Suami Abai Beri Nafkah, Ular Penuhi Liang Lahad
Kehidupan dalam berumah tangga pastinya sesuatu yang indah dengan kehadiran anak-anak sebagai pelengkap. Isteri merupakan tulang belakang seorang suami untuk berjaya. Pengorbanan seorang isteri bukan sahaja ketika dia melahirkan anak-anak hasil perkongsian hidup, malah menguruskan rumah tangga sehingga menerbitkan suasana harmoni dalam sesebuah keluarga.
Dalam perkongsian hidup, nafkah untuk isteri tidak harus dilupakan oleh suami. Kedudukan isteri dalam Islam sendiri sudah menetapkan wang pendapatan yang diperolehi suami perlu diberikan kepada isteri selepas perbelanjaan diri dan seterusnya anak-anak, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain. Kisah kali ini berkait rapat dengan seorang suami yang culas memberi nafkah pada isteri. Ikuti selanjutnya.
Suatu hari di Kampung Pasir Hor, Tok siak membuat pengumuman mengenai seorang penduduk kampung yang dikenali dengan nama Farhan yang baru meninggal dunia.
Farhan meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil dan isteri yang masih muda. Segalanya berjalan dengan baik, mungkin kerana ketika hayatnya Farhan seorang yang baik, dermawan dan sering membantu orang yang dalam kesusahan. Upacara pengebumian Farhan dihadiri ramai orang kampung dan rata-ratanya bersedih dengan pemergian individu sebaik Farhan kecuali isteri dan anak-anaknya yang kelihatan tenang dengan kehilangan tersebut.
Dipenuhi Ular
Sebelum tiba di perkuburan semuanya berjalan lancar, sehinggalah sesuatu yang aneh berlaku ketika urusan pengebumian. Jenazah Farhan sukar untuk dikebumikan kerana dalam liang lahadnya penuh dengan ular-ular berbisa yang entah dari mana datangnya.
Melihatkan keadaan itu, Tok Penghulu memutuskan untuk memanggil bomba dan keluarkan ular-ular yang ada. Allah itu Maha Kuasa, semakin lama ular-ular tersebut semakin bertambah jumlahnya walaupun sudah ada yang dikeluarkan dari liang tempat jenazah Farhan akan dikebumikan itu.
Semua yang hadir kehairanan melihat kejadian seumpama itu. Fikir mereka apalah dosa Farhan sedangkan arwah dahulu seorang yang tidak pernah tinggalkan solat, tidak kedekut dan rajin bersedekah dan menderma. Malah, dia juga seorang yang ringan tulang dan sering membantu ahli keluarga yang lain selain orang kampung.
Hari semakin lewat, masalah liang yang dipenuhi ular masih belum selesai. Imam menyarankan untuk menggali kubur yang lain tapi perkara yang sama masih lagi berlaku. Melihatkan keadaan itu, Imam dan penghulu pergi kepada isteri Farhan, Azira untuk bertanyakan apakah perbuatan Farhan yang tidak diketahui umum.
Bagaikan sudah lama terbuku di hati, Azira membuka cerita mengatakan Farhan seorang yang tidak bertanggungjawab kepada dia dan anak-anaknya.
“Farhan seorang yang baik dan suka berderma. Baik kepada ibu dan adik-beradiknya. Baik kepada orang ramai tapi dia tidak berlaku baik kepada saya dan anak-anak. Dia tak bertanggungjawab, dia abaikan nafkahnya kepada saya dan anak-anak. Katanya sebab saya dah banyak duit berbanding dia.
“10 tahun saya hidup dengan arwah penuh rasa sabar dan tertekan. Dia hanya layan saya dengan baik adalah dalam tiga ke empat jam seminggu. Selebihnya dia ikut rasa hati dan perasaan dia. Bukan sahaja badan saya yang sakit, malah hati juga terluka.
“Saya halalkan duit saya yang saya belanjakan untuk dia. Tapi saya tak akan pernah halalkan nafkah dari dia untuk saya dan anak yang dia tak tunaikan dengan baik. Kecuali dia tak berduit. Tapi saya tahu dia ada banyak duit hasil perniagaan dia. Itu kewajipan dia. Saya juga tak halalkan setiap perkataan caci maki terhadap saya dan anak sepanjang kami hidup bersama,” cerita Azira panjang lebar.
Pengajaran
Terkejut Imam dan Penghulu mendengar luahan isteri arwah. Keduanya memohon supaya dimaafkan arwah Farhan namun Azira seakan berkeras dengan keputusannya itu.
Akhirnya, semua memutuskan untuk kebumikan sahaja jenazah dengan beratus ekor ular aneh yang berbisa. Peringatan untuk lelaki, jangan pernah ambil mudah nafkah dan layanan terhadap isteri. Nafkah kepada anak dan isteri itu adalah wajib. Walaupun isterimu seorang jutawan, tanggungjawab dan nafkah untuk mereka adalah wajib.
The post Suami Abai Beri Nafkah, Ular Penuhi Liang Lahad appeared first on Mingguan Wanita.
No comments: