Dedah Sisi Gelap Semasa Zaman Remaja, Aedy Ashraf Mahu Kisah Dirinya Jadi Pengajaran
Pelakon popular, Aedy Ashraf menyatakan tidak pernah timbul sebarang kekesalan dalam dirinya apabila mendedahkan sisi gelap kehidupannya ketika remaja.
Aedy berkata, dia juga berasa lega selepas dapt berkongsi mengenai kisah tersebut secara terbuka.
“Saya rasa lega apabila saya menceritakannya dengan seorang sosok yang saya rasa macam ayah saya sendiri (Datuk Aznil Nawawi). Sebab dia dah sentiasa ada dalam TV sejak saya kecil sampai saya besar.
“Dia seorang yang sangat-sangat menyokong dan itu buatkan saya selesa untuk berkongsi. Saya rasa lega dan tak menyesal, saya merasakan itu adalah langkah terbaik yang pernah saya buat,” katanya.
Aedy berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pelakon utama filem TARUNG: Unforgiven yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) semalam.
Pada masa sama, Aedy turut mendedahkan dia menerima banyak mesej peribadi daripada orang ramai yang berterima kasih selepas mendengar pendedahannya itu.
“Memang ramai sangat yang berterima kasih kepada saya dan ada segelintir yang DM dengan meluahkan yang mereka melalui perkara sama tetapi mereka rasa seperti keseorangan.
“Harapan saya apabila mereka dengar cerita saya, mereka tahu yang mereka tidak keseorangan dan ia boleh memberi sedikit cahaya atau harapan untuk mereka tahu yang walau betapa perit pun hidup korang sekarang, ia takkan kekal selamanya,” ujarnya.
Mengulas kritikan segelintir pihak yang menganggap pendedahan tersebut seperti membuka aib sendiri, Aedy menegaskan dia telah pun menerima hukuman atas kesilapan lampau yang pernah dilakukan.
“Saya pernah kena tangkap dengan pihak berkuasa dan saya dah lalui apa yang sepatutnya saya lalui. Sebab itu saya ceritakan sekarang supaya orang lain tidak mengulangi kesilapan yang sama.
“Kadang-kadang bila kita muda, kita ikut perasaan. Jadi saya harap orang boleh ambil perkara ini sebagai pengajaran supaya buat benda yang baik,” katanya.
Sebelum ini, Aedy berkongsi sisi gelap kehidupannya sewaktu remaja apabila pernah terlibat dengan kegiatan negatif termasuk dadah, kelab malam dan samun menerusi sesi temu bual audio Kita-Kita Aje! bersama Aznil yang dimuat naik di YouTube.
Menerusi perkembangan lain, Aedy bakal tampil sebagai penerbit selain memegang watak utama dalam filem aksi TARUNG: Unforgiven yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.
Selain Aedy, filem arahan Razaisyam Rashid itu bakal menampilkan gandingan pelakon popular seperti Bront Palarae, Zul Ariffin, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G. – KopiPlanet.com
The post Dedah Sisi Gelap Semasa Zaman Remaja, Aedy Ashraf Mahu Kisah Dirinya Jadi Pengajaran appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: