Ads Top

Da’i Syed Dibebaskan Selepas Bayar Ikat Jamin Sebanyak RM35,000

Pendakwah bebas yang juga seorang penyanyi, Da’i Syed atau nama sebenarnya Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful dibebaskan selepas melunaskan bayaran ikat jamin berjumlah RM35,000 di Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Menerusi laporan Bernama, peguam bela Da’i Syed iaitu Syed Amirul Syed Edros berkata, bayaran ikat jamin anak guamnya dilunaskan oleh abangnya, Syed Shah Iqram dan pengurusnya, Mohd Aizat Jaafar.

Syed Amirul menyatakan kegagalan anak guamnya membayar ikat jamin selepas didakwa di kedua-dua mahkamah berkenaan pada 10 Disember lalu menyebabkan dia ditahan di Pusat Tahanan Reman Sementara, Beranang.

“Urusan di Mahkamah Shah Alam selesai kira-kira pukul 11 pagi tadi dan kemudian dia (Da’i Syed) dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya bagi urusan di situ pula,” katanya.

Pada 10 Disember lalu, Syed Shah Iqmal, 25, didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul kehormatan di Mahkamah Petaling Jaya, manakala pada hari yang sama di Mahkamah Shah Alam pula dia menghadapi tuduhan merogol seorang wanita.

Di Mahkamah Petaling Jaya, dia dikenakan ikat jamin RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan tarikh 19 Februari 2021 ditetapkan untuk sebutan semula kes, manakala di Mahkamah Shah Alam dia dikenakan ikat jamin RM10,000 dan sebutan semula kes pada tarikh 25 Januari 2021.

Sementara itu, Da’i Syed ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan di Mahkamah Petaling Jaya berkata dia redha dengan ketentuan berkenaan dan menyerahkan hal seterusnya kepada mahkamah.

Ujarnya, buat masa ini dia akan berehat sementara waktu dan melepaskan rindu bersama keluarga selepas direman selama 18 hari.

“Saya juga perlukan sedikit ruang untuk mengubat jiwa, mental dan kesedihan saya,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Da’i Syed Dibebaskan Selepas Bayar Ikat Jamin Sebanyak RM35,000 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.