Ads Top

3 Langkah Yang Boleh Dilakukan Untuk Mempunyai Interaksi Yang Lebih Sihat

“…Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya)” (Surah Al-Furqan 25:20)”

Kita mungkin seorang yang sangat fokus, buat kerja dengan baik, seorang yang sistematik, kemas dan berstruktur, namun jika komunikasi dengan orang lain tidak berjalan dengan baik, maka ia juga dapat memberi kesan kepada kerja-kerja yang lain. Allah berkata dalam firmanNya di atas bahawa ujian dan konflik memang suatu yang akan sentiasa berlaku dalam perhubungan.

Maka kali ini, saya akan menghurai dan menerangkan tentang tiga kaedah interaksi yang telah diinspirasikan daripada perkongsian Yasmin Essa di ProductiveMuslim.com.

#1- Tidak Bersetuju Dalam Cara Yang Berhemah

Konflik dan percanggahan pendapat adalah normal dalam kehidupan seharian. Ia bukan suatu yang perlu dipandang sebagai perkara yang negatif setiap masa. Apabila saya menyebut begini, tidaklah bermakna ia perlu disambut dengan senyum manis atau senang hati. Apabila konflik dan perdebatan terjadi, sudah pasti hati menjadi panas kerana masing-masing ingin menegakkan pendapat sendiri.

Tetapi apa yang perlu diingati apabila konflik terjadi ialah; “Adakah saya inginkan perdebatan yang sihat atau yang tidak sihat – yang dapat membuatkan masalah jadi semakin besar”

Apa makna perdebatan yang sihat? Ia adalah situasi di mana pihak-pihak yang terlibat memegang prinsip bahawa setiap orang yang terlibat perlu didengari dan dihormati. Sekalipun berbeza pendapat, ia tidak menjadikan seseorang itu kurang ajar dan biadab. Jika titik temu di antara semua pendapat itu tidak diperoleh, maka berlapang dada lah dengan pendapat masing-masing.

Dan usah risau, biasanya selepas selesai perbincangan kita akan melakukan refleksi ke atas pendapat diri sendiri dan pendapat orang lain – dan mungkin – dalam tidak sedar, seseorang sebenarnya bersetuju meskipun tidak disebut di mulut tetapi mereka mengiyakan dalam hati.

#2- Bertanggungjawab Dengan Apa Yang Dilakukan

Kita mempunyai ruang untuk membuat pilihan maka setiap daripada kita seharusnya bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan oleh diri sendiri. Bahkan di akhirat nanti pun, tidak ada orang lain yang mampu kita salahkan.

Bagaimana untuk membina sikap bertanggungjawab:

– Jangan menyalahkan orang lain jika mereka menegur anda dan memberitahu kesalahan yang anda lakukan
– Namun jangan membiarkan sehingga orang mengambil kesempatan terhadap anda
– Letakkan diri anda di tempat mereka yang menegur

Untuk memahami hal ini dengan lebih jelas, saya akan memberikan contoh situasi:

Kurang Mempraktikkan Sikap Bertanggungjawab (Perbualan Di Antara Rakan Sekerja)

A: “Kenapa awak beritahu orang lain tentang masalah saya, saya dah minta awak janji. Saya malu bila semua orang tahu”

B: “Alah, benda kecil je tu. Rileks la. Kenapa sensitif sangat”

(B menganggap ia suatu yang kecil sedangkan A tidak, malah menjadikan isu ini personal dengan mengatakan A sensitif, sedangkan isu utama ialah kesalahan B memberitahu rahsia A kepada orang lain)

Mempraktikkan Sikap Bertanggungjawab (Perbualan Antara Rakan Sekerja)

A: “Kenapa awak beritahu orang lain tentang masalah saya, saya dah minta awak janji. Saya malu bila semua orang tahu”

B: “Saya minta maaf. Saya betul-betul terlepas cakap, saya tak sedar. Saya tahu ini salah saya. Apa yang boleh saya buat untuk buat awak rasa okay?”

(B mengakui kesalahan yang dilakukan. Dia bertanggungjawab dengan tindakan sendiri dan tidak menyalahkan A. Dia memahami bahawa A patut untuk berasa malu dan sedih kerana rahsianya sudah diketahui orang).

#3- Mindset Bahawa Anda Adalah Satu Kumpulan

Apabila seseorang menimbulkan isu untuk dibincangkan, bukanlah bermakna mereka ingin ‘menyerang’ anda tetapi mereka sebenarnya ingin ‘menyerang masalah’ yang berlaku. Dalam erti kata lain, mereka prihatin dengan perkara yang nampak perlu diperbaiki.

Contoh yang diberikan di bawah adalah apabila anda bekerja dalam satu kumpulan – ia boleh diguna pakai dalam apa jua situasi – sebagai pelajar atau pekerja.

Mindset Yang Tidak Sihat Dan Tidak Bertindak Sebagai Satu Kumpulan

A: “Saya yang cadangkan perkara ni dibuat dari awal, dan saya ketua. Saya ada hak yang lebih untuk bersuara”

B: “Tapi saya juga sebahagian daripada kumpulan ni dan saya juga ada hak untuk beri pendapat”

A: “Keputusan saya muktamad!”

Mindset Yang Sihat Sebagai Satu Kumpulan

A: “Saya dah baca idea yang awak terangkan melalui whatsapp. Saya pun ada idea lain. Mungkin kita boleh jumpa untuk bincang dan capai kata sepakat sebagai satu kumpulan”

B: “Saya pun rasa kita patut jumpa dan bincang dengan lebih jelas. Mungkin saya boleh buat analisa dulu adakah ia sesuai dengan objektif dan hasil yang kita nak”

Jika anda mengalami kesukaran untuk mempraktikkan cadangan yang diberikan, ia adalah suatu yang normal kerana sikap dan perbuatan seseorang tidak berubah dalam masa sehari. Ia memerlukan latihan dan perlu dibiasakan. Pada awalnya, mungkin ia kelihatan semata-mata sebagai satu ‘teknik’ dalam komunikasi, tetapi lama-kelamaan ia akan menjadi tabiat yang neutral dan sihat dalam apa jua interaksi.




No comments:

Powered by Blogger.