Ads Top

Pertemuan Penuh Makna Jobranko & Yonnyboii Bersama Peminat Sempena Acara Sentuhan Nadi

Kesinambungan daripada kerjasama menerusi lagu Nadi, pemain gitar legenda, Jobranko dan komposer serta penyanyi serba boleh, Yonnyboii, adakan sesi pertemuan eksklusif bersama peminat di acara Sentuhan Nadi, baru-baru ini.

Berlangsung di lokasi ikonik, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, seramai 20 peminat bertuah berpeluang luangkan masa bersama mereka dari jam 3 petang hingga 6 petang. Semestinya momen intim itu akan membekas dalam hati sebagai kenangan penuh makna.

Sentuhan Nadi tidak lain bertujuan menghargai peminat serta penyokong karier muzik Jobranko dan Yonnyboii selama ini. 20 peminat bertuah itu menjadi tetamu eksklusif terpilih daripada peraduan ‘cover’ lagu Nadi yang diadakan 6 Ogos hingga 28 Ogos lalu.

Peraduan berkenaan dilakukan menerusi media sosial di mana peserta perlu memuat naik cover terbaik Nadi dengan versi sendiri. Mereka juga perlu meletakkan #SentuhanNadi dan #NadiSongCover dalam hantaran video masing-masing.

Acara ini menjadi kemuncak untuk menobatkan siapakah daripada 20 peminat itu akan membawa pulang sebuah gitar istimewa yang siap ditandatangan Jobranko dan Yonnyboii. Gitar itu ditaja Music Bliss Malaysia bersama ERA.

Selepas masing-masing mempamerkan bakat mereka, dapat membawa pulang gitar keramat itu menjadi pulangan paling berbaloi. Apalagi hadiah itu disampaikan sendiri idola mereka secara bertentang mata.

Sentuhan Nadi juga menjadi detik manis buat Jobranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, dan Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 26, mendekati peminat setia mereka.

Jika selama ini mereka cuma mampu melihat peminat dari atas pentas, pertemuan sebegini sememangnya satu peluang keemasan cukup bermakna. Sentuhan Nadi jadi ruang intim untuk berkongsi rasa dengan peminat.

Demikian juga peminat yang benar-benar ingin bersemuka dan mengenali mereka lebih mendalam. Pertemuan ini membuka ruang untuk mereka merungkai persoalan yang sekian lama ingin ditanyakan selain menimba ilmu Jobranko dan Yonnyboii.

Acara ini juga tidak lengkap rasanya tanpa hiburan persembahan eksklusif buat semua yang hadir. Bukan sekadar Jobranko dan Yonnyboii, mereka juga ditemani penyanyi yang tidak kurang hebatnya, Asyraf Nasir untuk ‘memanaskan’ pentas dengan beberapa lagu.

Yonnyboii mempersembahkan lagu solonya Salahku, berduet dengan Asyraf menerusi lagu Tak Sangka serta berpadu tenaga bersama Jobranko dan kugirannya untuk lagu Nadi. Kombinasi orang lama dan artis muda yang luar biasa.

Terdahulu, Yonnyboii menampilkan Jobranko menerusi lagunya Nadi yang dilancarkan pada sekitar hujung Jun lalu. Kombinasi dua generasi berbeza yang menarik, mengambil kira latar belakang perbezaan usia dan genre muziknya.

Selepas lebih dua bulan dilancarkan, muzik video (MV) rasmi Nadi di YouTube berjaya meraih lebih 211,000 tontonan. Manakala di platform-platform penstriman muzik, jumlah pendengarnya meningkat hari demi hari.

Cetusan ilham daripada perasaan peribadi, Yonnyboii percaya lagu dicipta bersama komposer Amy Bong itu mampu menyentuh hati ramai. Dapat menyalurkan pengalaman peribadi dalam single itu juga memberinya satu kelegaan. – KopiPlanet.com

The post Pertemuan Penuh Makna Jobranko & Yonnyboii Bersama Peminat Sempena Acara Sentuhan Nadi appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.