SalamWeb Browser, Pelayar Web Patuh Syariah Pertama Di Dunia
SalamWeb merupakan pelayar web pertama di dunia yang mendapat pengesahan syariah dan diperakui oleh Lembaga Penasihat Syariah Amanie. Ia dibina berasaskan teknologi asas yang sama seperti teknologi Chromium.
SalamWeb Browser mula diperkenalkan pada tahun 2016. Setelah diambil alih oleh pihak baru dan dilancarkan semula secara rasminya semalam, SalamWeb kini tampil dengan ciri yang lebih pelbagai seperti SalamProtect, SalamTag, SalamSadaqah, SalamWidget dan juga SalamNews.
SalamNews membolehkan para pengguna mengetahui berita-berita semasa tempatan dan juga dari luar negara. Manakala, SalamWidget pula menyediakan fungsi waktu solat, arah kiblat serta kata-kata inspirasi yang boleh menjadi panduan para pengguna Muslim.
Tidak dilupakan aspek yang penting dalam perkembangan komuniti Islam iaitu sedekah, SalamWeb juga mempunyai ciri SalamSadaqah. Setiap kali para pengguna menggunakan pelayar ini, SalamWeb akan bertindak menyalurkan sumbangan amal kepada pihak-pihak tertentu. Dengan mudah, para pengguna menjadi sebahagian daripada usaha amal yang dilakukan!
Antara ciri penting terdapat dalam pelayar ini juga ialah SalamProtect. SalamProtect dapat memberi makluman kepada para pengguna tentang laman web yang mempunyai kandungan yang dinilai tidak bertepatan dengan syariah.
Para pengguna boleh menetapkan tetapan sama ada untuk menyekat atau meneruskannya melalui fungsi penapis kandungan. Melalui ciri ini juga, SalamTag boleh digunakan untuk menanda laman-laman web yang dirasakan ‘sesuai’, ‘neutral’ dan ‘tidak sesuai’ dilayari.
SalamWeb Browser boleh didapati secara percuma! Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh ke https://salamweb.com/
No comments: