Ads Top

Che Ta Mahu Ambil Tindakan Mahkamah Terhadap Bekas Pemandu

Pelakon popular Rozita Che Wan atau Che Ta menegaskan dia akan mengambil tindakan mahkamah terhadap bekas pemandunya yang dikatakan menyebarkan cerita tidak benar.

Che Ta dalam satu kenyataan berkata, dia juga mahu membuat saman malu dan mahu individu berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Bayar tetap bayar. Gaji dia sudah dibayar penuh seperti biasa berjumlah RM2,000 hari ini. Tapi dengan apa yang dia (Muhammad Riduan) sudah lakukan kepada saya dengan menyebarkan cerita tak benar, sekaligus jatuh fitnah dan memalukan, kami akan ambil tindakan tegas.

“Kami sudah berhubung dengan peguam untuk tindakan mahkamah. Malah, kami juga nak buat saman malu dan memohon dia melakukan permohonan maaf secara terbuka,” ujar Che Ta yang mengulas dakwaan mengenai isu bekas pemandu peribadinya, Muhammad Riduan tidak dibayar gaji dan teraniaya.

Isu berkenaan mula timbul apabila Riduan dikatakan telah menularkan cerita tentang perkara tersebut di laman sosial Facebook dengan dakwaan tidak dibayar gaji oleh pasangan pelakon berkenaan.

Malah, Che Ta turut menegaskan bahawa dia tidak pernah langsung tidak membayar gaji pekerjanya, selain mengakui agak terlewat membayar gaji untuk bulan Februari.

“Gaji dia bulan pertama dibayar seperti biasa. Cuma untuk bulan Februari saya terlambat bayar kerana tidak masuk ke pejabat untuk menguruskan hal kerja termasuk pembayaran gaji.

“Kebiasaannya saya akan bayar gaji setiap hujung bulan atau selewat-lewatnya sebelum masuk tarikh ketujuh bulan seterusnya. Itu standard biasa. Bulan Februari saya banyak urusan kerja luar dan tak dapat masuk ke pejabat.

“Semalam pada tarikh 6 Mac saya baru masuk pejabat. Selesai urusan yang patut termasuk mesyuarat, saya sudah bersedia nak isukan cek kepada pembantu peribadi… tiba-tiba dia buat hal viralkan perkara ini. Saya asalnya nak bayar dan dia juga sudah bersetuju dengan jumlah gaji yang akan dibayar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Che Ta memberitahu bekas pemandunya itu telah bercuti selama 12 hari dan hanya bekerja selama 16 hari sahaja pada bulan lalu.

“Dia hanya bekerja 16 hari saja, teapi saya masih nak bayar gaji penuh kepadanya iaitu sebanyak RM2,000. Namun Zain sendiri cakap dengan jumlah kerjanya pada bulan Februari, patut dibayar RM1,000 saja. Selepas dipertimbangkan, saya nak bayar kepadanya RM1,500.

“Dia cakap tak mahu kerja dengan saya lagi dan tarikh akhir bekerja pada 23 Februari. Mungkin sebab sedar diri kerjanya tak bagus dan rasa tak terjamin, maka mulalah nak tularkan benda yang sebaliknya. Buat cerita itu dan ini demi menutup kesalahan diri,” katanya sambil menegaskan lelaki itu juga menunjukkan prestasi kerja yang hambar.

Dedah pelakon itu lagi, sepanjang bekerja dengannya bekas pemandunya itu lebih banyak menghabiskan masa dengan tidur di sofa pejabat dan surau serta membuat kerja lebih masa dengan menjadi pemandu Grab pada waktu malam sehingga lewat pagi.

“Soal nak buat kerja lain itu saya tak pernah larang, tetapi sampai etika kerja jadi ‘ke laut’ hingga tak datang tepat waktunya, apa saya patut beri muka dengan orang macam ini? Banyak kesalahan dan masalah yang ditimbulkan, namun saya cuba pejam mata. Nampak gayanya, dia cuba menguji tahap kesabaran diri.

“Daripada awal dia bersetuju nak kerja dalam tempoh jam yang panjang, tetapi dalam sepanjang tempoh itu bukan dia kena bekerja pun. Dalam seminggu pun ada kalanya dia hanya perlu datang dalam tiga atau empat hari. Kalau saya bercuti atau tiada dalam Kuala Lumpur, tugasnya tidak diperlukan. Malah, ada kalanya Zain yang menjadi pemandu,” katanya sambil mengakui tidak pernah berdepan masalah dengan pemandu peribadinya.

“Dulu pernah ada pemandu peribadi yang bekerja sampai 10 tahun dengan saya. Begitu juga pemandu seterusnya. Kedua-dua mereka menunjukkan sikap yang baik dan rajin. Cuma yang kali ini pula sebaliknya.

“Saya ingat lagi masa awal dia ditemuduga untuk menjadi pemandu peribadi, siap cakap kalau tak bagus khidmatnya dia sanggup tak dibayar gaji. Banyak kesalahan dan sikapnya yang melanggar etika. Cuma tidaklah sampai saya terfikir nak merakamkan atau mengambil gambar sebagai bukti. Kalau ada semua bukti sebegitu, saya rasa baru dia tahu langit ini tinggi atau rendah. Hanya tak terdetik langsung nak buka aib dia,” katanya.

Pada masa sama, Che Ta juga secara peribadi menyifatkan lelaki itu seorang yang baik, namun masih terlalu muda dan belum cukup matang.

“Ketika saya sebut kesalahannya sewaktu bekerja, dia sendiri mengakuinya. Dia sedar yang tak patut buat kerja lain jika ia mengganggu prestasi kerja. Dia pernah terlelap waktu tidur ketika kami dalam perjalanan ke Johor. Saya minta dia berhenti memandu dan membasuh mukanya.

“Dia harus fikir dengan sikapnya itu, nyawa orang lain boleh tergadai. Saya dan Zain pun rasa yang dia sebenarnya dihasut oleh rakan dan orang sekeliling untuk memuat naik status berunsur provokasi. Dengan cara budi bahasa dimilikinya, saya rasa dia tidak akan tulis sebegitu,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Che Ta Mahu Ambil Tindakan Mahkamah Terhadap Bekas Pemandu appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.