Che Tak Terima Menantu, Anak Sulung Tamatkan Zaman Bujang Dengan Pilihan Hati
Pelakon dan usahawan sensasi, Rozita Che Wan, terima menantu, apabila anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy, sudah selamat bergelar suami kepada pilihan hatinya, Auni Ikhwan hari ini.
Pasangan itu dinikahkan wali yang juga bapa pengantin perempuan, Ikhwan Hashim dengan sekali lafaz sambil disaksikan Penolong Pendaftar Nikah & Imam Masjid Damansara Perdana, Ustaz Abdus Salam Mahmud di premis acara, GlamHall Damansara, di sini, kira-kira jam 8.41 malam.
Mengambil keberkatan 10 Muharram, majlis bertemakan Garden Wedding Itu dihadiri kira-kira lebih 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapat pasangan mempelai.
Dalam majlis itu, Ammar menyerahkan mas kahwin RM300 selain wang hantaran berbentuk jongkong emas.
Pasangan mempelai masing-masing turut berbalas tujuh dulang hantaran. Tak ketinggalan pada upacara membatalkan air sembahyang, cincin berlian 1.8 karat dipersembahkan sebagai simbolik.
Rozita yang mesra disapa Che Ta ketika ditemui dilihat tidak mampu menahan sebak ketika melepaskan anak sulungnya memikul amanah besar sebagai suami.
“Tetaplah bersama walau dalam keadaan tak sempurna dan apa sekalipun. Moga Ammar dapat menjadi suami yang melindungi dan bukannya ‘bossy’. Buat Auni, jadilah isteri yang mendampingi dan tidak sekadar menemani
“Dalam berumahtangga ini, Ammar dan Auni kenalah berpegangan tangan dalam setiap keadaan. Janganlah melepaskan pegangan tangan itu di kala susah atau berdepan kegetiran.
“Dalam perkahwinan ini, kebahagiaan bukan mengenai pasangan yang tak diuji. Tetapi, pasangan yang bersama walaupun diuji,” tutur Che Ta dalam nada bergetar.
Sebagai ibu dan wanita yang pernah melalui fasa perpisahan menerusi perkahwinan pertama sebelum mengecap bahagia kini, Che Ta mengharapkan anak dan menantunya itu akan realistik menyusun langkah bersama.
“Dalam hidup ini apatah lagi berumahtangga, pasti tak lepas diuji. Namun, cubalah untuk terus utuh di sisi masing-masing. Ada orang cakap tahun pertama, kedua dan seterusnya akan manis dan indah.
“Namun apabila sudah lama dan diserikan dengan kehadiran anak pula, pasti ada pelbagai ragam dan ujian. Tapi cubalah untuk terus bertolak ansur dan memahami. Perkahwinan ini bukan seperti menukar pakaian.
“Nescaya, akan timbul perkara tak diundang. Tapi jangan sesekali tikir jalan mudah untuk lari daripada apa saja godaan serta cabaran. Moga mereka akan sama – sama mewarnai keharmonian rumah tangga dengan penuh Sakinah, mawaddah dan warahmah,” katanya.

Mengenai tema majlis nikah, aktres yang terkenal menerusi drama Kiah Pekasam itu berkata , tema ‘Garden Wedding’ diangkat atas persetujuan bersama keluarga mempelai selain menekankan aspek minimalis.
Pasangan pengantin turut tampil anggun dalam persalinan serba putih rekaan busana Man Kajang yang digayakan oleh Ammar, sementara Auni pula menyerlah kejelitaan dalam persalinan Zaimi Zulkifly.
Majlis turut diserikan dengan Ahmad Fedtri Yahya bertindak sebagai pengerusi majlis. Selain bacaan doa oleh Pencetus Ummah (PU) Amin.
Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 25 Oktober tahun lalu.
Ammar kini menyandang tugas sebagai pegawai di sebuah premis bank, Manakala Auni bekerja di sebuah syarikat dalam bidang pemasaran.
Esok malam pasangan ini akan diraikan dalam sebuah majlis bertemakan Black Tie di sebuah hotel di I-City Shah Alam. Majlis bertandang pula dijadualkan berlangsung pada 4 Julai depan. – KopiPlanet.com
The post Che Tak Terima Menantu, Anak Sulung Tamatkan Zaman Bujang Dengan Pilihan Hati appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: