Bella Astillah Meriahkan Lagi Suasana Aidilfitri, Lagu ‘Ya Raya’ Gabung Elemen Moden & Tradisional
Penyanyi dan pelakon terkenal, Bella Astillah, menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri tahun ini dengan pelancaran single Raya terbaharu berjudul “Ya Raya”.
Lagu ini ditulis oleh Rudeen, dikompos oleh Rudeen dan Exactesy, serta diterbitkan oleh Exactesy, dengan susunan muzik yang menggabungkan elemen moden dan tradisional satu gabungan yang segar namun masih mengekalkan jiwa muzik Raya yang dekat di hati pendengar.
Sarat dengan elemen keceriaan, kesyukuran dan semangat kebersamaan, lagu ini hadir sebagai soundtrack yang meraikan momen-momen indah bersama insan tersayang.
Menurut Bella Astillah, hubungan emosinya dengan lagu ini terjalin sejak pertama kali mendengar demo.
“Bila pertama kali dengar demo Ya Raya saya terus rasa dia sangat positif dan menggambarkan suasana Raya yang saya sendiri rasa. Setiap tahun kita beraya dalam suasana berbeza, kadang di kampung, kadang di bandar.
Lagu ni rasa lebih ringan, penuh kesyukuran dan nak meraikan masa bersama keluarga dan kawan-kawan. Ada elemen ceria yang buat orang rasa nak senyum bila dengar. Memang kena dengan mood Raya,” ujarnya.
Walaupun kedengaran ceria dan penuh tenaga, proses rakaman lagu ini sebenarnya hadir dengan cabaran tersendiri buat Bella Astillah.
“Cabaran utama masa rakaman adalah nak kekalkan tenaga dan keceriaan dalam vokal tanpa kedengaran dibuat-buat, sebab masa recording Bella sebenarnya demam dan kurang sihat. Tapi Bella paling enjoy part chorus sebab sangat catchy. Dalam studio pun semua orang ikut nyanyi sekali,” jelasnya lagi.
Keistimewaan “Ya Raya” juga terletak pada keseimbangan antara bunyi klasik Raya dan sentuhan kontemporari yang segar.
“Saya rasa Ya Raya ada gabungan elemen moden dan tradisional. Masih ada rasa Raya yang kita kenal tapi dengan susunan muzik yang lebih fresh dan sesuai dengan pendengar sekarang. Lagu ni lebih kepada vibe meraikan momen kecil bersama orang tersayang, bukan hanya suasana besar perayaan,” ujarnya.

Kolaborasi bersama Fipper pula memperluaskan lagi mesej lagu ini daripada sekadar muzik kepada gaya hidup sempena musim perayaan. “Bagi saya, Raya bukan sekadar muzik atau fashion sahaja, tapi keseluruhan gaya hidup, cara kita berjumpa orang, menikmati perjalanan balik kampung.
Kolaborasi dengan Fipper sangat seronok kerana ia melambangkan keselesaan dan gaya santai Raya. Bila muzik dan gaya hidup digabungkan melalui kempen ini, saya rasa sangat menarik dan dekat dengan kehidupan seharian peminat, especially masa Raya.”
Bagi Fipper, pemilihan Bella Astillah sebagai wajah kolaborasi ini adalah selari dengan nilai jenama tersebut. Menurut wakil Fipper, Bella Astillah dilihat sebagai figura yang positif, autentik dan dekat dengan masyarakat Malaysia pelbagai lapisan umur nilai yang seiring dengan identiti Fipper yang meraikan keaslian, keselesaan dan gaya hidup rakyat tempatan.
Lagu “Ya Raya” pula dipilih kerana ia membawa emosi, nostalgia dan kegembiraan Aidilfitri, menjadikan muzik sebagai medium yang menghubungkan jenama dengan pengguna secara lebih bermakna.
Fipper juga melihat muzik sebagai bahasa universal yang mampu mencipta kenangan dan membina hubungan emosi, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang menjadikan muzik sebahagian daripada identiti dan gaya hidup mereka.
Melalui projek ini, Fipper memperlihatkan evolusinya daripada sekadar jenama selipar kepada jenama gaya hidup yang hadir dalam perjalanan harian serta momen istimewa pengguna.
Sementara itu, pihak Universal Music Malaysia menjelaskan bahawa pemilihan lagu ini dibuat secara teliti. Pihak A&R menilai beberapa demo berdasarkan kekuatan melodi, lirik dan potensi komersial agar benar-benar menjiwai semangat Raya. Bella Astillahdipilih kerana imejnya, kekuatan vokal serta hubungannya yang kukuh dengan peminat.
Menurut pihak A&R lagi, “kolaborasi bersama Fipper dilihat sebagai satu pendekatan yang organik, dengan penekanan untuk menghasilkan lagu Raya yang tulen, mudah melekat di ingatan dan dekat di hati pendengar tanpa elemen penjenamaan yang terlalu menonjol. Kerjasama ini sekali gus memperkukuh hubungan antara jenama dan industri muzik tempatan.
Bella Astillah turut berharap “Ya Raya” dapat menjadi lagu yang menemani detik-detik bermakna setiap kali Aidilfitri menjelma.
“Mesej paling simple adalah untuk hargai masa bersama orang yang kita sayang. Raya datang setahun sekali, jadi gunakan masa ni untuk memaafkan, bersyukur dan cipta kenangan indah.
“Harapan saya semoga Ya Raya boleh jadi lagu yang menemani momen bahagia, bukan sahaja tahun ini tapi tahun-tahun akan datang,” ujarnya.
“Ya Raya” boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 13 Februari lalu. – KopiPlanet.com
The post Bella Astillah Meriahkan Lagi Suasana Aidilfitri, Lagu ‘Ya Raya’ Gabung Elemen Moden & Tradisional appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: