Ads Top

Filem Upin & Ipin Jadi Mangsa Rakaman Secara Haram

Baru sahaja empat hari ditayangkan, filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal telah menjadi mangsa rakaman haram pihak tidak bertanggung jawab.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Malaysia, Ahmad Idham mendedahkan perkara tersebut setelah mendapat aduan daripada pihak penerbit.

“Produser filem ini, Burhanuddin Md Radzi telah mengadu kepada saya babawa sudah ada penonton merakam visual empat minit dan memuat naik di YouTube.

“Mujurlah, kami (Finas) mempunyai pasukan khas yang sememangnya bertindak memantau perkara ini serta berjaya memadamkan rakaman tersebut daripada terus viral,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap agar semua pihak terutama pihak pawagam sentiasa memantau dan meningkatkan tahap pengawasan di dalam pawagam.

Jelasnya lagi, sejak dilantik sebagai CEO Finas, isu berkaitan rakaman dan muat naik karya secara haram ke dalam internet menjadi salah satu keutamaannya.

“Kalau penonton ada ternampak aktiviti rakaman ketika tayangan, terus saja laporkannya kepada pihak pawagam untuk tindakan selanjutnya.

“Saya sangat memandang serius perkara ini untuk membantu penerbit tempatan yang terpaksa berdepan dengan isu-isu seperti ini,” katanya.

Beliau juga akui tidak teragak-agak menggunakan kapasiti sebagai CEO untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang terbabit dalam aktiviti berkaitan.

Penghasilan filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal menelan belanja RM20 juta dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dengan 100 peratus kepakaran anak tempatan mula ditayangkan sejak 21 Mac lalu. – KopiPlanet.com

The post Filem Upin & Ipin Jadi Mangsa Rakaman Secara Haram appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.