7 Tip Menjaga Diet Ketika Melancong
Anda adalah apa yang anda makan. Pemakanan yang seimbang, mengikut piramid makanan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia memastikan tubuh mendapat zat makanan dalam kuantiti yang diperlukan.
Dalam keadaan seseorang itu pergi melancong, sama ada di dalam atau luar negara, adakalanya proses pengambilan makanan yang seimbang akan terganggu.
Ini disebabkan oleh waktu makan yang tidak menentu kerana berada di dalam kenderaan atau di lapangan terbang dalam jangka masa yang panjang.
Untuk memastikan tubuh mendapat semua zat makanan yang diperlukan ketika melancong, boleh cuba tujuh tip ini.
Tubuh bukan sahaja mendapat bekalan zat makanan yang secukupnya, malah badan akan jadi lebih sihat dan segar sepanjang percutian.
#1- Bawa Bekal Makanan
Sebelum memulakan perjalanan, sediakan sayur-sayuran mentah yang kurang kandungan air dan tidak mudah layu seperti tomato ceri, timun Jepun (zucchini) atau salad jenis romaine.
Buah-buahan seperti epal atau pisang juga boleh dijadikan bekal. Sandwic yang berinti telur atau tuna juga sesuai untuk dibawa ketika memulakan perjalanan.
#2- Elakkan Minuman Di Dalam Tin Atau Botol
Minuman dalam tin dan botol bukan sahaja tidak berkhasiat malah mengandungi gula dan asid berlebihan.
Minuman bergas contohnya mengandungi lebih kurang 9 sudu kecil gula yang tidak elok untuk kesihatan. Bawa bekalan air masak atau mineral. Ia jauh lebih murah dan lebih baik untuk kesihatan.
#3- Lakukan Senaman
Jika tempoh percutian anda seminggu atau lebih, pastikan tempoh seminggu itu diisi dengan aktiviti senaman. Paling minima sebanyak tiga kali. Anda boleh berjogging di sekitar tempat penginapan sekiranya bersesuaian.
Sekiranya hotel yang anda menginap ada kemudahan gimnasium atau kolam renang, luangkanlah sekurang-kurangnya 30 minit untuk melakukan latihan senaman. Ini adalah kerana pembakaran lemak hanya berlaku pada minit ke-20 apabila seseorang itu bersenam.
#4- Elakkan Berhenti Terlalu Kerap Di Hentian Rehat Dan Rawat (RNR)
Perjalanan jauh melalui lebuh raya selama empat hingga lima jam memang memenatkan. Adalah disarankan untuk berhenti rehat setelah dua jam pemanduan secara terus. Memandu dalam keadaan keletihan adalah sangat berbahaya.
Namun, jika kerap berhenti selalunya akan mengundang masalah yang berbeza. Anda akan cenderung untuk membeli minuman atau makanan yang tidak perlu. Sebagai contoh makanan ringan dan snek yang kurang khasiatnya.
#5- Sewa Homestay
Terkini ramai yang memilih untuk menyewa homestay sebagai tempat penginapan. Dengan kos yang mungkin sama nilainya dengan sewaan bilik hotel.
Anda bukan sahaja dapat menyewa sebuah rumah, malah anda boleh memasak sendiri dengan kemudahan memasak yang disediakan. Diet anda terjaga dan wang pun terpelihara.
#6- Wajib Ambil Sarapan Pagi
Apabila bercuti ke luar negara, jadual harian selalunya dipenuhi dengan aktiviti lawatan ke tempat-tempat yang menarik.
Perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain membuatkan badan menjadi penat dan lesu. Mahu saja berbaring di atas katil hingga pukul 10 pagi dan akibatnya anda terlepas waktu sarapan.
“Missing your morning meals confuses your hunger hormones, setting you up to overeat later on in the day.”
Di dalam satu dapatan daripada International Journal of Obesity, 2015, mengambil sarapan berprotein tinggi pada jam 6 hingga 9.45 pagi mampu mencegah pengumpulan lemak dan munculnya rasa lapar palsu seharian.
#7- Berkongsi Makanan Dengan Pasangan Atau Keluarga
Saiz hidangan lebih besar bermakna lebih kalori, tinggi lemak, tinggi kolesterol dan lebih garam. Kawal selera makan anda dengan meneliti ramuan menu harian dan jumlah kalori yang diambil.
Sekiranya perlu, satu hidangan makanan yang ditempah di sebuah restoran boleh saja dikongsi bersama-sama pasangan.
Pemakanan yang sihat menyumbang kepada kesihatan yang baik. Jangan abaikan diet anda sekalipun anda melancong.
“Your diet is a bank account. Good food choices are good investments.”
No comments: