Ads Top

Insomniacks Kukuh Kedudukan Nama Dalam Muzik Pop Rock Malaysia Dengan Kelahiran Album Sulung ‘Kami Insomniacks’

Daripada kejayaan konsert ‘Echoes of a Dream’ yang habis terjual di Kuala Lumpur dan Singapura pada 2025, kemenangan kategori Video Muzik Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2024 menerusi ‘Belum Mulai’ bersama Nabila Taqiyyah, hingga pengiktirafan sebagai Artis Domestik Paling Tinggi Distrim 2025, Insomniacks terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara nama utama muzik pop rock Malaysia.

Kini, selepas hampir 11 tahun mencipta karya dan membina pengaruh, Insomniacks bersedia mencatat satu lagi pencapaian besar menerusi pelancaran album sulung, KAMI INSOMNIACKS, pada 30 Oktober 2026. Detik bersejarah itu bakal diraikan bersama peminat menerusi kemuncak jelajah album mereka di ODEON KL pada 31 Oktober 2026.

Album yang memuatkan 12 lagu ini mengangkat kisah cinta, persahabatan, kekeluargaan, pengembaraan dan perkembangan diri berdasarkan pengalaman yang dilalui bersama oleh anggota kumpulan. Album sulung ini turut menyaksikan Insomniacks bergabung idea dengan barisan penyanyi dan penulis lagu tempatan seperti Aziz Harun, XONE, Hael Husaini dan Irfan Haris, membuka ruang untuk mereka bereksperimen dan membawa bunyi Insomniacks ke dimensi baharu. 

“Album ini sangat bermakna buat kami sebab selepas hampir 11 tahun buat muzik bersama, akhirnya kami dapat kongsikan album pertama kami. Ia merangkum perjalanan, pengalaman dan apa yang kami pelajari selama ini. Kami memang teruja dan tak sabar nak semua orang dengar,” kongsi Insomniacks.

Album ini memperlihatkan sebuah kumpulan yang semakin yakin dengan identiti sendiri. Pengalaman sepanjang berkarya bersama diterjemahkan melalui penulisan yang lebih matang dan keberanian mencuba idea baharu. “Banyak yang kami dah lalui dan pelajari, sebagai individu dan juga sebagai satu kumpulan. Sebab itu, soal perkembangan diri memang dekat dengan kami. Pengalaman dan hubungan dengan orang sekeliling membentuk siapa kami hari ini, dan semua itu turut tergambar dalam muzik kami,” jelas mereka.

“Banyak yang berubah dari segi bunyi, penulisan lagu dan cara kami buat muzik. Kami suka bereksperimen, tapi untuk album ini, kami nak kukuhkan lagi identiti muzik kami. Harapnya, peminat dapat kenal sisi lain Insomniacks sambil masih rasa sentuhan yang mereka kenal selama ini,” ujar mereka.

Menjelang pelancaran album sulung KAMI INSOMNIACKS, Insomniacks membuka langkah dengan jelajah pra-album merentasi tiga kota, membawa lagu baharu terus ke pentas dan memberi peminat peluang mendengarnya sebelum keluaran rasmi.

Jelajah membuka tirai pada 19 September di Loft29, George Town, Pulau Pinang, di hadapan 300 penonton. Dalam persembahan akustik penuh yang menampilkan 13 lagu, Insomniacks membawakan enam lagu daripada album sulung KAMI INSOMNIACKS dimana empat lagu tersebut telah tersedia menerusi akses awal di laman peminat insomniacks.world, serta dua lagi yang belum dilancarkan di mana-mana platform ketika itu, sekaligus memberi penonton peluang istimewa untuk mendengarnya secara langsung.

Kembali dengan persembahan akustik penuh selepas sekian lama, Insomniacks mengakui berdepan rasa gementar. Namun, sambutan penonton serta aktiviti bersama peminat sebelum persembahan menjadikan persinggahan pertama ini pembuka yang bermakna.

“Sejujurnya, saya agak gementar dan risau sebab ini kali pertama kami bawakan lagu-lagu album ini secara akustik. Dah lama juga kami tak buat persembahan akustik penuh. Tapi lepas selesai, semuanya rasa seronok dan kami memang puas dengan pengalaman itu,” kongsi Dan, gitaris Insomniacks.

Momentum jelajah diteruskan pada 3 Oktober di Embrace Hall Music & Art Center, Skudai, Johor Bahru, dengan kesemua tiket habis dijual dan kehadiran lebih 300 penonton. Antara momen paling istimewa malam itu ialah apabila peminat menyanyi bersama lagu-lagu daripada KAMI INSOMNIACKS yang telah tersedia menerusi akses awal di laman peminat insomniacks.world, meskipun album tersebut belum dilancarkan secara rasmi.

“Memang seronok dapat bawakan beberapa lagu baharu! Paling istimewa bila penonton ikut menyanyi salah satu lagu terbaharu kami, walaupun belum dilancarkan secara rasmi. Sokongan macam itu memang sangat bermakna buat kami,” kongsi mereka.

Perjalanan ini bakal sampai ke kemuncak di ODEON KL pada 31 Oktober, apabila Insomniacks mempersembahkan 14 lagu yang merangkumi kesemua 12 lagu daripada KAMI INSOMNIACKS, di samping beberapa lagu pilihan daripada rilisan terdahulu.

Berlangsung sehari selepas pelancaran album, showcase tersebut memberi peluang kepada peminat untuk menghayati keseluruhan karya baharu ini secara langsung dan meraikan pencapaian berkenaan bersama kumpulan kesayangan mereka.

Penutup jelajah di Kuala Lumpur dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 peminat, sekaligus menjadikan kota tempat Insomniacks berpangkalan sebagai lokasi sambutan istimewa ini. “KL memang tempat kami bertapak, jadi setiap kali buat persembahan depan peminat di sini, rasanya cukup istimewa. Dapat akhiri jelajah di tempat sendiri buat pengalaman ini lebih bermakna buat kami,” ujar Insomniacks.

Dengan keseluruhan album baharu menjadi teras persembahan, kumpulan ini berharap malam tersebut dapat mempertemukan peminat lama dan pendengar baharu dalam satu pengalaman yang menyeronokkan. “Kami mahu semua orang berseronok dan menikmati keseluruhan pengalaman konsert ini,” kata mereka.

Selain menikmati persembahan, pengunjung showcase di KL juga berpeluang mendapatkan beg messenger eksklusif Insomniacks yang hanya akan dijual semasa showcase tersebut. Barangan rasmi baharu seperti tali rantai kunci dan “iron-on patch”, serta koleksi terdahulu turut tersedia.

Peminat juga boleh mendapatkan barangan rasmi jelajah secara online serta mengakses kandungan eksklusif yang membawa mereka menyelami perjalanan pembikinan KAMI INSOMNIACKS menerusi insomniacks.world.

The post Insomniacks Kukuh Kedudukan Nama Dalam Muzik Pop Rock Malaysia Dengan Kelahiran Album Sulung ‘Kami Insomniacks’ appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.