Allah Mengasihi Orang Yang Berterusan Melakukan Taubat
“…SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri” (Surah Al-Baqarah 2:222)
Sesungguhnya Allah pasti akan mengasihi orang-orang yang bertaubat berulang kali. Orang yang bertaubat sama seperti orang yang tidak pernah melakukan dosa.
Allah akan menukar dosa yang telah dilakukan di masa lalu dengan kebaikan. Mengapa? Kerana dia benar-benar telah bertaubat dan menukar cara hidupnya serta perbuatan yang tidak baik semata-mata kerana Allah.
Kata Mufti Menk dalam video di atas, orang yang hanya meminta ampun atas dosa yang dilakukan, dengan orang yang meminta ampun lalu berhenti dari dosa semata-mata kerana cinta kepada Allah, mereka berbeza.
Orang yang berubah kerana rasa cintanya kepada Allah lebih istimewa. Kerana cinta dia meninggalkan dosa, kerana cinta dia berusaha melakukan perubahan yang hakikatnya bukan mudah. Orang yang dihatinya ada cinta sanggup melakukan apa sahaja.
Setiap kali ada yang bertanya bagaimana untuk berubah, saya suka untuk memberitahu tentang doa.
Pertama sekali mintalah dahulu kepada Allah agar diangkat dari hati kita beratnya rasa untuk bertaubat, untuk berubah. Mintalah pada Allah agar dilapangkan jalan, dimudahkan usaha untuk kita berubah. Kerana saya benar-benar percaya, jika ada sekelumit kebaikan di hati kita, rasa benar-benar ingin berubah, Allah tahu dan akan mempermudahkan segalanya. Perhatikanlah tanda yang Allah berikan. Dan saat Allah telah mempermudahkan jalan, usah berpaling lagi dari jalan tersebut.
Semoga kita dikurniakan kekuatan untuk terus bertaubat, untuk meninggalkan dosa, dan juga untuk berubah. InsyaAllah.
No comments: