Wahid Satay Meninggal Dunia Pada Usia 93 Tahun, Ditemui Tidak Bergerak Di Atas Katil
Pelakon dan pelawak veteran popular, Wahid Satay dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Singapura pada pukul 8.30 pagi Isnin.
Menerusi laporan portal mStar, berita pemergian pelakon berusia 93 tahun itu disahkan oleh cucunya iaitu Mahirah Mohd Yasin yang memberitahu Allahyarham ditemui dalam keadaan sudah tidak bergerak di atas katil sekitar pukul 8.30 pagi.
Mahirah berkata, allahyarham mempunyai penyakit kencing manis dan jantung, malah dimasukkan ke hospital pada April lalu akibat jangkitan di jari kaki dan disahkan doktor mengalami serangan jantung ringan.
“Selepas Allahyarham balik dari hospital, dia kelihatan okay saja dan bahkan, semangat untuk beraya dengan anak dan cucunya,” katanya.
Sementara itu, menerusi perkongsian beberapa rakan seniman di laman Facebook, jenazah Allahyarham boleh dilawati buat kali terakhir di Teban Gardens Road, Teban View, Singapura.
Jenazah akan disolatkan di Masjid Pusara Aman selepas Zohor sebeum dikebumikan.
Untuk info, kerjaya lakonan Wahid bermula ketika bekerja di studio Cathay Keris di Singapura sebagai tukang cat sebelum ditawarkan menjadi pelakon tambahan dalam filem Pertaruhan sekitar tahun 1940-an.
Kehebatan Wahid yang boleh meniru suara haiwan seperti ayam, burung merupakan satu kelebihan apabila suaranya sering kali digunakan sebagai latar belakang bagi filem-filem tertentu.
Di sebalik kerjanya sebagai tukang cat, sifat humor yang ada pada diri Wahid menyebabkan pengarah L. Krishnan mula mengesan kelebihan itu sebelum dia ditawarkan berlakon filem.
Antara filem-filem terkenal yang pernah dibintanginya termasuk Pontianak, Sumpah Pontianak, Che Mamat Parang Tumpul, Badang, Naga Tasik Chini, Dendang Perantau dan Tuan Besar. – KopiPlanet.com
Kredit artikel: mStar Online
The post Wahid Satay Meninggal Dunia Pada Usia 93 Tahun, Ditemui Tidak Bergerak Di Atas Katil appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: