Ingat Suami, Jangan Lepas Tanggungjawab Walaupun Isteri Bekerja
Tinggal di bandar besar tidak boleh mengharapkan suami seorang sahaja yang bekerja untuk menanggung keluarga. Tentu isteri tidak sanggup membiarkan suami berkeseorangan dalam mencari rezeki. Dengan bantuan dan pendapatan daripada isteri sekurangnya dapat meringankan beban.
Namun, sebaliknya, bila isteri bekerja, suami mula lepaskan tanggungjawab dan menyerahkan bulat-bulat perbelanjaan rumah pada isteri. Patutkah keadaan ini berlaku dan ada suami yang lepas tangan dalam memberikan nafkah hanya kerana isteri sudah mempunyai duit poket sendiri. Ulasan lanjut tentang topik ini bersama Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat.
Niat Untuk Bekerja
Pada asasnya, tanggungjawab dalam menyara keluarga adalah terletak pada bahu suami. Tiada kewajipan atas isteri keluar rumah semata-mata untuk mencari nafkah keluarga.
Walau bagaimanapun. Kita sering mendengar perbincangan tentang tuntutan kehidupan sekarang yang memerlukan isteri turut bekerja membantu suami mencari rezeki.
Tidak dinafikan, dalam keadaan sekarang ini, keperluan isteri bekerja itu tetap ada tetapi
perlulah dilihat pada isu dan situasi sebenar. Contohnya ada beberapa situasi yang boleh
dilihat di sini:
- Ada sesetengah pendapatan suami sudah mencukupi untuk menyara keluarga dan isteri pula bekerja dengan alasan bosan tinggal di rumah.
2. Sedangkan isteri bekerja untuk membantu suami di kebun, sawah atau kedai, dilihat lebih jelas untuk membantu suami dan keluarga. Tetapi realiti isteri yang bekerja dan menguruskan pendapatan sendiri menyebabkan tujuan sebenar tersasar, apatah lagi sehingga mengabaikan tanggungjawab pada suami dan anak-anak.
3. Ada isteri yang bekerja bukan untuk membantu menyara keluarga tetapi lebih kepada kepuasan diri atau mencari pendapatan tambahan sehingga mengabaikan tanggungjawab hakiki.
4. Ada sesetengah isteri yang bekerja dan pendapatan isteri hanyalah dihabiskan untuk
membayar pengangkutan ke tempat kerja, kos bekerja dan upah mengasuh anak – yang dapat hanya letih.
Hukum Isteri Bekerja
Berkaitan dengan hukum isteri bekerja, pada asasnya tiada hukum suruhan atau larangan.
Malah, kalau hukum isteri bekerja untuk membantu suami mengurus dan menyara keluarga, ia kelihatan sangat baik dan positif. Namun, ada beberapa kondisi yang perlu dilihat lebih terperinci.
a) Bekerja dalam keadaan keadaan suami masih mampu menanggung perbelanjaan. Bekerja dengan tidak menganggu tanggungjawab hakiki di rumah, tidak berisiko atau menimbulkan fitnah, bukan dengan paksaan suami dan bekerja dengan kebenaran suami.
b) Isteri bekerja untuk membantu suami dalam menyara keluarga dan sebahagian pendapatan disalurkan untuk meringankan beban. Ini adalah sesuatu yang baik, pahala sedekah, pahala eratkan hubungan kekeluargaan. Waslau bagaimanapun, syarat isteri bekerja tetap terpakai dan anjuran ini terbatal sekiranya tidak menepati syarat di atas.
c) Isteri bekerja dan suami tidak bekerja. Ini bercanggah dengan fitrah dan tidak menepati
hukum tanggungjawab dalam perkahwinan. Apatah lagi, suami yang memaksa isteri bekerja dan menanggung sara keluarga. Ini boleh menjurus kepada perbuatan zalim atau dayus. Pengecualian ini boleh berlaku sekiranya suami hilang upaya, sakit dan isteri bersetuju untuk menggantikan tanggungjawab tersebut.
Namun begitu, perlu diingat, walaupun isteri bekerja, tanggungjawab menyara keluarga tetap di bahu suami, melainkan dipersetujui oleh isteri suapaya dirinya tidak perlu diberi nafkah.
Tip Untuk Suami Isteri Dalam Mencari Nafkah Untuk Keluarga
- Hidup saling bantu-membantu dan sokong-menyokong antara suami dan isteri. Elakkan menuntut hak daripada pasangan tetapi lebihkan memberi dan melaksanakan tanggungjawab kita kepada pasangan.
2. Suami perlu laksanakan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan isteri pula
bertanggungjawab memberikan layanan dan ketaatan kepada suami. Boleh bantu-membantu tetapi tugas hakiki perlu diutamakan.
3. Isteri jangan bekerja sehinggamengabaikan tugas pada suami dan anak-anak kerana bekerja bukanlah kewajipan. Suami pul jangan terlalu banyak melakukan kerja rumah sehingga mengabaikan tugas bekerja mencari rezeki untuk makan minum, pakaian, pendidikan dan kesihatan keluarga.
The post Ingat Suami, Jangan Lepas Tanggungjawab Walaupun Isteri Bekerja appeared first on Mingguan Wanita.
No comments: