Ads Top

Mengenali Penontonan Pawagam, Fahami Konsep ‘Cinematic Experiences’

Dalam era digital ini, apabila platform tayangan filem menjadi lebih meluas dengan tawaran konsep movie on demand, saluran berbayar seperti Netflix, Disney Hotstar, Astro First dan lain-lain, pawagam dijangka akan melalui detik kehancuran dan bukan lagi menjadi pilihan.

Generasi diramal akan menggunakan pendekatan tayangan digital yang mudah diakses dengan bebas. Namun, ternyata ramalan itu tidak tepat. Pawagam kekal menjadi pilihan pencintanya.

Di Malaysia umpamanya, kutipan filem tempatan MAT KILAU merekod kutipan tertinggi RM 98 juta dan POLIS EVO 3 pada tahun 2023 mencecah RM 54 juta membuktikan kebenaran fakta ini.

Apakah sebenarnya yang masih meletakkan pawagam sebagai platform yang popular hingga ke hari ini?

Falsafah yang sebenarnya ialah pawagam bukanlah platform yang hanya semata-mata menjual filem untuk ditonton semata-mata.

Berbeza dengan platform lain yang boleh diakses di hujung jari di mana filem yang ditayangkan dengan teknologi yang terhad, tayangan di pawagam menawarkan pakej sempurna yang dilengkapi dengan teknologi moden yang luar biasa.

Selain dari ciri-ciri konservatif seperti dewan tayangan luas, layar perak yang besar serta suasana komuniti yang boleh dirasai, pawagam juga dilengkapi dengan sistem suara berkuasa tinggi selain tahap kualiti tayangan yang sentiasa meningkat.

Ini tidak termasuk lagi dengan konsep kerusi moden seperti 4DX, skrin 360, IMAX dan lain-lain. Semua ini menjanjikan kelainan yang sangat menakjubkan. Kelainan inilah yang dipanggil dalam falsafah pawagam moden sebagai Cinematic Experiences.

Memahami konsep Cinematic Experiences ini akan membolehkan pengedar filem menentukan samada filem yang bakal masuk ke pawagam itu benar-benar layak untuk ditayangkan di pawagam.

Ini kerana penonton tegar pawagam yang datang ke pawagam bukan hanya sekadar untuk menonton filem semata-mata tapi golongan ini ingin merasai pengalaman hebat menonton filem tersebut di pawagam.

Faktor ini biasanya gagal difahami kerana ramai berpendapat semua filem adalah layak untuk ditayangkan di pawagam.

Hakikatnya, untuk memastikan filem itu berjaya di pawagam untuk memikat pencintanya, selain dari kandungan filem itu sendiri, teknologi pembikinan filem itu termasuk kualiti gambarnya, sistem suaranya dan lain-lain harus mampu menepati ciri-ciri Cinematic Experiences itu.

Jika ciri-ciri ini tidak dipenuhi, maka tiada keperluan untuk mereka menonton filem ini di pawagam. Dalam erti kata lain, filem tersebut akan gagal di pawagam dengan kutipan yang rendah.

Konsep Cinematic Experiences inilah yang menyebabkan industri pawagam kekal segar dan konsep ini juga lah memberikan indikasi kepada penerbit apakah yang diinginkan oleh penonton di pawagam.

Hakikatnya, pawagam bukanlah platform tayangan yang menjual tayangan filem semata-mata tetapi pawagam sebenarnya menjual pengalaman menonton filem tersebut. Ini realiti yang perlu difahami. – KopiPlanet.com

The post Mengenali Penontonan Pawagam, Fahami Konsep ‘Cinematic Experiences’ appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.