Shila Hamzah Luah Kasih Sayang Seorang Ibu Di Konsert ‘Resonance: Shila Amzah in Harmony 25 Years of Music and Memories’
Dewan Filharmonik Petronas (DFP) malam tadi tidak sekadar menjadi saksi kehebatan persembahan penyanyi Shila Amzah, malah bertukar menjadi medan luahan emosi dan penghargaan kasih sayang antara seorang ibu dan anak-anaknya.
Pada konsert solo bertajuk Resonance: Shila Amzah in Harmony 25 Years of Music and Memories, Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 34, sempat menitipkan ucapan penghargaan yang cukup menyentuh hati buat dua permata hatinya, Seth Uwais dan Rhea Akira (Leia).
Ternyata suasana syahdu mula menyelubungi dewan apabila Seth dilihat berdiri sambil memegang papan tanda bertulis “I Love You Mama” sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada ibu mereka yang sedang beraksi di pentas.
Sambil menahan sebak, Shila melahirkan rasa syukur kerana dikurniakan anak-anak yang memahami tuntutan kerjayanya sebagai anak seni yang kini telah mencecah usia perak.
“Terima kasih kerana tidak menghalang ibu untuk terbang lebih tinggi. Saya sangat mencintai kamu berdua. Saya mencintai anda, Seth, Leia!” katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh.
Momen ini tercetus apabila Shila membawakan bait-bait lagu iklan ‘Ibu-Ibu’ yang cukup ikonik dengan jenama susu Fernleaf suatu ketika dahulu.
Shila mendedahkan bahawa bakat nyanyiannya mula dikesan oleh ibunya menerusi kegemaran beliau menyanyikan lagu-lagu iklan di televisyen sewaktu kecil.
“Ibu saya adalah orang yang selalu nampak Syah (Shila) suka nyanyi lagu-lagu iklan. Dulu-dulu tiada media sosial, jadi setiap kali menonton TV, itulah masanya dia menyedari bahawa saya boleh menyanyi,” kongsi Shila.
Menariknya, Shila menyatakan bahawa kini anak-anaknya turut menunjukkan minat yang sama dan sering mengikut jejak langkah beliau menyanyikan lagu-lagu iklan.

Konsert tersebut bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi turut diangkat sebagai simbol sambutan Hari Ibu.
Pihak penganjur dengan kerjasama jenama Fernleaf mengambil inisiatif memberikan kejutan manis dengan mengagihkan bunga carnation kepada semua ibu yang hadir pada malam tersebut.
Langkah berkenaan merupakan simbolik kepada penghargaan terhadap pengorbanan golongan ibu, sekali gus menjadikan konsert Resonance sebuah naskhah memori yang indah buat semua yang hadir. – KopiPlanet.com
The post Shila Hamzah Luah Kasih Sayang Seorang Ibu Di Konsert ‘Resonance: Shila Amzah in Harmony 25 Years of Music and Memories’ appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: