Ads Top

Juara Bintang Paling Popular ABPBH 36 Bakal Nikmati Hadiah Lumayan

Kembali untuk edisi ke-36, acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia, iaitu Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang diinspirasikan penaja utama, CONBOO, menjanjikan ganjaran lumayan berupa sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah kepada Bintang Paling Popular (BPP) serta kepingan emas seberat 50 gram masing-masing kepada pemenang kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Penyanyi Wanita Popular, pada penganjuran acara gilang-gemilang itu, kali ini.

Ganjaran lumayan berupa kenderaan SUV jenama mewah dan kepingan emas itu ditaja sepenuhnya oleh CONBOO, sekaligus melakar sejarah sebagai penaja utama pertama yang menghadiahkan kenderaan kepada BPP dan hadiah sampingan, iaitu kepingan emas kepada pemenang kategori penyanyi lelaki dan wanita, iaitu kategori yang dibawakan jenama itu, di pentas ABPBH 36.

Selain ganjaran lumayan itu, BPP dan pemenang kategori penyanyi bakal menerima trofi berprestij ABPBH bertemakan Teguh, yang membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia sekaligus menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67.

Pada majlis Pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 36 di Hotel Courtyard By Marriot Kuala Lumpur South di ibu negara, hari ini, penganjur ABPBH 36 mengisytiharkan CONBOO sebagai penaja utama ABPBH 36 serta hadiah lumayan yang ditawarkan pengeluar produk menggunakan bahan premium semula jadi itu, kepada BPP dan juara kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Penyanyi Wanita Popular.

Majlis Pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 36 yang meriah dan berkonsep santai itu dihadiri oleh Pengerusi CONBOO, YM Tengku Dato Hishammuddin Zaizi Bin Y.A.M Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj; Pengarah Kreatif CONBOO, Nurulafiza Kamarudin serta dua Pengarah CONBOO iaitu Muhammad Ariff Amirul Shaharudin dan Muhammad Fitri Mazni.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Television Networks, Nini Yusof; Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M. Thillinadan; dan Pengarang Berita Kanan Hiburan dan Projek BH merangkap Pengarah ABPBH 36, Shamshul Azree Samshir.

ABPBH 36 yang diinspirasikan oleh CONBOO sebagai Penaja Utama, akan disiarkan secara langsung di saluran televisyen TV3 dan strim juga melalui saluran Tonton dari Auditorium MBSA, Shah Alam pada jam 9 malam, iaitu Jumaat, 11 Oktober depan.

Penaja utama ABPBH 36, CONBOO hadir dengan visi melahirkan individu yang yakin dengan kecantikan diri, baik dari aspek dalaman dan luaran. CONBOO menghasilkan produk yang menggunakan bahan premium semula jadi merangkumi madu Manuka, ekstrak sarang burung, serbuk mutiara, vitamin C, glutathione, susu kambing, ekstrak biji anggur, ekstrak kurma, krimer dan stevia.

KUALA LUMPUR 18 SEPTEMBER 2024. pada majlis pengumuman Pra-Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 di Hotel Courtyard By Marriot Kuala Lumpur South. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Majlis Pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 36 turut memaklumkan artis senior yang pernah menjadi hos utama ABPBH pada 2011 dan pemegang trofi Artis Komedi Wanita Popular ABPBH sebanyak tiga kali, iaitu pada 2011, 2012 dan 2014, iaitu Didie Alias sebagai pengacara utama ABPBH 36.

Didie yang lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, bakal berganding dengan pelakon, pengacara dan penyampai radio wanita popular, Riena Diana serta penyampai radio Fly FM, Haniff Hamzah. Gandingan trio ini yang mewakili tiga generasi, pasti menggamatkan malam kemuncak dan memberi anjakan baharu kepada penganjuran acara anugerah pilihan peminat yang terus teguh bersama penyokongnya sejak lebih tiga dekad lalu.

Malam Kemuncak ABPBH 36 yang dinanti-nantikan peminat, bakal menyaksikan gandingan bintang legenda dan angkatan baharu dalam segmen persembahan dan penyerahan trofi berprestij ABPBH 36.

Antara barisan artis dan selebriti penyampai trofi adalah Datuk Seri Eizlan Yusof; Datuk Adi Putra; Azhar Sulaiman; Rita Rudaini; Hannah Delisha; Puteri Sarah Liyana; Anna Jobling; Adira; Mawar Rashid dan Bella Astillah. Tidak ketinggalan pasangan pelawak, Atu dan Shariff Zero; Muaz Zabir; Mierul Aiman dan Fitri Farouk.

Barisan artis yang bakal membuat persembahan turut membabitkan bintang layak bergelar lagenda, selain bakat baharu yang pantas mendaki tangga populariti. Pentas ABPBH 36 bakal dihangatkan Zamani; kumpulan Spider; Hazama; Haqiem Rusli; Ernie Zakri; Marsha Milan; Shiha Zikir dan Usop.

Tidak ketinggalan artis hip hop seperti Ghidd, Tuju, MK, Meerfly dan Benzooloo serta kumpulan De Fam.

Menambah debaran Malam Kemuncak ABPBH36, majlis Pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 36 turut mengisytiharkan 36 artis yang mendahului undian, sekaligus mempunyai harapan untuk dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.

Artis terbabit adalah Aedy Ashraf; Aina Abdul; Alif Hadi; Alif Satar; Amir Masdi; Anna Jobling; Bella Hanna; DJ Sonic dan Dolla.

Turut tersenarai Ernie Zakri; Erysha Emyra; Elly Mazlein; Ezzanie Jasny, Fahmi Rahmat; Haqiem Rusli; Harissa Adlynn; Hisyam Hamid dan Hun Haqeem.

Turut diumumkan bolot Top 36 adalah Isyariana; Janna Nick; Joey Daud; Khai Bahar; Khairy Jamaluddin (KJ); Meerqeen; Nadhir Nasar; Putera Muhammad dan Puteri Sarah Liyana.

Selain itu, artis seperti Raja Azura; Raja Ema; kumpulan Senario; Shah Iskandar; Siti Khadijah Halim; Siti Nordiana; Sophia Albarakbah; Syafiq Kyle dan Tyzo, juga tersenarai dalam Top 36 setakat ini.

Selain keputusan 16 kategori utama dan lima kategori sampingan, Ekstra Tonton Paling Popular, Malam Kemuncak ABPBH 36 bakal menyaksikan dua bintang menerima trofi utama iaitu BPP 36 bagi artis yang meraih undian tertinggi termasuk markah daripada barisan juri.

Selain itu, ABPBH 36 membawa semula anugerah khas, iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat untuk menghargai jasa dan sumbangan legenda seni dalam pembangunan industri kreatif tempatan yang bakal diumumkan pada malam kemuncak.

ABPBH 36 menyenaraikan calon Top 20 yang mematuhi syarat asas ditetapkan Jawatankuasa Penganjur ABPBH 36 termasuk penilaian Lembaga Juri ABPBH 36. Calon membabitkan artis atau selebriti yang menghasilkan sekurang-kurangnya satu produk fizikal termasuk rakaman atau kandungan digital yang memenuhi kriteria mengikut kategori disaingi, bagi tahun pencalonan Januari 2023 sehingga Disember 2023.

Membariskan 16 kategori Utama dan lima (5) kategori sampingan Ekstra Tonton Paling Popular, peminat masih boleh mengundi finalis ABPBH 36 sehingga jam 11.59 malam 30 September ini menerusi laman web ABPBH 36 di www.abpbh.com.my. Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma atau gandaan undian melalui pakej langganan BH digital atau pakej langganan Tonton.

Penjualan tiket secara digital bermula pada 12 September lalu sehingga 10 Oktober ini dan tiket boleh dibeli dengan melayari laman web Tonton di www.tonton.com.my

Pada Malam Kemuncak ABPBH 36, sebanyak enam belas (16) kategori Utama dipertandingkan iaitu Artis Baharu Lelaki Popular; Artis Baharu Wanita Popular; Penyanyi Lelaki Popular; Penyanyi Wanita Popular; Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular; Aktor Filem Popular; Aktres Filem Popular; Aktor Pembantu Filem Popular; Aktres Pembantu Filem Popular; Aktor TV Popular; Aktres TV Popular; Aktor Pembantu TV Popular dan Aktres Pembantu TV Popular. Tidak ketinggalan Penyampai Radio Popular; Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular.

Turut dipertandingkan adalah lima (5) kategori Ekstra Tonton Paling Popular iaitu Couple Drama Popular; Couple Filem Popular; Watak Antagonis Drama Popular; Lagu Paling Boom Popular dan Artis Sensasi Popular. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: NSTP

The post Juara Bintang Paling Popular ABPBH 36 Bakal Nikmati Hadiah Lumayan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.