Program Realiti Starlight Boys Raih Jumlah Tontonan Tinggi Di Platform iQIYI
Program realiti terbitan platform tontonan antarabangsa iQIYI, Starlight Boys kini membawakan 69 peserta dari pelbagai negara untuk bersaing merebut peluang membentuk sebuah kumpulan lelaki dengan sembilan anggota.
Ditayangkan bermula 26 Oktober lalu, rancangan berkenaan telah meraih jumlah tontonan yang tinggi hingga berada di antara tangga teratas untuk program variasi di iQIYI.
Ketika persembahan pengenalan pada episod pertama, selebriti terkenal yang juga mentor, Choi Young-Joon kelihatan tersenyum menyaksikan persembahan memukau daripada Duan Xingxing, Sun Yinghao dan Liu Guanyou. Walhal, Choi Young-Joon sebelum ini sangat dikenali dengan perwatakan serius dan tegas.
Dalam pada itu, persembahan daripada Shao Ziheng juga mencuri perhatian ramai, tidak kurang juga dengan Lee Han-gyul kerana dia juga turut memberikan persembahan luar biasa. Mungkin semangatnya semakin kuat memandangkan dia sudah kerap menyertai pertandingan sebelum ini.
Ditayangkan setiap Sabtu jam 8 malam secara eksklusif di platform iQIYI International, Starlight Boys diacarakan oleh selebriti popular kesukaan ramai, Lee Sung-Kyoung. Program tersebut menampilkan barisan mentor yang hebat serta berpengalaman dalam industri K-Pop, mereka adalah Lee Seung-Gi, Daesung, Choi Young-Joon, Hanhae, Kwon Eun-Bi, Hui, Eric dan Yoon.
Sewaktu peringkat penilaian awal, setiap pelatih diberi markah berdasarkan tahap prestasi mereka. Cara permarkahan adalah dengan memberikan tiga bintang, dua bintang, satu bintang hinggalah gred kosong atau ‘zero star’ untuk yang tercorot. Mereka yang menerima ‘zero star’ perlu kembali ke ruang menunggu dan boleh memberi tekanan kepada pelatih lain di situ.
Kumpulan pertama dalam episod berkenaan memperkenalkan diri mereka sebagai ‘BTS’, ia semestinya mencuri perhatian hingga masing-masing berasa malu. Mereka kemudiannnya menjelaskan bahawa BTS di siti membawa maksud ‘Beautiful’, ‘Top’ dan ‘Sexy’. Pesona mereka berjaya membuat Lee Sung-Kyung berasa tertarik.
Pelatih bernama Ke Mingkai pula meluahkan rasa minat dan kagumnya terhadap Daesung dan menggelarnya sebagai idola. Daesung kemudiannya menjawab sambil berseloroh: “Awak telah memilih ‘role model’ yang baik, saya akan menambah markah awak!”.
Pun begitu, Daesung pada hujungnya memberikan kritikan untuk memperbaiki cara nyanyian dan menari para pelatih itu. Ramai pelatih mengalamai tekanan membuat persembahan di pentas besar untuk kali pertama. Sementara Lee Seung-Gi pula berkata, dia berasa sukar memberikan respon yang kasar atau boleh mengecewakan orang lain. Bagaimanapun, dia faham tentang komitmen dan tanggungjawab yang digalas untuk melahirkan idola dalam kalangan generasi muda itu.
Difahamkan, ada beberapa pelatih telah menyertai beberapa pertandingan sebelum ini termasuk Lan Han-gyul (BAE173). Dia pernah berentap dalam program The Unit pada 2017 dan kemudiannya menyertai kumpulan lelaki sementara iaitu X1 menerusi PRODUCE X 101. Kemudian, dia kembali tahun lalu untuk program Peak Time bersama anggota BAE173 yang lain.
Sekarang, dia berhadapan cabaran sekali lagi dalam Starlight Boys. Perjalanan Lee Han-gyul selama ini penuh dengan suka duka. Tentunya peminat mengharapkan yang terbaik untuk mereka kali ini. Yoon (STAYC) pula berkongsi tentang tentang perasaan bercampur baur kerana dia kini menilai bekas rakan sekerjanya dalam tanggungjawab baharu selaku mentor.
Beralih kepada Shao Ziheng yang mempersembahkan lagu dendangan asal Super Junior berjudul Black Suit secara solo, dia berjaya meraih gelaran ‘ending demon’ kerana berjaya memberikan persembahan memukau. Sementara itu, Duan Xingxing, Sun Yinghao dan Liu Guanyou yang merupakan senior daripada Youth With You 3 berjaya menarik perhatian barisan mentor dengan persembahan mereka yang boleh dikatakan seperti mengadakan konsert sendiri.
Mereka bertiga berjaya mendapat markah tinggi dan Choi Young-Joon membuat permintaan untuk melihat Duan Xingxing menari secara solo. Dia memuji Duan Xingxing selaku penari utama. Lee Seung-Gi kemudian berkata: “Ini adalah pujian pertama daripada Choi Young-Joon kepada pelatih dalam rancangan ini!”
Demikian antara yang berlaku ketika minggu pertama Starlight Boys ditayangkan, untuk minggu-minggu akan datang, cabaran akan diteruskan dan tentunya akan ada banyak kejutan serta perkara yang tidak diduga. Apa yang ketara setakat ini, kesemua pelatih perlu kuat untuk berhadapan tekanan demi mengejar impian masing-masing.
Jangan lupa untuk menyaksikan kelahiran bintang-bintang baharu dalam Starlight Boys setiap Ahad, 8 malam di iQIYI International.
Untuk peminat yang mahu memberikan sokongan kepada pelatih kegemaran boleh berbuat demikian menerusi aplikasi iQIYI International atau di iq.com. Ahli iQIYI International VIP juga berpeluang untuk membuat undian selain memberikan sokongan kepada pelatih dalam program tersebut. – KopiPlanet.com
The post Program Realiti Starlight Boys Raih Jumlah Tontonan Tinggi Di Platform iQIYI appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: