Ads Top

Bacalah Al-Quran Dengan Tartil

Tajwid bermaksud memperelokkan dan memperindahkan. Dari segi istilah pula ia membawa maksud mengeluarkan huruf dari tempatnya dengan memberikan hak sifat-sifat yang dimiliki.
Imam Ibnul Jazari menjelaskan;

الإتيان بالقراءة مجودة بالألفاظ بريئة من الرداءة في النطق ومعناه انتهاء الغاية في التصحيح وبلوغ النهاية في التحسين

Maksud: Tajwid adalah membaca dengan membaguskan pelafalannya (sebutan) , yang terhindar dari keburukan pelafalan (sebutan) dan keburukan maknanya, serta membaca dengan maksimal tingkat kebenarannya dan kebagusannya.
(An Nasyr fil Qira’at Al ‘Asyr, 1/210)

Ringkasnya, ilmu tajwid merupakan ilmu untuk membaca ayat al-Quran dengan baik dan indah untuk mengelakkan kesalahan dalam bacaan.

Hukum mempelajari ilmu tajwid ialah fardhu kifayah namun hukum mengamalkannya dalam bacaan adalah fardhu ain.

Tujuan utama mempelajari ilmu tajwid adalah untuk menjaga kesucian ayat al-Quran itu dengan baik dan supaya setiap ayat al-Quran itu betul maksudnya. Ia juga untuk melancarkan bacaan al-Quran dengan jelas dan baik.

أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan Tartil
(Surah al-Muzzammil, 73:4)

Allah menyuruh kita membaca kalam-kalam sucinya secara tartil, iaitu dengan baik dan bacaan yang indah. Jangan kita main-main dengan bacaan al-Quran kerana bimbang maksud asalnya boleh terjejas sehingga membawa kepada maksud lain.
Terdapat dua kesalahan dalam bacaan al-Quran yang sering dilakukan oleh pembaca, iaitu:

#1 – Kesalahan Bacaan Nyata

Kesalahan secara nyata ini selalunya dilakukan dengan salah menyebut huruf atau baris sehingga membawa kepada perubahan makna atau tidak. Kesalahan ini dihukumkan haram dan berdosa serta tidak sah solatnya.

#2 – Kesalahan Bacaan Tersembunyi

Kesalahan ini tidak membawa kepada perubahan makna seperti meninggalkan dengung. Kesalahan ini tidak mencacatkan solat dan tidak berdosa namun para pembaca perlulah meninggalkannya.

Tingkatan Bacaan Al-Quran

Terdapat beberapa tingkatan dalam bacaan al-Quran. Tingkatan ini bermula dengan al-tahqiq, al-tartil, al-tadwir dan al-Hadr.

#1 – Al-Tahqiq

Tingkatan ini merupakan yang pertama di saat kita mula-mula ingin belajar membaca al-Quran. Sudah pasti seorang guru al-Quran itu akan mengajar kita membaca dengan perlahan dan satu-satu ayat supaya kita mudah memahami setiap tanda dan perkataan di dalam al-Quran.

#2 – Al-Tartil

Ia merupakan tingkatan yang kedua, iaitu membaca al-Quran dengan perlahan dan tenang. Setiap huruf dilafazkan satu persatu dengan jelas dan tepat berdasarkan makhraj dan sifatnya serta terpelihara bacaan panjang pendeknya. Pembaca juga selalunya akan cuba memahami bacaannya. Bacaan ini adalah digalakkan.

#3 – Al-Tadwir

Bacaan ini selalunya tidak dibaca dengan melebih-lebih. Ia selalu dibaca oleh imam dalam solat. Ia terkenal dengan bacaan yang sederhana. Tidak terlalu cepat dan tidak terlalu perlahan. Bacaan ini berada di tengah-tengah antara al-Tartil dan al-Hadr.

#4 – Al-Hadr

Ia adalah tingkatan bacaan al-Quran yang paling cepat dengan masih lagi menjaga hukum tajwid. Ia biasa dibaca oleh golongan penghafaz al-Quran, namun masih mengekalkan makna dan gaya bacaannya.

Kesimpulan

Natijahnya, kita perlu mejaga kesucian bacaan ayat al-Quran dengan baik. Al-Quran merupakan kalam Allah yang paling indah dan tiada sesiapapun yang boleh mencipta bahasa dan ayat yang indah seperti itu lagi.

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ أُولَـٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Maksud: Orang-orang yang Kami berikan kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (Surah al-Baqara, 2:121)

Muslim.Or.Id




No comments:

Powered by Blogger.