Ragu Baca Al-Fatihah Atau Tidak, Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Makmum Muafik (Bahagian 2)
Dalam perkongsian yang lalu, penulis telah menerangkan dengan panjang lebar apa maksud makmum muafik, hukum dan contoh situasi yang berlaku sewaktu solat bersama imam. Sebaiknya untuk memahami masalah yang akan dibincangkan di bawah, para pembaca dapat membaca dahulu perkongsian yang lalu. (Baca: Persoalan Tentang Makmum Muafik)
Pada kali ini, penulis akan berkongsi pula permasalahan yang kerap berlaku dalam solat jemaah. Berikut antaranya:
#1- Situasi Pertama
Situasi pertama ini bagi seorang makmum muafik yang lambat dalam bacaan kerana kejadian asalnya memang begitu (Contoh: gagap, sukar menyebut dan lain-lain). Maka apabila imam rukuk, dan makmum masih belum menghabiskan bacaan Al-Fatihah, makmum tetap perlu menghabiskan bacaan dan dibenarkan lambat mengikut imam sebanyak tiga rukun yang panjang.
Makmum dikira mendapat rakaat tersebut jika sempat menghabiskan bacaan Al-Fatihah dan rukuk sebelum imam masuk ke rukun panjang yang keempat (Rukun panjang ke empat: Bangun untuk rakaat lain atau tahiyat akhir jika sudah dalam rakaat terakhir).
#2- Situasi Kedua
Situasi kedua ini bagi makmum muafik yang terlupa membaca Surah Al-Fatihah. Ulama bersepakat bahawa dalam hal ini, makmum perlu membaca Surah Al-Fatihah dan dibenarkan lambat mengikut imam sebanyak tiga rukun panjang. Makmum dikira mendapat rakaat tersebut jika imam belum masuk ke rukun panjang yang keempat.
#3- Situasi Ketiga
Situasi ketiga ini bagi makmum yang syak sama ada dia membaca Surah Al-Fatihah atau tidak dan dia belum rukuk bersama imam. Makmum ini perlu membaca semula Al-Fatihah sehingga habis dan dimaafkan ketinggalan tiga rukun yang panjang. Makmum dikira mendapat rakaat tersebut jika imam belum masuk ke rukun panjang yang keempat.
#4- Situasi Keempat
Situasi keempat ini bagi makmum yang terlupa membaca surah Al-Fatihah atau syak dan telah rukuk bersama imam. Ulamak bersepakat bahawa dia tidak boleh kembali mengulang semula bacaan Al-Fatihah bahkan wajib terus mengikut imam. Namun makmum tersebut dikira tidak mendapa rakaat tersebut dan perlu menambah satu rakaat setelah imam memberi salam kerana rakaat tadi tidak dikira.
#5- Situasi Kelima
Situasi kelima ini bagi makmum yang terlupa membaca Surah Al-Fatihah atau syak membacanya atau tidak, dan telah rukuk sebelum imam rukuk. Dalam hal ini, ulama bersepakat bahawa makmum wajib kembali berdiri dan menghabiskan bacaan Al-Fatihah. Makmum juga dimaafkan kerana ketinggalan tiga rukun yang panjang bersama imam kerana menghabiskan bacaan Al-Fatihahnya. Makmum ini dikira mendapat rakaat tersebut jika sempat rukuk sebelum imam masuk ke rukun panjang yang keempat.
#6- Situasi Keenam
Situasi ini bagi makmum muafik yang sibuk membaca doa iftitah sehingga terlambat membaca Al-Fatihah walhal imam sudah rukuk. Dalam situasi ini ulamak bersepakat makmum wajib menghabiskan bacaan Al-Fatihahnya. Makmum dimaafkan kerana ketinggalan tiga rukun yang panjang bersama imam. Makmum dikira mendapat rakaat tersebut jika sempat rukuk sebelum imam masuk ke rukun panjang yang keempat.
#7- Situasi Ketujuh
Situasi ini bagi makmum muafik yang bercadang untuk membaca Al-Fatihah ketika imam berhenti seketika antara bacaan surah Al-Fatihah dan surah tertentu. Namun apabila imam telah selesai membaca Surah Al-Fatihah, imam tidak berhenti malah terus menyambung membaca surah yang pendek seterusnya terus rukuk.
Maka, sudah pasti makmum tidak sempat mengikut imam. Dalam hal ini, ulamak bersepakat bahawa makmum wajib menghabiskan bacaan Al-Fatihah dan dimaafkan jika tertinggal tiga rukun yang panjang. Makmum dikira mendapat rakaat tersebut jika sempat rukuk sebelum imam masuk ke rukun panjang yang keempat.
#8- Situasi Kelapan
Situasi ini lebih kurang sama seperti situasi yang ketujuh. Makmum muafik bercadang untuk membaca surah Al-Fatihah sewaktu imam membaca surah tertentu selepas Al-Fatihah. Namun Imam hanya membaca surah yang pendek, lalu terus rukuk. Makmum mungkin tidak sempat mengikut imam.
Dalam hal ini, makmum juga diwajibkan menghabiskan bacaan Al-Fatihah dan dimaafkan jika tertinggal tiga rukun yang panjang. Makmum dikira mendapat rakaat tersebut jika sempat rukuk sebelum imam masuk ke rukun panjang yang keempat.
Diharapkan penjelasan di atas dapat menerangkan kekeliruan yang dialami selama ini berkenaan isu membaca Surah Al-Fatihah. Sangkaan bahawa makmum tidak perlu membaca Al-Fatihah kerana ‘ditanggung oleh imam’ hanya berlaku dalam kes makmum masbuk dan bukan makmum muafik.
Nota:
Rukun panjang: Berdiri (qiyam), rukuk, sujud pertama, sujud kedua, tahiyat akhir
Rukun pendek: I’tidal dan duduk antara dua sujud
Sumber: Jurnal Bertajuk Muafik dan Masbuk: Satu Analisis Fiqh dan Maqasid Syariah
No comments: