهِ الأَيْمَنِ حَتَّى يَأْتِيَهُ المُنَادِي لِلصَّلاَةِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW solat sebanyak sebelas rakaat, kadar satu sujud Nabi SAW adalah selama tempoh seseorang itu membaca 50 ayat sebelum Baginda SAW mengangkat kepalanya. Nabi SAW rukuk (solat) sebanyak dua rakaat sebelum solat Subuh. Kemudian Baginda SAW berbaring pada sebelah kanan sehingga didirikan solat”. (Riwayat al-Bukhari – 1123, Hadis Sahih)

Maka tidak pelik jika baginda mampu melakukan banyak perkara, kerana kekuatan dalaman untuk menguruskan urusan yang begitu banyak itu diperoleh daripada hubungan yang kuat dengan Tuhan. Keupayaan dan kudrat yang diperoleh tidak lain adalah daripada pemberian Allah jua.

#4- Tahu Bila Masa Yang Tepat Untuk Bertindak

Apabila Rasulullah SAW pertama kali membuat pengumuman di atas bukit tentang kebenaran Islam, baginda tahu itulah masa yang tepat untuk baginda ‘mencari’ pendokong Islam yang akan setia bersama baginda.

Apabila ada utusan daripada Madinah yang datang dan menjemput baginda untuk menyelesaikan masalah di Madinah, baginda tahu itu saat yang tepat untuk meluaskan pengaruh Islam dengan lebih jauh.

Saat rombongan yang dibawa untuk memasuki Mekah dihalang daripada memasuki Mekah, baginda tahu itu masa yang sesuai untuk memeterai perjanjian Hudaibiyyah yang akhirnya akan membawa keuntungan kepada Islam dalam jangka masa panjang.

Apabila perjanjian Hudaibiyyah dicerobohi, baginda tahu itu saat yang sesuai untuk mengumpulkan seluruh umat Islam untuk masuk ke Mekah.

Segalanya tentang masa yang tepat dan sesuai. Persoalannya, bagaimana baginda sebagai pemimpin tahu itulah masa yang sesuai? Mari kita ke point yang seterusnya.

#5- Pemimpin Yang Mendapat Petunjuk Dan Bantuan Daripada Allah

Setiap tindakan Rasulullah dipandu oleh petunjuk dan bantuan daripada Allah. Saat Allah menurunkan wahyu dan bantuan, maka khabar itu disebarkan kepada umat Islam agar hati mereka menjadi lebih teguh. Malah setiap keputusan yang dibuat pula menurut apa yang diberitahu oleh Allah melalui wahyu.

“Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Anfal 8:10)

“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri” (Surah Ali-Imran
3:160)

Jika Rasulullah dulu mendapat wahyu dan petunjuk untuk melakukan sesuatu, bagaimana pula kita sekarang? Tidak lain tidak bukan, pastilah dengan doa dan solat istikharah, Allah akan memandu kita dalam melakukan keputusan yang terbaik.

#6- Memberi Nilai Kepada Hidup Orang Lain

Antara golongan yang awal memeluk Islam terdiri daripada kalangan orang yang tertindas seperti fakir miskin, orang tua serta mereka yang tidak mempunyai apa-apa pangkat dalam masyarakat. Datangnya Rasulullah dalam hidup mereka memberi ‘harapan’ kembali tentang kehidupan.

Rasulullah memberi makna serta nilai dalam kehidupan orang lain. Orang mula percaya bahawa sekalipun mereka tertindas, namun darjat mereka lebih tinggi jika mereka beriman dan percaya kepada Tuhan. Sekalipun mereka tidak disanjung manusia, namun dengan Islam dan Iman, mereka menjadi mulia.

Nilai ini, jika difahami, adalah salah satu kunci yang mampu menarik hati orang-orang yang mahukan ketenteraman dan perlindungan di bawah naungan Islam.

#7- Berpandangan Jauh Dan Tidak Dilemahkan Dengan Cabaran Yang Ada

Nilai yang ketujuh ini mampu dilihat ketika Rasulullah SAW menghantar Mus’ab menyebarkan dakwah ke Madinah lama sebelum mereka melakukan hijrah. Rasulullah tahu bahawa tindakan itu akan membantu membina tapak awal di Madinah sebelum mereka tiba.

Ketika Perjanjian Hudaibiyyah pula, saat sahabat-sahabat menentang keputusan baginda kerana perjanjian tersebut dilihat menguntungkan pihak kafir Quraysh, namun baginda tetap memeterai perjanjian tersebut kerana melihat perkara yang dapat menguntungkan Islam dalam jangka masa panjang.

Contohnya, mereka yang melarikan diri dari Mekah ke Madinah, perlu dihantar pulang semula ke Mekah (hikmahnya orang yang melarikan diri ini dapat pulang dan menyebarkan hal baik yang mereka alami sewaktu di Madinah), manakala orang Madinah yang datang ke Mekah tidak perlu dipulangkan ke Madinah (hikmahnya, mereka dapat tinggal di sana dan menyebarkan dakwah).

Inilah satu lagi nilai kepemimpinan yang harus ada – iaitu mampu melihat keuntungan jauh ke depan, lebih-lebih lagi keuntungan kepada agama, malah keputusan pula tidak dilemahkan dengan halangan atau kesukaran sementara yang dialami.

Kesimpulan

Banyak lagi sebenarnya ciri-ciri kepimpinan Rasulullah yang menarik untuk kita pelajari. Namun, di sebalik semua kelebihan dan ciri kepimpinan yang ada pada baginda ini, satu hal yang dilihat menjadi tunjang kepada semua hal yang berkaitan kepimpinan ialah iman yang benar-benar terpasak dalam diri serta kefahaman yang jitu tentang fungsi dan peranan diri dalam kehidupan.

Baginda tahu bahawa baginda adalah utusan Tuhan yang bertanggungjawab menyebarkan pesanan dan wahyu yang telah diturunkan. Maka apa pula peranan dan fungsi kita dalam kehidupan yang telah Allah berikan?




No comments:

Powered by Blogger.