Air Mata Suami, Ingatan Untuk Isteri
Wanita memang tidak dapat lari dengan air mata. Kadang-kadang perkara yang dianggap remeh pun, dia boleh mengalirkan air mata. Sensitif. Namun, ini tidak berlaku pada lelaki dan agak susah untuk melihat lelaki menitiskan air mata. Ada pun mungkin peristiwa yang menikam perasaan sehingga dia menjatuhkan air mata.
Begitu juga dalam rumah tangga, dalam tempoh perkahwinan itu, pernah tak, anda melihat pasangan anda menitiskan air mata? Hanya yang kelihatan adalah air mata isteri sahaja. Mahalnya air mata suami. Jom, kupas lebih lanjut tentang air mata lelaki ini bersama Puan Asniza Mamat, Pegawai Psychologi Kanan, Pusat Asasi UIA.
Hati Sudah Terguris
Ketahuilah, apabila suami menangis, itu tandanya dia sudah buntu, lemas, tersepit dan tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Jika hati mereka terguris dengan kata-kata yang terlalu tajam dan penghinaan juga mampu membuat mereka menangis terutama dari seorang isteri.
Tawan Hati Suami
Bagi isteri, jika sifat diri membuatkan jatuhnya air mata suami, segeralah memohon maaf kerana maaf itu adalah ‘master eraser’.
Berbincanglah dari hati ke hati dengan matlamat kebaikan bersama bukan untuk menang atau mencari salah. Lelaki suka bila dirinya didahulukan dan diutamakan. Sesuai dengan fitrah seorang ketua keluarga.
Nasihat Untuk Isteri
- Sebagai isteri perlu belajar memahami suami, bagaimana didikannya, tahap pengetahuannya dan suai padankan bagaimana peranan yang perlu dimainkan isteri agar mampu menjadi pasangan yang didambakan bukan menghambarkan.
- Sesekali bagi ruang tersendiri buat suami, usah terlalu bergantung dan jangan juga terlalu berdikari, ada ketikanya suami ingin rasa diperlukan dan diharapkan, ada ketika juga suami ingin melihat bijaknya isteri kendali keadaan.
- Jadilah pendengar yang penyejuk hati, ketika dia hilang semangat, tiupkan semangat buat dirinya dan ketika dia kehilangan kata kata, berikan dia buah fikiran yang bijak penuh kasih sayang.
- Perlu memperlihatkan pada suami dia penting dalam hidup kita, ingat hari lahirnya, bantu rutin hidupnya dan doakan kesejahteraannya sentiasa.
The post Air Mata Suami, Ingatan Untuk Isteri appeared first on Mingguan Wanita.
No comments: