Tampilkan Vokal Dua Penyanyi Hebat, Iskandar Ismail & Idayu Bergandingan Menerusi Lagu Duet ‘Mahal’
Iskandar Ismail yang sebelum ini hangat menjadi sebutan sebagai antara pencabar paling digeruni di pentas Gegar Vaganza musim ke 12, akhirnya membuktikan keunggulannya apabila dinobatkan sebagai juara pada malam kemuncak.
Tidak menunggu lama untuk memahat namanya, bintang sensasi kelahiran Singapura ini terus mengatur
langkah drastik di pasaran Malaysia menerusi pengenalan single berstatus ‘power ballad’ berjudul ‘Mahal’.
Lagu ciptaan komposer berprofil tinggi, Farouk Roman ini bukanlah satu percubaan biasa. Ia adalah sebuah paduan suara epik yang menggandingkan vokal berkarisma Iskandar dengan nada tinggi memukau milik Idayu.
Diterbitkan oleh Sony Music Malaysia, ‘Mahal’ kini mula mendominasi carta muzik dan dipilih sebagai runut bunyi utama drama rantaian mega 60 episod di Astro sekali gus membuktikan kualiti premium karya ini.
*ISKANDAR ISMAIL MISI MENAKLUK MALAYSIA
Membawa legasi bapanya iaitu legenda 60an R Ismail serta pengalaman 20 tahun sebagai figura seni muzik di Singapura, Iskandar kini bersedia sepenuhnya untuk melebarkan empayarnya ke Malaysia.
Kejayaan merangkul gelaran Juara di pentas GV12 hanyalah permulaan dan ‘Mahal’ adalah bukti keseriusan beliau untuk kekal relevan di sini.
Menurut Iskandar, beliau tidak datang ke sini untuk mencuba nasib semata mata. Selepas lebih 20 tahun membina nama di Singapura, ini adalah masa terbaik untuk beliau memberikan segalanya di Malaysia.
Lagu ‘Mahal’ adalah senjata utama beliau. Beliau akui gementar namun apabila dimaklumkan bakal berduet dengan penyanyi bervokal hebat seperti Idayu, beliau yakin lagu ini akan meledak. Ini bukan sekadar lagu tetapi penanda aras karier beliau di sini.
Bagi memastikan kualiti vokal berada pada tahap maksimum, Iskandar melalui sesi rakaman intensif di bawah bimbingan Vocal Stylist, Afif Tirmizie bagi memastikan setiap not yang dilontarkan seimbang dan mampu menyaingi kehebatan vokal Idayu.
*IDAYU GANDINGAN YANG MENCABAR DAN MENYENGAT
Pemilihan Idayu sebagai rakan duet memberikan impak yang besar kepada lagu ini. Dikenali dengan standard vokal yang tinggi, Idayu mengakui tenaga yang dibawa oleh Iskandar dalam lagu ini sangat luar biasa.
Idayu berkongsi bahawa sejak kali pertama mendengar demo lagu tersebut, beliau terus jatuh cinta dengan jiwa lagu ini. Melodinya mencabar tapi sangat memuaskan.
Vokal Iskandar kedengaran sangat matang dan apabila digabungkan ia mencetuskan satu emosi yang sangat
kuat. Proses rakaman berjalan lancar kerana mereka berdua faham kehendak rasa yang
dimahukan oleh Farouk Roman.
*DI SEBALIK LAGU MAHAL
Lagu ‘Mahal’ tampil dengan keunikan tersendiri kerana ia sebuah karya yang mengangkat martabat perasaan mengatasi material.
Menurut Farouk Roman, lagu ini menuntut penghayatan dan teknik vokal kelas atasan. Ujar Farouk, ‘Mahal’ mengangkat makna nilai sebenar dalam hidup dan bukan sekadar material tetapi perasaan, kejujuran dan pengorbanan yang sering tidak ternilai harganya.
Vokal Idayu yang jujur digabung dengan kemantapan vokal Iskandar menjadikan kolaborasiini sangat natural, padu dan penuh makna.
Lagu Mahal telah tersedia di semua platform digital pada 30 Januari 2026. Lagu ini turut dipilih sebagai runut bunyi utama bagi drama rantaian 60 episod iaitu ‘Mencari Isteri Sempurna’. – KopiPlanet.com
The post Tampilkan Vokal Dua Penyanyi Hebat, Iskandar Ismail & Idayu Bergandingan Menerusi Lagu Duet ‘Mahal’ appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: