Ajar Anak Anda Tentang Sentuhan Selamat Dan Tidak
Masalah penderaan seksual kanak-kanak semakin membimbangkan. Tahun 2017 sahaja mencatatkan angka tertinggi dengan 1279 kes penderaan seksual kanak-kanak perempuan yang dilaporkan. Ekoran laporan kes yang semakin bertambah tahun demi tahun, usaha dari segenap aspek perlu digerakkan bagi melindungi kanak-kanak dari jenayah seksual ini.
Salah satu usaha penting yang perlu diberi perhatian adalah daripada sudut didikan kepada kanak-kanak itu sendiri berkenaan ‘sentuhan selamat dan tidak selamat’. Pelajaran ini diguna pakai di serata dunia dengan menfokuskan sentuhan yang baik dan selamat serta sentuhan yang tidak baik atau tidak selamat.
Menurut portal myhealth, sentuhan yang baik boleh digambarkan sebagai sentuhan yang membuat kita berasa gembira, selesa dan selamat. Contohnya ketika ibu bapa memeluk.
Sentuhan tidak baik atau tidak selamat pula boleh digambarkan sebagai sentuhan yang membuat kita berasa tidak selesa, tidak selamat dan memberi perasaan buruk di dalam diri seperti sedih , malu dan takut . Contoh sentuhan tidak baik ialah dipukul atau ditolak.
Kanak-kanak biasanya sukar untuk memberitahu tentang anggota badan mereka terutama bahagian sulit kerana rasa malu. Pertama sekali mereka perlu diajar tentang nama-nama anggota badan dengan menggunakan perkataan yang betul dan sesuai supaya mudah untuk mereka bercerita dan berkomunikasi jika ada perkara yang tidak diingini berlaku.
Ibu bapa perlu memberitahu anak-anak bahawa jika berlaku situasi-situasi seperti di bawah, maka mereka mesti memberitahu perkara tersebut kepada ibu bapa:
1. Apabila seseorang menyentuh atau melihat bahagian sulit atau peribadi anda.
2. Apabila seseorang menunjukkan bahagian sulit atau peribadi mereka kepada anda.
3. Apabila seseorang meminta anda menanggalkan pakaian anda.
4. Apabila seseorang mengambil gambar anda tidak berpakaian.
5. Apabila seseorang menunjukkan gambar atau video orang tidak berpakaian kepada anda.
6. Apabila seseorang menyentuh atau mencium bahagian sulit anda.
Ibu bapa boleh membantu untuk memahamkan anak-anak melalui perbincangan yang sihat. Jika mereka ingin berbual atau bercerita tentang sentuhan, jangan abaikan. Seeloknya, ambil peluang tersebut untuk mengajar mereka tentang badan mereka menggunakan bahasa dan perkataan yang sesuai dan mudah difahami.
Kedua, jangan memaksa anak-anak untuk bermesra sewenang-wenangnya hatta dengan saudara mara terdekat. Terdapat banyak kes penderaan seksual yang pelakunya merupakan orang terdekat dengan mangsa. Ibu bapa perlu berhati-hati dan prihatin dengan persekitaran anak-anak.
Ketiga, ibu bapa perlu mengajar anak-anak untuk meluahkan perasaan tidak selesa yang mereka rasai dengan menggunakan kata-kata. Sesetengah kanak-kanak mempunyai masalah untuk mengenal pasti apa yang mereka rasa, sebaliknya mereka hanya menangis, menjerit atau membaling barang untuk mengekspresikan perasaan dalam diri.
Latih anak anda untuk mengatakan “Jangan! Saya tidak suka” atau “Hentikan!” jika bahagian sulit mereka pernah disentuh atau diminta untuk ditunjukkan oleh orang dewasa sama ada yang mereka percayai atau tidak.
Tanggungjawab sebagai ibu bapa bukan hanya memberi makan pakai, memberi didikan agama serta menghantar anak-anak ke sekolah. Emosi dan fizikal mereka juga perlu dilindungi. Maklumat tentang sentuhan selamat dan tidak selamat ini penting diajarkan kepada anak-anak supaya jenayah seksual dapat dihindarkan daripada mereka sejak dari awal.
Sumber: Myhealth.gov.my
No comments: