Ads Top

50 Anak Yatim ASKAS Diraikan Dalam Program ‘Jom Kongsi Rezeki – Bersama Anak Yatim’

Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, satu program kebajikan bertajuk “Jom Kongsi Rezeki – Bersama Anak Yatim” telah dianjurkan dengan tema “Berkongsi Rezeki, Menyemai Harapan.” 

Majlis yang berlangsung di Urban Park Hall, Shah Alam ini bertujuan untuk berkongsi kegembiraan, kasih sayang serta rezeki bersama anak-anak yatim daripada Asrama Kasih YBK Serendah (ASKAS).

Seramai 50 orang anak yatim dari ASKAS bersama tiga orang penjaga termasuk pengetua, Halimah Saadiah Mohd Nawi, telah diraikan dalam majlis yang berlangsung dari 5.30 petang hingga 9.30 malam. 

Program ini bukan sahaja menyediakan jamuan berbuka puasa, malah turut diserikan dengan pelbagai aktiviti Ramadan seperti zikir, persembahan nasyid serta penyampaian sumbangan kepada anak-anak tersebut.

Antara objektif utama program ini adalah untuk memberi pengalaman bermakna kepada anak- anak yatim, khususnya dalam bulan Ramadan yang sinonim dengan nilai kasih sayang, empati dan semangat berkongsi. 

Program ini juga bertujuan memberikan sokongan moral serta kegembiraan kepada anak-anak ASKAS agar mereka merasakan bahawa mereka sentiasa dihargai dan disayangi oleh masyarakat.

Menariknya, program ini turut mempunyai nilai sentimental yang mendalam kerana salah seorang individu yang terlibat dalam penganjuran program ini, Muhamad Izzat Samadi, merupakan bekas penghuni ASKAS yang pernah tinggal di rumah kebajikan tersebut selama enam tahun. 

Pengalaman tersebut menjadi inspirasi kepada beliau untuk kembali berkongsi rezeki dan kegembiraan bersama anak-anak di rumah tersebut. Usaha kebajikan seperti ini bukanlah yang pertama dianjurkan. 

Sebelum ini beberapa program seumpamanya telah dilaksanakan termasuk bantuan kepada golongan asnaf yang terkesan oleh wabak covid di sekitar Hulu Selangor pada tahun 2020, program kebajikan di Al Khairiah di Sekinchan pada tahun 2024, serta program kebajikan di Maahad Tahfiz Al-Fateh, Batang Kali pada tahun 2025. 

Program-program ini mencerminkan komitmen berterusan dalam menyemai semangat memberi kembali kepada masyarakat.

Majlis ini turut dihadiri oleh beberapa tetamu jemputan dan tokoh industri termasuk wakil daripada Juz Coffee, serta individu-individu seperti YM Tengku Loreta Binti Tengku Dato’ Setia Ramli AlHaj, Dato’ Ivan Lim, Dato’ Che Mat Che Ismail. 

Turut memeriahkan majlis adalah kehadiran artis dan selebriti tempatan seperti Elly Arifin, Asfan Shah, Wanns Ahmad, Aqeesh Aleeya, Wani Annuar dan Aiman Zaidi.

Program ini turut mendapat sokongan daripada beberapa pihak penaja yang menjayakan majlis ini. Zai Sri Gemilang Catering tampil sebagai penaja utama dengan menyediakan jamuan makanan serta lokasi majlis. 

Program ini turut disokong oleh Juz Coffee sebagai penaja bersama. Selain itu, beberapa jenama lain turut menyumbang hadiah dan barangan kepada anak-anak ASKAS termasuk Jakel HQ (pakaian raya), Choctop (kasut), One Drop Perfume (minyak wangi), The Batek Boutique (set lukisan), Nestlé (ais krim) serta Bloomthis (hamper).

Melalui program “Jom Kongsi Rezeki – Bersama Anak Yatim”, para penganjur berharap agar lebih banyak pihak tampil bersama dalam menyebarkan kebaikan dan menyantuni golongan yang memerlukan, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. 

Seperti yang sering diingatkan, kadang-kadang hati yang pernah merasai kesusahanlah yang paling memahami nilai memberi. – KopiPlanet.com

The post 50 Anak Yatim ASKAS Diraikan Dalam Program ‘Jom Kongsi Rezeki – Bersama Anak Yatim’ appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.