Ads Top

Rahsia Versi ‘Reboot’ Tampil Dengan Pembaharuan Tanpa Melupakan Elemen Asal

Astro Shaw bersama Five Star Trading mempersembahkan filem seram terbaru versi Reboot dari karya yang dianggap sebagai ‘cult classic’ filem tempatan, Rahsia. Filem ini bakal ditayangkan di 150 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 10 Ogos ini.

Rahsia yang membawa tagline ‘Dia Takkan Pergi’ diarahkan oleh Shamyl Othman, yang juga merupakan anak kepada pengarah filem asal iaitu Othman Hafsham. Amat dekat dengan naskah tersebut memberikan kelebihan buatnya dalam mengarahkan serta menghidupkan semula karya yang dianggap sebagai ‘masterpiece’ ini. Skrip pula ditulis oleh penulis hebat dan creator siri popular One Cent Thief, Alfie Palermo. 

Antara elemen dan babak daripada filem asal seperti kereta mainan bergerak sendiri, piano berbunyi tanpa dimainkan, anak patung bernyawa, rumah banglo, babak-babak mendebarkan di tepi pantai dan misteri di sebalik dinding batu masih dikekalkan di dalam filem Rahsia terbaru. Pastinya ini mengujakan peminat dan penonton filem asal. Malah versi Reboot juga mampu menarik penonton baru dengan jalan cerita yang disuntik pembaharuan untuk kesesuaian masa kini dan perkembangan penceritaan yang lebih terperinci dan beremosi. 

Penerbit Eksekutif Rahsia merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, karya Rahsia dipilih untuk versi Reboot kerana ia adalah sebuah karya yang dianggap sebagai ‘cult classic’ dan jalan ceritanya masih relevan sehingga kini. 

“Kami amat teruja filem reboot Rahsia akan dipersembahkan kepada penonton di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei. Rahsia adalah sebuah filem hebat yang wajar ditonton semua. Dalam menghasilkan sebuah filem yang berkualiti, kami percaya banyak usaha yang harus dilakukan.

“Selain jalan cerita menarik, Rahsia harus memberi keseimbangan di antara elemen filem asal dengan suntikan pembaharuan bagi kesesuaian penonton pada masa kini. Kami berharap reboot Rahsia dapat memuaskan hati peminat serta menarik penonton baru, sekali gus mengulangi fenomena yang pernah dicipta,” ujarnya.

Menurut beliau, antara kekuatan reboot Rahsia adalah lakonan mantap oleh barisan pelakon seperti Nabila Huda, Fikry Ibrahim, Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks serta Nabil Zakaria di samping penampilan istimewa Othman Hafsham dan Susan Lankester. 

Sementara itu, Shamyl selaku pengarah pula menjelaskan filem Rahsia arahannya itu adalah ‘reboot’ dan bukan pembikinan semula seperti sangkaan ramai serta 70 peratus pembaharuan diubah daripada versi asal.

“Umum sudah mengetahui yang filem Rahsia versi 1987 arahan ayah saya sendiri adalah sebuah karya klasik dan mempunyai penonton yang tersendiri. Jadi, apabila pembikinan semula dibuat, pastinya banyak aspek perlu dipertimbangkan.

“Seboleh-bolehnya saya enggan penonton anggap usaha ini tidak betul dengan mencuba meniru karya asal, ketandusan idea dan mengacau karya sedia ada. Maka, saya buat keputusan untukbuat perubahan dari segi jalan cerita,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post Rahsia Versi ‘Reboot’ Tampil Dengan Pembaharuan Tanpa Melupakan Elemen Asal appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.