Program Inkubator Pengarah Amatur FDAM 2024 Berhasil Beri Pengetahuan Lebih Mendalam Dunia Pengarahan
Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berjaya menganjurkan Program Inkubator Pengarah Amatur FDAM 2024.
Bengkel yang berlangsung selama tujuh hari ini, dari 12 Oktober hingga 18 Oktober 2024, di FINAS Hulu Klang, menyaksikan penyertaan 30 pengarah amatur, memberi impak besar dalam melahirkan pengarah baru yang berkualiti bagi industri filem Malaysia.
Program ini direka khas untuk memberi pendedahan kepada ahli FDAM dan pengarah-pengarah amatur, sekaligus membuka ruang untuk mereka memahami selok-belok industri dengan lebih mendalam melalui modul intensif dan praktikal.
Datuk Afdlin Shauki, selaku Pengerusi FDAM dalam ucapan penutupnya menyatakan rasa bangga dengan sambutan yang memberangsangkan terhadap bengkel ini, yang bukan sahaja berjaya menarik minat pengarah amatur tetapi juga keahlian baru untuk FDAM.
“Dengan pendekatan ‘Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul,’ kita berjaya membetulkan amalan-amalan yang sebelum ini dianggap norma tetapi perlu diperbaiki.
“Bengkel ini berjaya memberi pengetahuan, kemahiran, dan keyakinan kepada peserta untuk melangkah lebih jauh dalam dunia pengarahan. Saya percaya ini adalah langkah pertama menuju kejayaan yang lebih besar,” ujarnya.
Afdlin turut menyatakan bahawa bengkel ini mendapat maklum balas positif daripada peserta, yang mengharapkan sesi akan datang akan diadakan dengan tempoh yang lebih panjang, termasuk bengkel tahap pertengahan dan masterclass.
Sementara itu, Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman dalam ucapannya semasa penutupan bengkel menyatakan komitmen FINAS dalam menyokong inisiatif seperti ini.
Beliau juga mengumumkan 15 peserta terpilih daripada bengkel ini berdasarkan hasil kerja pengarahan terbaik akan dijemput ke malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-33 yang bakal berlangsung pada Disember ini.
“Kerjasama ini adalah satu langkah penting dalam membina bakat baru di Malaysia, dan ia seiring dengan visi FINAS untuk memperkasa industri kreatif negara.
“Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja membina pengarah amatur yang berbakat, tetapi juga memastikan kesinambungan karya berkualiti di masa hadapan,” ujarnya.
Bengkel ini merupakan pencapaian penting bagi FDAM dan FINAS, dengan modul yang disusun rapi berjaya membantu para peserta menghasilkan projek akhir yang mengagumkan.
Antara fasilitator yang menyampaikan modul adalah Afdlin serta Sofea J.Rhyland, Kapt Khir Mohd Noor, Fairuz Loy, Heykal Hanafiah, Roslainur Roslan (Leno) dan Faizul A.Rashid.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, para peserta mengharapkan penganjuran bengkel tahap pertengahan dan masterclass pada masa akan datang, serta tempoh bengkel yang lebih panjang bagi setiap modul.
FDAM berharap agar lebih kerap bengkel sebegini dianjurkan memandangkan FDAM memiliki ramai ahli pengarah berkaliber dan mampu menyediakan modul bersesuaian mengikut tahap.
Semoga usaha ini tidak berhenti setakat ini dan FINAS terus menjadi rakan strategik utama dalam usaha mendukung bakat-bakat baru ini dan bersama-sama menganjurkan program yang lebih komprehensif pada masa akan datang. – KopiPlanet.com
The post Program Inkubator Pengarah Amatur FDAM 2024 Berhasil Beri Pengetahuan Lebih Mendalam Dunia Pengarahan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: