Jika Kau Bercinta Lagi, Cintalah Sepenuh Hati (Siri 1)
Saya pasti dalam kalangan pembaca ada yang pernah mendengar lagu Alleycat bertajuk Jika Kau Bercinta Lagi yang dilancarkan sekitar tahun 2004. Lirik yang terngiang dalam telinga saya adalah;
“jika kau bercinta lagi, cintalah sepenuhnya”
Mencintai sepenuh hati adalah misi setiap orang yang bercinta dan berpasangan. Logiknya, kita tidak akan dapat mencintai seseorang yang tidak kita kenali terlebih dahulu, apatah lagi untuk benar-benar cinta sepenuh hati.
Jadi, hubungan antara pasangan kita perlu ada sasaran untuk saling cinta sepenuh hati bagi melahirkan hidup yang bermakna dan tulen.
Tanpa cinta sepenuh hati, kita tidak akan dapat menipu rasa kekosongan dalam diri yang Tuhan ciptakan untuk memerlukan seseorang yang benar-benar mahu meluangkan hidupnya bersama kita. Bak kata HAMKA di dalam Peribadi;
“Janganlah tuan hambarkan hidup tuan dengan tidak memiliki perempuan. Jika tuan membawanya kepada erti yang baik, tentulah hasilnya akan besar membentuk peribadi yang kuat”
Justeru, persoalan dalam tulisan ini adalah apa ertinya mencintai seseorang dengan sepenuh hati.
Melengkapi Diri Sepenuh Hati
Skye C. Cleary, di dalam satu video TED-Ed mengetengahkan teori daripada Plato bahawa manusia sebenarnya dicipta bersama pasangannya secara fizikal. Maksudnya ialah, ada dua kepala, empat kaki dan tangan dan dua fikiran berbeza yang berkongsi badan sama.
Dalam tulisannya di The Symposium, Plato mengatakan manusia mencintai adalah untuk menjadi lengkap. “Love makes us whole, again”.
Anak muridnya, Aristotle, kemudian meneruskan teori tersebut dengan mengatakan bahawa manusia telah membuatkan pada dewa murka, lalu Zeus (salah satu dewa) telah memisahkan manusia.
Maka, sejak itu manusia mula mencari cinta untuk mendapatkan ‘separuh’ diri mereka yang hilang. Begitulah teori kepercayaan ahli falsafah lalu mengapa manusia mencintai satu sama lain.
Namun, pada saya untuk mengatakan bahawa ‘kamu melengkapi hidup saya’ adalah hanyalah kata-kata metafora untuk bersifat romantis. Kerana kita seharusnya melengkapi diri kita dengan sendiri.
Tidak salah untuk berkata seseorang itu lengkapi kita untuk tujuan manis dalam hubungan tetapi tidak betul untuk percaya tanpa adanya seseorang itu, kita tidak boleh berfungsi dengan baik sebagai seorang manusia yang beriman dengan Allah.
Jika ikutkan sifir bahawa kita sebenarnya memang tidak lengkap, maka orang yang hidupnya belum berpasangan adalah tidak lengkap pada hemat kepercayaan itu.
Justeru, itulah yang membentuk masyarakat yang gemar menganggap perkahwinan sebagai satu pencapaian besar dalam hidup dan orang yang belum berkahwin masih dianggap tidak lengkap, seolah-olah ‘kelas kedua’ dalam masyarakat.
Terdapat para ulama yang membujang sepanjang usia seperti Ibn Jarir al-Tabari (224-310H). Beliau ialah pengarang kitab Tafsir al-Quran yang terkemuka, pakar dalam bidang sejarah dan pengasas sebuah mazhab Fiqh pada zamannya.
Demikian juga dengan Imam Jar Allh al-Zamakhsyari (467-538H), Jalal al-Din al-Suyuti (849-911H) dan lainnya. Jika benarlah orang yang bujang itu ‘tidak lengkap’, maka mengapa adanya para ulama hebat yang tidak berkahwin.
