Ads Top

Mu’adz & Azwan Berbesar Hati Dipilih Nyanyi Lagu Tamil


Dua penyanyi nasyid tempatan, Mu’adz Dzulkelfy dan Azwan Ibrahim berbesar hati apabila dipilih menyanyikan lagu Tamil Ullala yang merupakan lagu runut bunyi filem, Petta yang dilakonkan pelakon terkenal, Rajinikanth.
Menurut Mu’adz, mereka hanya mengambil masa selama lima hari bagi merakamkan lagu tersebut yang akan digunakan sebagai promosi untuk filem itu di pasaran negara Asean.
“Kami mengambil masa lima hari untuk merakamkan lagu ini. Cabaran utama adalah sebutan dan ekspresi yang perlu diluahkan mengikut maksud perkataan selain mengejar masa untuk berlatih.
“Kami tiada masalah untuk menyanyikan lagu Tamil kerana sebelum ini pernah merakamkan lagu Azhagu pada tahun 2014 menerusi kumpulan Salaam,” kata Mu’adz kepada KopiPlanet.com.
Mu’adz ditemui pada majlis pelancaran lagu runut bunyi, Petta, Ullala yang diadakan di ibu kota, baru-baru ini. Majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer dan selebriti Nur Fazura.
Filem Petta yang bakal memasuki pasaran tempatan mulai 10 Januari ini akan ditayangkan di 140 pawagam seluruh negara.
Terdapat ura-ura mengatakan ini merupakan filem terakhir Superstar Kollywood itu sebelum beliau bersara daripada dunia hiburan dalam masa terdekat ini.
Filem Petta diedarkan Malik Streams Corporation yang mendapat hak pengedaran filem tersebut di seluruh dunia kecuali India. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Malik Streams




No comments:

Powered by Blogger.