Ads Top

Ajak, Shahrul ‘Bersara’ Dunia Deejay, Kembali Aktif Bidang Komedi

Dua ahli Shiro iaitu Ajak dan Shahrol semalam membuat pengumuman mereka akan meninggalkan seketika dunia penyampai radio bagi memberi laluan kepada kerjaya lakonan dan komedi selepas ini.

Ajak dan Shahrol membuat pendedahan itu selepas dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) yang mana melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 beserta sebuah trofi.

Menurut Ajak, dia nekad mengambil keputusan itu bagi memberi lebih fokus terhadap bidang lakonan dan kerjayanya sebagai pelawak selain ingin lebih meluangkan masa bersama keluarganya.

“Kontrak saya akan tamat pada bulan depan dan majikan menghormati keputusan saya.

“Bayangkan saya tidak pernah hantar anak ke sekolah dalam tempoh tiga tahun ini kerana pergi berada di konti radio pada awal pagi,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Ajak merupakan penyampai radio Hot FM menerusi slot Geng Pagi Hot bersama Shuk dan Fizi.

Sementara itu, Shahrol yang baharu sahaja enam bulan menggendalikan segmen Team Suria Pagi juga telah meninggalkan kerjayanya sebagai deejay radio selepas kontraknya tamat pada 11 Januari lalu.

Menurut Shahrul, sama seperti Ajak dia juga akan menumpukan kepada kerjaya lakonan dan bidang lawak selain menguruskan syarikat produksinya sendiri, Bushido Production.

“Alhamdulillah walaupun tidak lagi bergelar penyampai radio tetapi ada pula rezeki kami memenangi Maharaja Lawak Mega 2018.

“Kami lihat ini sebagai petanda yang cukup bagus untuk kami kembali serius dalam bidang komedi yang sudah agak lama kami tinggalkan,” ujar Shahrol.

Selepas tujuh kali menyertai MLM, ini merupakan kali pertama Shiro menjuarainya.

Naib juara MLM 2018 dimenangi penyandang juara tahun lalu iaitu kumpulan Bocey yang disertai Abam, Achey dan Fad. Mereka memenangi hadiah wang tunai RM250,000.

Tempat ketiga milik trio adik beradik dari Sabah, Zero iaitu Syarif, Syaiful dan Atu yang membawa pulang hadiah RM150,000. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Ajak Shiro

No comments:

Powered by Blogger.