Justeru, naratif yang salah akan menatijahkan pemikiran sempit. Lalu menjadikan seseorang yang bujang rasa terdesak dan sanggup ‘settle for less’ semata-mata untuk kahwin meskipun termasuk dalam hubungan yang toksik.
Walhal yang seharusnya kita lakukan ialah lengkapi diri sendiri. Jadilah seperti para ulama atau individu hebat yang walaupun belum berkahwin lagi tetapi punyai peribadi hebat dan sumbangan bermanfaat kepada orang lain.
Maka apabila kita sudah lengkapi diri sendiri, kita bebas untuk mencari cinta dan berkahwin dengan orang yang selayaknya untuk kita. Itulah yang sering disebut dalam bahasa Inggeris iaitu ‘being whole’.
Apabila seseorang menerima dirinya dengan sepenuh hati, dia layak untuk bercinta dengan sepenuh hati. Tanpa menjadi ragu-ragu dan merosakkan hubungan itu sendiri.
Kita lihat betapa ramai orang yang sentiasa rasa tidak selamat (insecure) sepanjang masa sehinggakan menjadi toksik terhadap pasangan masing-masing.
Terlalu bergantung pada jiwa orang lain sedangkan jiwa sendiri kontang daripada penerimaan diri (self-acceptance). Maka untuk cinta sepenuh hati, terimalah diri dengan selapangnya.
Terdedahan Pada Risiko Kehidupan
HAMKA menambah dalam Peribadi, bahawa orang yang penakut adalah mereka yang tidak berjaya dalam sesebuah masyarakat. Bagaimana untuk meneruskan hidup dengan jayanya jika kita takut pada risiko-risiko yang tampil bersama kejayaan.
Individu berperibadi hebat adalah mereka yang berani untuk menempuh apa jua yang hadir kerana mereka bersedia menghadapinya. Begitu jugalah dalam hal percintaan. Apabila kita terlalu takut dengan fikiran-fikiran hipotetikal yang berbunyi seperti;
“Macam mana kalau dia…”
Maka kita sebenarnya masih tidak bersedia untuk berada dalam satu hubungan. Bukanlah untuk tidak memikirkan langsung kebarangkalian si dia akan melukakan kita.
Namun jika berada pada tahap yang tidak wajar atau pun asyik sahaja pesimis terhadap seseorang, maka eloknya kita berehat dahulu daripada menaruh cinta dan memberi harapan cinta pada seseorang.
Brene Brown, dalam salah satu sembang santai di program televisyen Oprah Winfrey, membahaskan hal ini. Ketika itu beliau ditemu bual oleh Oprah sempena bukunya yang bertajuk Gifts of Imperfection dan syarahan TED Talk beliau yang mencapai jutaan ‘view’ di internet.
Brown mengatakan bahawa untuk benar-benar menjalani hidup yang penuh makna, kita perlu mempraktikkan sifat ‘vulnerable’, satu tindakan yang mana kita mendakap keterbukaan, meraikan empati dan mengikhlaskan hubungan.
Apabila menonton bual bicara ini, saya mendapat kesimpulan bahawa untuk sepenuhnya hidup dan berhubung dengan bermakna dan tulen, seseorang seharusnya menjadi ‘vulnerable’.
Apa gunanya membina tembok tinggi dalam masa yang sama cuba berkenalan dengan seseorang dengan harapan cinta akan datang menerpa.
ÙˆَÙ„َا تَÙ‡ِÙ†ُوا ÙˆَÙ„َا تَØْزَÙ†ُوا ÙˆَØ£َنتُÙ…ُ الْØ£َعْÙ„َÙˆْÙ†َ Ø¥ِÙ† ÙƒُنتُÙ… Ù…ُّؤْÙ…ِÙ†ِينَ
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”Surah Ali Imran: 139
Bersambung… (Jika Kau Bercinta Lagi, Cintalah Sepenuh Hati -Siri 2)
No comments: