Ads Top

Alam Sekitar Bukan Milik Manusia

Tahukah anda sebuah peristiwa sebelum Allah mencipta Nabi Adam as? Para malaikat bertanya kepada Allah kenapa ingin mencipta manusia sedangkan manusia itu adalah perosak kepada alam ini.

Peristiwa ini telah dirakamkan oleh Allah di dalam Al-Quran yang berbunyi:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Mafhumnya: “Dan (ingatlah) ketika tuhanmu berfirman kepada Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, 2:30)

Tujuan penciptaan manusia adalah untuk dijadikan khalifah di muka bumi. Manusia adalah makhluk yang mempunyai akal. Disebabkan itulah manusia dianggap sebagai khalifah di muka bumi untuk memimpin.

Namun, sayangnya manusia kadang-kadang lupa bahawa mereka berkongsi alam ini dengan makhluk lain. Di udara kita masih punya burung yang berterbangan, di darat kita punya gunung-ganang yang membantu menyokong dan menjadikan bumi seimbang, di laut kita punya hidupan yang berenang. Maka, sedarlah bahawa kita berkongsi udara dan oksigen yang sama dengan hidupan lain.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang telah dicemari oleh bahan kimia oleh pihak yang tidak bertaggungjawab.

Disebabkan oleh gas yang telah bocor, beberapa buah sekolah yang berhampiran telah ditutup dan mangsa yang terlibat perlu dikejarkan ke hospital.

Ini merupakan bukti bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar sehingga menyusahkan orang ramai, bukan sahaja menyebabkan sungai tercemar, malah udara yang kotor dan menyebarkan wabak penyakit.

Jagalah Alam Ini

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّـهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Mafhumnya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia: dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah): dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi: sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, 28: 77)

Melalui ayat ini, Allah telah menerangkan bahawa setiap yang ada di muka bumi ini perlu dijaga dengan baik dan tidak boleh melakukan sebarang kerosakan kerana alam ini adalah milik Allah.

Tahukah anda, sebenarnya alam ini mempunyai tiga hak yang perlu kita penuhi. Hak-hak ini adalah untuk menjaga keselesaan dan mengelakkan daripada berlakunya kerosakan seperti pencemaran udara, air dan sebagainya,
Antara tiga hak yang perlu dilaksanakan ialah:

#1 – Hak Daruriyyat

Hak daruriyyat merupakan hak sebagai keperluan manusia. Setiap manusia perlu ia untuk hidup seperti udara. Jika tiada oksigen, kita tidak boleh hidup. Maka jagalah keperluan ini dengan sebaik mungkin. Hak ini merupakan hak yang paling penting dan dianggap sebagai hak primer buat semua maklhluk.

#2 – Hak Hajiyyat

Hak ini bermaksud untuk kepentingan manusia. Hak ini dianggap hak yang sekunder. Jika tiada peringkat ini, maka tidak terancam keselamatannya. Namun kewujudannya boleh memberi kemudahan serta menghilangkan kesukaran dalam hidup manusia.

Sebagai contoh, pusat-pusat rekreasi ada menyediakan kemudahan tandas untuk memudahkan urusan pengunjung.

#3 – Hak Tahsiniyyat

Hak ini adalah untuk keselesaan manusia. Ia merupakan sebuah keperluan dan perlindungan yang diperlukan untuk memberikan kehidupan yang nyaman menjadi lebih nyaman, kehidupan yang mudah menjadi lebih mudah dan kehidupan yang tenang menjadi lebih tenang.

Saban hari, kita mendengar terlalu banyak isu yang melibatkan alam sekitar. Ada haiwan yang mati disebabkan oleh termakan sampah sarap, ada haiwan yang hilang tempat perlindungan disebabkan oleh pokok-pokok di hutan ditebang dengan rakusnya dan bermacam-macam lagi isu yang timbul.

Tidakkah anda sayang dengan alam sekitar ini? Tidakkah anda takut akan bencana besar yang mungkin timbul disebabkan oleh tangan-tangan manusia sendiri?

Untuk apa tujuan pembangunan jika ada nyawa lain yang terancam? Banggakah anda digelar manusia yang berjaya disebalik kesedihan nyawa lain?

Oleh itu, sebagai manusia yang dianggap khalifah di muka bumi, maka jagalah alam ini dengan baik supaya semua mahkluk dapat merasa hidup dengan harmoni.




No comments:

Powered by Blogger.