Shatirah Amanda Akui Pernah Ditawarkan Jadi Perempuan Simpanan Untuk Survival Dalam Dunia Nyanyian
Pernah menghasilkan tiga buah single sebelum ini, namun nama penyanyi Shatirah Amanda masih lagi belum menyerlah lagi.
Bagaimanapun, ia langsung tidak melemahkan semangat anak kelahiran Kelantan itu untuk terus mencipta nama dalam dunia nyanyian.
Yang terbaharu, Shatirah baru sahaja muncul dengan single baharunya berjudul Langit Bukan Limit yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini.
Namun begitu, ternyata ada cerita menarik yang terpendam apabila mendedahkan dia pernah ditawarkan menjadi wanita simpanan beberapa individu yang mahu melabur dalam penghasilan single baharunya itu.
“Secara jujurnya mula-mula memang saya berasa agak takut apabila ditawarkan sebegitu. Pada awalnya saya tertanya-tanya adakah ini sudah jadi kelaziman untuk menjadi anak seni?
“Namun saya anggap ini sebagai cabaran untuk saya. Alhamdulillah akhirnya saya temui pelabur yang ikhlas dan single terbaru Langit Bukan Limit ini berjaya disiapkan,” ujarnya.
Shatirah mendedahkan, tawaran tersebut tidak berhenti setakat itu sahaja, malah dia turut didesak berbuat sedemikian demi meneruskan kerjaya nyanyiannya.
Bagaimanapun, atas dasar prinsip dan maruah, dia menolak pelawaan itu dan yakin bakatnya adalah aset utama untuk dia berjaya sebagai penyanyi.
Dalam pada itu, bercerita lebih lanjut tentang single Langit Bukan Limit, Shatirah yang juga finalis Dewi Remaja 2019 itu memberitahu ia adalah lirik lagu tersebut adalah cetusan ilhamnya sendiri serta turut berkolaborasi dengan komposer Mas Dewangga.
Ujarnya, lirik lagu berkenaan mengisahkan semangat wanita kental yang tidak mudah mengaku kalah walaupun terpaksa berjuang bersendirian untuk mencapai cita-citanya serta menceritakan sikap berdikari dan tabah wanita yang sanggup menghadapi dugaan dan cabaran.
“Sudah tentu harapan saya untuk lagu ini agar ia memberi semangat dan inspirasi kepada pendengar yang pernah melalui jalan hidup yang getir dan berani bertindak luar dari kebiasaan dalam mencapai matlamat hidup mereka.
“Saya juga berharap para pencinta muzik akan dapat menerima kepelbagaian konsep dan genre yang dibawa kali ini serta impian dan cita-cita saya untuk memperkenalkan bakat saya ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan akan tercapai,” ujarnya. – KopiPlanet.com
The post Shatirah Amanda Akui Pernah Ditawarkan Jadi Perempuan Simpanan Untuk Survival Dalam Dunia Nyanyian appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: