Ads Top

Hassan Al-Shabbah Dan Gerakan ‘Assassin’

Mungkin kita semua sudah terbiasa dengan perkataan ‘assassin’ yang dipopularkan oleh masyarakat Barat sebagai pembunuh upahan yang pada suatu masa dahulu menjadi igauan ngeri kepada tentera Salib dari Eropah.

‘Assassin’ bermaksud pembunuh ganas ataupun pembunuh upahan yang membunuh tokoh-tokoh terkenal disebabkan oleh wang ataupun sebab politik.

Perkataan ini pada asalnya diambil dari bahasa Arab iaitu ‘Hasyisyiyyah’ (الحشيشية) yang berasal daripada ‘Hasyisy’ (الحشيش) yang bermaksud sejenis tumbuhan yang memabukkan. Gerakan ini adalah pecahan daripada Syiah Ismailiyah.

Perkataan ini digunakan oleh para sejarawan Arab dan Eropah tatkala perang Salib sedang menggelegak antara umat Islam dan Kristian Eropah.

Gerakan ini bermula pada pertengahan abad ke-11 yang dipelopori oleh Hasan Al-Shabbah (حسن الصباح) yang berfahaman Syiah Ismailiyah.

Beliau berasal dari kota Qum yang terletak di negara Iran pada hari ini dan lahir pada tahun 1124 M kemudian dibesarkan dalam keluarga yang berfahaman Syiah Imam Dua Belas. Kemudian keluarga beliau berpindah ke kota Ray (Tehran).

Beliau menukar mazhab tatkala berumur 17 tahun setelah dipengaruhi oleh seorang pendakwah Ismailiyyah yang bernama Amira Zarrab.

Ketika itu gerakan dakwah Syiah Ismailiyah begitu pesat berbanding Syiah Imam Dua Belas disebabkan adanya sokongan padu daripada Dinasti Fatimiyyah di Mesir.

Institusi dakwah yang digerakkan oleh mereka telah menyebarkan para pendakwah ke pelbagai daerah termasuk kota Ray (Tehran).

Gerakan ini berpusat di sebuah benteng yang terletak di pergunungan Elburz di Utara Iran yang bernama benteng Alamut. Kedudukannya yang strategik dan sukar untuk ditemui menyebabkan mereka menjadikan benteng tersebut sebagai pusat kegiatan gerakan dakwah dan keagamaan rahsia.

Gerakan ini menjadikan Syiah Ismailiyah sebagai inti ajaran dan menjadikan Dinasti Fatimiyyah sebagai pusat kesetiaan manakala pemerintahan Sunni dijadikan sebagai musuh utama mereka.

Pembunuh-pembunuh upahan dilatih sehingga mereka mempunyai keberanian dan kesetiaan yang luar biasa kepada pemimpin mereka.

Mereka menggunakan taktik pembunuhan yang licik melalui penyamaran untuk menyusup masuk sama ada dalam masyarakat setempat dan tentera bahkan sebagai seorang sufi yang menyukarkan pergerakan mereka dapat dikesan.

Mereka mempunyai senarai tokoh-tokoh politik yang akan mereka bunuh. Tokoh pertama yang dibunuh oleh mereka ialah wazir terkenal Kerajaan Saljuk iaitu Nizam al-Mulk.

Beliau ditikam ketika dalam perjalanan menuju ke Tanah Suci Makkah bersama rombongan untuk menunaikan ibadah haji.

Beliau ditikam oleh seorang pemuda dari Dailam yang meyusup masuk ke dalam rombongan mereka dengan berpakaian sufi.

Sepanjang hayat Hasan Al-Shabbah, gerakan beliau berjaya membunuh hampir 50 orang tokoh dan pemimpin politik sehinggalah kewafatan beliau pada tahun 1124 M.

Legasi gerakan ini diteruskan oleh pengganti beliau yang mendapat didikan dan doktrin Syiah Ismailiyyah.

Keberadaan gerakan ini dalam suasana politik pada masa itu membolehkan pemimpin-pemimpin politik menggunakan khidmat mereka untuk membunuh musuh politik masing-masing.

Gerakan ini juga dikatakan beberapa kali gagal dalam cubaan untuk membunuh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi yang diupah oleh musuh-musuh politik beliau.

Gerakan ini berakhir setelah hampir 300 tahun ketika pasukan Mongol mula masuk ke wilayah Iran, Iraq sehingga Syria dan mereka menyerang dan menguasai benteng Alamut dan benteng-benteng lain kepunyaan mereka.

Pada waktu yang sama, tentera Mongol berjaya menumbangkan khilafah Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad pada tahun 1258 M.




No comments:

Powered by Blogger.