Ads Top

Didakwa Lakukan Amang Seksual Terhadap Remaja Lelaki, PU Azman Dihukum Penjara 24 Tahun & Dua Sebatan

Pendakwah selebriti, PU Azman telah dijatuhi hukuman penjara selama 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini.

Menerusi laporan mStar, hukuman itu dijatuhi selepas pendakwah itu didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, dua tahun lalu.

Keputusan berkenaan dibuat Hakim Noridah Adam selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes.

Dalam kes berkenaan, bagi pertuduhan pertama, PU Azman telah dikenakan hukuman penjara selama 12 tahun dan satu sebatan.

Untuk pertuduhan kedua dia turut dikenakan jumlah penjara sama serta satu sebatan yang mana hukuman itu berjalan secara berasingan.

Pada masa sama, mahkamah memerintahkan supaya tertuduh menjalani kaunseling selain pengawasan polis selama dua tahun selepas tertuduh selesai menjalani hukuman ditetapkan.

Sebelum ini, PU Azman telah diperintah membela diri pada Disember tahun lalu atas dua pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, PU Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang pada 20 Februari serta 29 Jun 2022.

Selain itu, tertuduh yang juga mesra disapa Cik Man turut menghadapi sembilan lagi pertuduhan berkaitan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang. – KopiPlanet.com

Kredit artikel: portal mStar

Kredit gambar: Bernama

The post Didakwa Lakukan Amang Seksual Terhadap Remaja Lelaki, PU Azman Dihukum Penjara 24 Tahun & Dua Sebatan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.