Ads Top

Berehat Sejenak Dari Dunia Dengan Menziarahi Kubur

Jumaat tiba lagi. Saya melihat pemandangan biasa hari Jumaat tatkala bas yang dinaiki melalui kawasan tanah perkuburan. Ada kelompok yang sedang duduk mengelilingi pusara di situ, sedang membaca doa dan bacaan yasin. Beberapa orang lagi sedang duduk-duduk di atas wakaf yang tersedia berhampiran kubur.

Sempat saya ucapkan salam perlahan sebelum bas melewati kawasan tersebut.

Terbayang kali terakhir menziarahi tanah perkuburan, agak lama dahulu. Pelbagai rasa yang ada – sunyi, hening dan sedih dalam masa yang sama, sambil akal yang terhad ini cuba untuk membayangkan apa yang sedang di lalui oleh orang yang berada jauh di dalam sana. Bagaimana pula jika saya yang berada di situ.

Saya berharap akan lebih kerap mengunjunginya.

Berpisah Sejenak Dari Dunia

Sesungguhnya menziarahi kubur atau megingati kematian benar-benar mampu membuatkan kita berfikir tentang hakikat kehidupan. Berapa lama lagi masa yang tinggal? Bagaimana keadaan diri ketika pengakhiran hidup ketika itu? Siapa pula yang akan mengingati pemergian? Apa yang akan ditinggalkan yang boleh dimanfaatkan oleh orang yang masih tinggal?

Persoalan-persoalan seperti ini akan membuatkan kita ‘berpisah’ sejenak daripada dunia. Fikiran dan tumpuan dihubungkan kepada akhirat. Benar kata junjungan besar Rasulullah SAW bahawa:

أكثروا من ذكْرِ هادمِ اللذّاتِ . يعني الموتُ

Dari Abu Hurairah berkata; Sabda Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakkan mengingati perkara yang menghilangkan kelazatan hidup (mati).

Saat berada di tanah perkuburan, anda akan berasa seolah-olah sedang berada di satu tempat yang asing. Asing dari dunia. Asing daripada kehidupan yang serba laju. Yang ada hanya diri anda dan juga mereka yang telah meninggal dunia yang sedang melalui satu kehidupan lain yang tidak terkesan dek pancaindera kita iaitu alam barzakh.

“Sesungguhnya ia (iaitu menziarahi kubur) akan mengingatkan diri kepada akhirat. (Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Jaa Fi ar-Rukhsah Fi Ziarah al-Qubur, hadis no 1054, status hadis hasan sahih)”

Amalan menziarahi kubur bukan hanya perlu diamalkan ketika menjelang hari raya seperti yang ada diamalkan di sesetengah tempat. Sekurang-kurangnya lakukan lah ziarah ke pusara kaum kerabat kita yang telah meninggal dunia sekali dalam sebulan. Amalan ini tidak terhad hanya kepada kaum lelaki bahkan kepada semua termasuklah kanak-kanak dan juga wanita.

Daripada Buraidah RA, Nabi SAW bersabda:

نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا

Aku pernah melarang kalian daripada menziarahi kubur, sekarang ziarahilah ia. (Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Isti’zan an-Nabiyy sallallahu ‘alaihi wa sallam Rabbahu Fi Ziarah al-Qubur, hadis no 977)

Dalam riwayat At-Tirmizi pula disebutkan:

فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Sesungguhnya ia (iaitu menziarahi kubur) akan mengingatkan diri kepada akhirat. (Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Jaa Fi ar-Rukhsah Fi Ziarah al-Qubur, hadis no 1054, Hasan Sahih)

Doa Yang Boleh Dibaca Ketika Menziarahi Atau Melalui Kawasan Kubur

Daripada Buraidah RA, Rasulullah SAW pernah mengajar sahabat-sahabat apabila mereka keluar untuk pergi ke tanah perkuburan untuk membaca:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ.

Kesejahteraan ke atas kalian wahai penduduk tempat ini daripada kalangan orang beriman dan muslim. Sesungguhnya kami, InsyaAllah, akan menyertai kalian. Aku memohon kepada Allah kesejahteraan untuk diri kami dan diri kalian. ,(Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Yuqal ‘Inda Dukhul al-Qubur wa ad-Dua’ li Ahliha, hadis no 975)

Sesekali, pecahkanlah rutin kehidupan kita dengan menziarahi kubur, tempat yang paling jarang kita kunjungi. Jangan sampai kita mengunjunginya hanya apabila nyawa telah berpisah daripada badan. Saat itu kita tidak lagi ke sana sebagai pengunjung tetapi sebagai penghuni.




No comments:

Powered by Blogger.