Ads Top

Program ‘mStar Baek Jalinan Kasih Prihatin’ Diteruskan Musim Kedua, Jalin Kolaborasi Bersama KPJ Healthcare Bantu Golongan Memerlukan

Kejayaan musim pertama program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu mStar Baek pada tahun lalu telah membolehkan 10 selebriti dan individu menerima bantuan yang membantu meringankan beban mereka ketika diuji dengan cabaran hidup.

Untuk musim kedua, pihak mStar berkolaborasi dengan KPJ Healthcare menyantuni selebriti dan individu terpilih dalam usaha membantu meringankan beban mereka ketika diuji dengan cabaran hidup. Program musim ini adalah lebih bersasar kerana ia tidak tertumpu kepada selebriti sahaja, tetapi diperluaskan kepada golongan gelandangan dan orang awam yang hidup menderita.

Pada Ramadan lalu, team ‘mStar Baek Jalinan Kasih Prihatin’ bersama team KPJ menghulurkan bantuan ketika menyantuni gelandangan di sekitar Chow Kit untuk melihat kesusahan hidup mereka.

Untuk menjadikan program mStar Baek ini lebih istimewa, pihak KPJ Healthcare turut menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan percuma apabila pegawai perubatan dibawa menyantuni golongan berkenaan bagi khidmat nasihat kesihatan.

Selain wang tunai berjumlah RM3,000, peserta terpilih turut menerima kad rawatan perubatan bagi membolehkan mereka dan seisi keluarga mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma di Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) yang disediakan oleh pihak KPJ Healthcare selama setahun.

Mengulas tentang kepentingan kolaborasi yang terjalin, Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata “Seiring dengan slogan ‘Care for Life’, Team KPJ amat komited dalam program Jalinan Kasih Prihatin yang digerakkan bersama Team mStar. Melalui program ini, kami membantu golongan yang memerlukan dalam aspek penjagaan kesihatan tanpa mengira latar belakang atau status sosioekonomi.

Kami berharap agar perkhidmatan yang disalurkan menerusi rangkaian KWAN dapat memberi kesan positif dan manfaat yang lebih meluas kepada komuniti. Kerjasama strategik bersama pihak mStar juga wajar diteruskan lagi pada masa hadapan supaya kita dapat menyantuni lebih ramai masyarakat setempat di luar sana.”

Untuk makluman, sejak tahun 1998, KWAN memberikan penyediaan rawatan kesihatan kepada hampir dua juta pesakit melalui rangkaian 11 klinik statik, sembilan pusat dialisis dan 10 klinik bergerak di seluruh Malaysia.

Musim kedua ini menyaksikan sebanyak lapan episod diterbitkan yang mana enam artis dipilih menerima sumbangan iaitu Izam (Eye) yang diuji masalah kesihatan selepas diserang strok pada 2019; Juara Pilih Kasih musim pertama iaitu pelakon Iqbal Mazlan yang hilang deria penglihatan dan Dwan (Olan) yang menderita akibat penyakit angin ahmar dan sakit buah pinggang sejak Mac 2022.

Turut menerima sumbangan ialah pelakon era 1980-an Isma Aliff yang dijangkiti kuman pada paru-paru; bapa kepada arwah Along Spoon iaitu Pak Engku yang menghidap diabetis sehingga kaki kanan dipotong sementara Arwahyarham Jaafar Onn, berdepan beberapa masalah kesihatan.

Sedihnya, selepas rakaman dan siaran bagi episod pertama menampilkan Jaafar Onn diterbitkan pada 29 Mac 2024, negara dikejutkan dengan berita pemergian artis versatil itu pada 3 April 2024.

Selain itu, Norazlina Zakaria wanita OKU yang suami terlantar akibat lumpuh turut menerima sumbangan atas semangat luar biasa beliau menjaga pasangannya.

Musim kedua ini mendapat sambutan luar biasa dengan purata 10 juta tontonan di semua platform digital mStar termasuk YouTube, Facebook, Instagram dan TikTok.

Dalam pada itu Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah berkata, segmen ini tercetus selepas melihat saat penggiat seni dilanda kesusahan akibat ditimpa ujian hidup namun seakan- akan tidak dipedulikan lagi sedangkan mereka pernah menabur bakti kepada masyarakat menerusi bakat seni masing-masing.

Justeru katanya, mStar yang banyak mengetengahkan perkembangan dunia seni hiburan tempatan merasakan bertanggungjawab untuk membantu golongan ini dengan menyediakan platform sebagai tujuan promosi sementara pihak KPJ Healthcare pula membekalkan keperluan lain termasuk nasihat pakar perubatan.

“Jika tahun lalu pihak mStar bekerjasama dengan pengeluar produk kecantikan Noir Health & Beauty, namun pada kali ini KPJ Healthcare pula menunjukkan rasa prihatin dalam usaha membantu golongan memerlukan. Walaupun sumbangan yang diberikan mungkin kecil, namun bagi golongan ini, ia benar-benar bermakna buat mereka.

“Di pihak mStar pulak, kami mahu membuktikan kepada masyarakat, selain mengetengahkan kisah kehidupan artis dan orang ramai di portal kami, adalah menjadi keperluan untuk menolong individu yang besar jasanya dalam industri dan masyarakat. Menariknya program seperti ini mendapat kerjasama yang baik daripada pihak-pihak dan agensi tertentu dalam usaha menunjukkan sikap kasih sayang terhadap golongan memerlukan,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Program ‘mStar Baek Jalinan Kasih Prihatin’ Diteruskan Musim Kedua, Jalin Kolaborasi Bersama KPJ Healthcare Bantu Golongan Memerlukan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.