Apa Yang Perlu Anda Fikir Sebelum Bekerja Sambil Belajar
Jika anda seorang pelajar universiti sekarang, pasti ada dalam kalangan rakan-rakan yang dikenali (atau anda sendiri) yang mengambil keputusan untuk bekerja secara separuh masa sambil belajar.
Antara pekerjaan yang sering menjadi pilihan seperti pengajar kelas tambahan, bekerja sebagai pelayan di restoran makanan segera atau jika ada yang memiliki kereta akan menyediakan servis menghantar dan mengambil pelajar lain.
Apa pun jenis pekerjaan yang dipilih, ada beberapa perkara yang perlu difikirakan sebelum anda mengambil keputusan untuk bekerja sambil belajar. Berikut antaranya:
#1- Tujuan Bekerja Sambil Belajar
Pertama ialah tujuan mengapa anda bekerja sambil belajar. Sesetengah orang melakukannya kerana ingin mengisi masa lapang, mencari pengalaman atau semata-mata untuk mencari duit bagi menampung perbelanjaan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak bergantung kepada pinjaman pelajaran.
Apabila anda jelas tentang tujuan tindakan ini diambil, secara tidak langsung anda akan lebih bersedia dengan apa yang akan dihadapi seterusnya.
#2- Tahu Kadar Beban Belajar/Mata Pelajaran
Kedua, anda mesti mengambil kira bebanan pelajaran atau subjek yang diambil pada semester tersebut. Paling kurang, anda harus menyelidik sama ada subjek tersebut ‘berat’ atau tidak, siapa pensyarah yang akan mengajar dan gaya pengajarannya – adakah banyak kerja individu atau berkumpulan.
Hal ini penting bagi memastikan anda mampu mencongak dan menyeimbangkan masa serta tumpuan yang sudah pastinya perlu dibahagi dua kelak.
#3- Kenal Pasti Kemampuan Diri
Sesetengah orang suka mencabar diri dengan melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan. Soal mampu atau tidak sebenarnya agak subjektif – selalunya apabila telah melaluinya, barulah kita akan mengetahui kadar kemampuan dan ketahanan diri.
Jika ini adalah cubaan kali pertama, mungkin anda boleh bermula dengan kerja yang tidak akan mencuri banyak masa seperti menjadi ‘tutor’ untuk mata pelajaran sekolah rendah dan menengah.
#4- Kenal Pasti Jenis Kerja
Ada kerja yang memerlukan lebih ketahanan fizikal, ada yang menfokuskan kekuatan mental dan ada pula yang memerlukan kedua-duanya. Contoh kerja yang memerlukan ketahanan fizikal seperti bekerja sebagai pemandu separuh masa, pelayan di restoran serta jurujual di kedai-kedai. Kerja yang memerlukan kekuatan mental pula seperti pengajar serta pembantu-kajian (‘research-assistant’). Oleh itu, kenal pasti jenis pekerjaan yang lebih sesuai dengan diri anda.
#5- Cuba Seimbangkan Komitmen Kerja Dan Juga Belajar
Anda akan mengalami fasa penyesuaian diri dengan rutin baru yang dilakukan – antara kerja dan juga belajar. Contohnya, badan penat, stres, tumpuan sedikit terjejas, malah antara risiko lain ialah anda mungkin akan terlebih memberi perhatian kepada salah satunya.
Pada waktu itu, penting untuk anda bertenang dan cuba mencari jalan untuk menyalurkan rasa stres secara sihat seperti mengambil masa untuk bersenam pada waktu terluang, bercerita kepada rakan dan juga mengutamakan keperluan badan seperti makan dan rehat pada waktunya.
Semoga dengan lima tips ringkas ini dapat membantu anda yang bercadang untuk bekerja sambil belajar. Di akhirnya, anda pasti akan lebih bangga dan berpuas hati kerana berjaya mencabar diri!
No comments: