Ads Top

Apabila Ibadah Yang Dilakukan Terasa Hilang Makna

Iman ada naik dan turunnya. Saat iman dalam keadaan baik, kita dapat merasakan kemanisan dalam beribadah. Ibadah wajib dijaga supaya sempurna, solat dilakukan awal waktu, malah ibadah sunat pula dilakukan tanpa rasa berat hati. Segalanya terasa ringan dan mudah.

Namun ada masa, apabila suatu perkara dilakukan terlalu lama dan berulang-ulang sehingga menjadi rutin, ia seakan-akan hilang ‘makna’. Kelakukan kita dalam ibadah seperti berada dalam mod ‘auto-pilot‘ atau seperti robot.

Perhatikan Tanda Iman Menurun

“Dan supaya orang yang beriman bertambah imannya.” (Surah al-Mudatstsir 74:31).

Sesungguhnya, syaitan mempunyai banyak cara untuk menggoda manusia. Jika tidak berjaya menggoda kita untuk meninggalkan solat, maka mungkin caranya adalah mengganggu sehingga kita hilang fokus, disibukkan dengan hal dunia hingga kita solat tanpa perasaan.

Hal ini berlaku sedikit demi sedikit. Dan lama kelamaan, jika kita membiarkan diri sendiri dalam keadaan begitu, tidak mustahil akan sampai satu tahap hati tidak lagi berasa apa-apa jika melakukan hal-hal yang tidak disukai Allah. Malah mungkin dengan perlahan-lahan, kita pula akan semakin terbiasa melakukan dosa-dosa kecil. Saat itu untuk berubah kembali kepada keadaan asal mungkin lebih payah.

Jadi, bagaimana untuk mencegah hal ini daripada terjadi? Bagaimana untuk ‘refresh‘ semula keadaan spiritual kita? Menurut Ustaz Omar Suleiman, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi memperbaharui semula keadaan iman.

#1 – Bertanya Kepada Diri Sendiri

Langkah awal untuk kembali memperbaharui keadaan spiritual kita adalah dengan jujur bertanya kepada diri – apakah yang telah membuatkan kita hilang ‘rasa khusyuk’ dalam beribadah. Adakah kerana kita terganggu dengan hal-hal dunia? Adakah kita menghabiskan banyak masa dengan menonton hiburan? Adakah kita terlalu penat menyelesaikan tanggungjawab dan urusan seharian?

Untuk memperbaiki keadaan dalam diri, kita perlu menyedari di mana punca masalah dan berusaha mengekang diri daripada hanyut bersamanya. Bayangkanlah jika dalam keadaan kita bekerja dan belajar sekalipun, akan ada masa kita merasakan bahawa semangat itu hilang.

Namun, adakah kita berhenti daripada pergi bekerja? Adakah kita ponteng semua kelas? Pasti jawapannya tidak – kerana yang bermasalah bukanlah kerja atau belajar itu sendiri. Yang perlu diperbaiki adalah diri.

#2- Pilih Teman Bergaul Yang Baik

Sekuat mana pun iman yang dirasakan dalam diri, anda juga perlu memilih teman bergaul yang baik. Baik di sini bukanlah bermakna mereka yang sempurna dan langsung tidak melakukan dosa, tetapi teman yang baik akhlak dan seimbang pula antara urusan dunia dan akhiratnya.

Tidak salah untuk mempunyai teman dari pelbagai latar belakang agama, budaya mahupun sosial namun pastikan dalam kelompok itu ada sukurang-kurangnya seorang teman yang boleh bersama-sama mengajak kita ke arah agama dan usaha untuk memperbaiki iman dalam diri, yang mampu mengingatkan di saat kita terlupa.

#3- Kembali Kepada Sumber Utama

Sumber utama pastilah kitab suci Al-Quran dan juga hadis Nabi SAW. Jika Al-Quran sudah berhabuk atau kita sudah terlupa bilakah kali terakhir membaca Al-Quran, maka itu tanda bahawa ada sesuatu yang perlu dilakukan.

Al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat. Mengapa ia dipanggil mukjizat? Kerana asal perkataannya ‘عجز’ yang bererti lemah. Bermakna Al-Quran melemahkan segala sumber lain yang ada. Tidak ada yang mampu mengatasi Al-Quran yang luar biasa.

Al-Quran adalah kata-kata Allah sendiri, bukan kata-kata malaikat, bukan pula kata-kata Nabi SAW. Dan saat kita memegang Al-Quran, hakikatnya kita memegang kata-kata Allah. Maka apakah lagi bicara terbaik yang mampu dijadikan penguat semangat sewaktu iman dirasakan lemah jika tidak Al-Quran. Baca dan renunglah maksud di sebalik kata-kata Tuhan.

Kita semua manusia biasa yang ada masa naik dan turunya. Di saat iman kita ‘sihat’, kita tidak perlu pun melakukan ibadah secara ekstrem, dan apabila saat iman menurun kita tidak seharusnya meninggalkan semua benda.

Bersederhana adalah kunci, kerana Allah lebih menyukai ibadah yang dilakukan dalam keadaan berterusan sama ada dalam waktu lemah atau kuat. Allah mengira kesemuanya, tidak ada yang tertinggal.




No comments:

Powered by Blogger.