Ads Top

Hadie Elfardie Selalu Dengar Lagu Arwah Ayah Sebelum Rakam Single Sulung ‘Dusta Sebuah Cinta’

Penyanyi muda yang semakin meningkat naik, Hadie Elfardie mendedahkan dia selalu mendengar lagu-lagu yang pernah dirakamkan oleh arwah ayahnya iaitu Allahyarham Suhaimi Saad.

Hadie berkata, ia adalah sebagai salah satu cara persiapan buat dirinya sebelum merakamkan single sulungnya berjudul Dusta Sebuah Cinta.

“Saya banyak mendengar lagu-lagu arwah ayah, termasuk lagu solo dan berkumpulan. Biasanya saya akan dengar berseorang dan menghayatinya.

“Saya akan kenalpasti macam mana lagu-lagu yang arwah saya bawakan dan daripada situ saya cuba improve kan cara nyanyian saya sehingga terhasilnya Dusta Sebuah Cinta,” jelasnya.

Hadie berkata demikian ketika ditemui semasa sesi ramah mesra bersama media yang telah berlangsung pada malam tadi.

Suhaimi yang juga bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru akibat jangkitan kuman pada paru-paru pada 15 November 2023.

Menurutnya lagi, untuk merakamkan lagu berkenaan, dia selalu teringat cara arwah ayahnya berlatih menyanyi serta menjaga pemakanan dengan tidak mengambil minuman berais, makanan berminyak dan banyak berhehat.

Bercerita lebih lanjut mengenai single tersebut, Hadie memberitahu Dusta Sebuah Cinta adalah naskhah bergenre balada melankolik hasil ciptaan sepenuhnya Jaja Ishak mengisahkan tentang penderitaan, kekecewaan, dan konflik emosi seseorang akibat dikhianati cinta sejati yang penuh dengan penipuan.

Pada masa sama, dia mengakui terpaksa mengambil masa yang agak lama iaitu selama lima bulan untuk menghasilkan single sulungnya itu.

“Sewaktu di peringkat awal saya rasa tidak berani dan kurang keyakinan. Sebelum ini, ada arwah ayah yang boleh bagi bimbingan dan apabila berseorangan timbul pula rasa ragu-ragu dan takut.

“Alhamdulillah, sekarang ini bila ada ibu yang selalu beri sokongan serta Jaja Ishak yang banyak membantu, akhirnya keyakinan itu semakin kuat untuk menghasilkan single ini,” ujarnya.

Dusta Sebuah Cinta kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan JOOX. – KopiPlanet.com

The post Hadie Elfardie Selalu Dengar Lagu Arwah Ayah Sebelum Rakam Single Sulung ‘Dusta Sebuah Cinta’ appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.