Iktibar Dari Hunain
Teguran dari Allah S.W.T yang bermaksud;
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlah kamu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir.”Surah Taubah :25-26
Masya-Allah! Istimewa sungguh pengajaran yang dapat kita ambil daripada sirah ghazwah Hunain ini. Bayangkanlah Allah S.W.T menegur secara telus dan jelas kepada kaum mukmin di dalam ayat tersebut.
Sebagaimana yang kita ketahui, peperangan Hunain berlaku pada bulan Syawal seperti peperangan Uhud dan peperangan Ahzab yang tidak lain hanyalah untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh.
Orang kafir terlebih dahulu merancang untuk menyerang sebelum tentera Islam terpaksa keluar untuk mempertahankan Islam agar terus tersebar tanpa sekatan dan gangguan.
Peperangan Terakhir
Peperangan Hunain berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas pembukaan Kota Mekah.
Peperangan ini merupakan peperangan terakhir antara umat Islam dengan kaum musyikin arab kerana setelah itu ramai kaum musyrikin memeluk Islam sehinggalah permusuhan antara kaum muslimin dan musyrikin berakhir.
Dalam peperangan Hunain, Rasulullah S.A.W bersama 12 000 tentera muslimin iaitu 10 000 dari Madinah dan 2 000 dari Kota Mekah keluar menuju ke lembah Hunain.
Kelalaian Tentera Islam
Ketika tentera Islam di barisan hadapan pimpinan Khalid Bin al-Walid sedang bergerak mara, mereka diserbu dari arah kiri dan kanan ditambah lagi anak panah yang menghujani mereka dari arah depan dan belakang.
Serangan mengejut ini menyebabkan kuda-kuda lari ketakutan begitu juga ramai tentera Islam yang berundur ke belakang walaupun kali ini jumlah tentera Islam agak ramai berbanding peperangan yang lain tetapi kebanyakan mereka baru memeluk Islam dan tidak begitu tahan dengan ujian.
Hal ini memberikan pengajaran yang cukup besar bahawa jumlah yang ramai belum tentu dapat mengalahkan musuh jika perjuangan tidak disertakan dengan keikhlasan kepada Allah.
Kebanyakan tentera Islam menganggap mereka akan memperoleh kemenangan dengan mudah kerana bilangan mereka yang ramai disamping mereka juga begitu memikirkan tentang jumlah harta rampasan perang yang bakal mereka perolehi.
Hal ini membuatkan tentera Islam lalai dan leka dengan tujuan asal mereka berperang adalah semata-mata untuk Islam bukannya meraih harta dunia.
Peristiwa ini sangat memberi kita satu refleksi bahawa keadaan kita pada masa ini sangat ramai jumlahnya yang memegang ‘title’ Islam. Namun begitu, kita diuji dengan kekalahan kerana tiada kesatuan antara umat Islam. Kita tidak bersatu dalam menegakkan syariat Allah.
Lihatlah dunia Islam hari ini, umat Islam di Palestin. Jumlah orang Yahudi di Palestin hakikatnya hanya beberapa juta sahaja.
Sedangkan umat Islam di negara Arab sekelilingnya berjumlah ratusan juta, namun Yahudi semakin mengganas kerana tiadanya kesatuan umat Islam dalam memerangi mereka. Begitu juga dengan situasi umat Islam di negara kita, Malaysia. Fikirkan dan muhasabah bersama.
Serangan Saraf
Ketika suasana bertambah gawat dan cemas lalu Rasulullah S.A.W yang berada di tengah-tengah tentera Islam yang sedang berundur ke belakang di mana Rasulullah S.A.W terus mara ke arah musuh dan cuba menghadapi mereka secara bersendirian tetapi dipegang oleh dua orang sahabat yang lain.
Musuh turut menyebarkan berita bohong bahawa Rasulullah S.A.W telah terbunuh. Hal ini menyebabkan tentera Islam lemah dan hilang semangat.
Serangan saraf ini membuatkan tentera Islam hilang jati diri dan mula merasa putus asa. Inilah bahayanya serangan saraf terutama dalam sesuatu peperangan kerana ia boleh mengalihkan tumpuan dan menghancurkan kesatuan.
Bahkan umat Islam hari ini, tidak terlepas daripada serangan saraf yang dilancarkan oleh musuh dalam melunturkan semangat jihad kita dan menghancurkan perpaduan umat Islam untuk kembali kepada Islam.
Infiru!
“Pergilah kamu sama ada dalam keadaan ringan ataupun merasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”Surah Taubah : 41
Subhanallah! Semangat jihad yang dibawa daripada sirah ini memberi satu semangat dan keazaman buat diri kita untuk sentiasa mengingatkan diri bahawa jihad adalah satu pengorbanan terbesar dan juga sunnah paling besar yang harus diikuti.
Moga umat Islam sentiasa mempunyai satu semangat untuk menyampaikan seruan Allah walaupun dari sekecil-kecil perkara.
Iktibar dari Hunain menjadikan kita sentiasa mengingati bahawa apabila jiwa kita dipandu dengan niat yang salah, maka perjalanan menuju ke matlamat itu pasti akan terkesan dek kelalaian kita. Astahgfirullahal’azim.
No comments: