Ads Top

Memilih Untuk Mendengar Pandangan Yang Berbeza

Kadangkala kita rasa kita benar, tetapi belum tentu kebenaran benar-benar memihak kepada kita dalam sinar. Boleh jadi kita nampak ia benar kerana mata kita sudah diwarnai oleh kaca mata pilihan kita.

Itulah sifat manusia, sentiasa berasa diri yang paling benar walaupun kebenaran itu masih samar. Sikap sebegini adalah fitrah manusia sebagaimana firman Sang Penciptanya:

مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
(Jangan kamu jadi seperti orang Musyrikin), iaitu orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula jadi berpuak-puak; setiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (fahaman dan amalan yang terpesong itu)Surah al-Rum 30:32

Cukup ironi apabila para penyembah berhala di Mekah turut yakin mereka benar dan orang Islam yang sesat tersasar, firman Allah S.W.T:

Sesungguhnya orang yang derhaka,(dahulunya) selalu tertawakan orang yang beriman. Dan apabila orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; Dan apabila mereka melihat orang yang beriman, mereka berkata: “Sesungguhnya orang itu adalah golongan yang sesat!”Surah Al-Mutaffifin 83:29-32

Bukan hanya mereka, Firaun yang menjuarai carta manusia zalim sepanjang sejarah manusia pun turut berasa dirinya benar dan Musa-lah yang paling jahat lagi gasar. Perhatikan firman Allah ini;

وَقَالَ فِرْعَوْنُ ذَرُونِي أَقْتُلْ مُوسَى وَلْيَدْعُ رَبَّهُ إِنِّي أَخَافُ أَنْ يُبَدِّلَ دِينَكُمْ أَوْ أَنْ يُظْهِرَ فِي الْأَرْضِ الْفَسَادَ

Dan Firaun berkata (kepada pengikutnya): “Biarkan aku bunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar ugama kamu, atau dia menimbulkan kerosakan di muka bumi” Surah Ghafir 40:26

Oleh kerana semua pihak berasa dirinya benar, apa penyelesaiannya? Pastinya neraca benar atau sesat diukur timbang melalui hujah dan fakta.

Pun begitu bagi manusia yang dangkal, hujah fakta mudah sahaja mereka sangkal, walaupun mereka tidak tahu hujung pangkal. Hujah fakta bukanlah makanan minda yang mampu mereka hadam. Akibatnya kedegilan serta kebodohan mereka sukar dipadam.

Antara alternatif mudah saranan al-Quran bagi menangani manusia malas berfikir adalah mendengar pandangan orang lain atau “second opinion.”

Pandangan kedua atau “second opinion” lebih berkesan jika yang meluahkan pandangan adalah golongan pakar lagi terpelajar.

Ketika Musyrikin Mekah menyimpan otak dalam almari kerana risau terkena jangkitan kebenaran hujah Rasulullah S.A.W, Allah cadangkan agar mereka menerima pandangan kedua daripada golongan Ahli Kitab.

Mengapa Ahli Kitab? Tidak lain kerana mereka adalah pakar perihal kitab langit dan agama wahyu. Ahli Kitab juga sudah sekian lama dikagumi oleh orang Arab Mekah, firman Allah S.W.T yang bermaksud;

(Al-Quran diturunkan) Supaya kamu tidak mengatakan: “Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka”. Atau supaya kamu (tidak) mengatakan: “Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka” Surah al-An’am 6:156-157

Pandangan kedua atau “second opinion” sebenarnya agak selamat untuk dijadikan makanan minda kerana ia bebas daripada kecenderungan pihak bertelagah.

Apabila telagah Musyrikin Quraysh dengan Rasulullah S.A.W berlaku secara sengit, Allah mencadangkan orang Mekah merujuk pandangan kedua daripada golongan yang mereka kagumi. Benarkah dakwaan wahyu oleh Muhammad ini? Berikutan itu Allah menurunkan ayat ini:

فَإِنْ كُنْتَ فِي شَكٍّ مِمَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ فَاسْأَلِ الَّذِينَ يَقْرَءُونَ الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكَ لَقَدْ جَاءَكَ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ
Oleh sebab itu, sekiranya engkau berasa ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyalah kepada orang yang membaca kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau jadi daripada golongan yang raguSurah Yunus 10:94

Dalam firman lain Allah turut menyarankan perkara sama yang bermaksud;

Dan Kami tidak utus para rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka tanyalah kamu kepada AhluzZikri (orang yang mengetahui seperti Ahli Kitab adakah pernah ada para Rasul diutus dalam kalangan malaikat. Mereka pasti menjawab – tidak ada)” jika kamu tidak mengetahui. Dan Kami tidak jadikan para rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum, dan mereka pula tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia) Surah al-Anbiya’ 21:7-8

Manusia itu berbagai ragam dan rencam. Ada yang tanah hatinya lembut senang menerima siraman wahyu, ada pula yang keras bak batu menolak apa sahaja siraman padanya.

Untuk itu Allah memberikan alternatif kepada mereka agar bertanya pandangan orang lain untuk lebih memahami.

Bak kata, ada orang yang mudah percaya jika ada orang memberitahunya ada sesuatu melekat pada hidungnya.

Ada pula yang keras kepala tidak percaya sehingga mengatakan si pengkhabar sekadar menipu untuk mengejeknya.

Oleh itu, manusia jenis kedua ini perlukan cermin sebagai “pandangan kedua” yang boleh dipercayai untuk membuktikan kepercayaan hidungnya bersih daripada sebarang cacat adalah salah dan temannya ikhlas menegur.

Perkara yang sama patut kita amalkan dalam hidup bersosial dan beragama. Bukan semua sudut pandang atau pegangan kita tepat seratus peratus.

Mungkin ada sudut yang serong pada mata kita lalu perlu ada sudut pandang lurus daripada orang lain. Mungkin ada kanta mata kita yang kelabu kerana ego hati jantung menutup kebenaran, lalu kita perlukan suluhan orang lain agar terang keputusan kita.

Begitulah lumrah kehidupan! Beruntunglah orang yang sedia menerima teguran atau nasihat.




No comments:

Powered by Blogger.