Ads Top

Adam Shamil Harap Single Baharu, Bantu Dapat Tinggalkan Kesan Positif Kepada Pendengar

Mula mengecap populariti sebagai pempengaruh digital, Adam Shamil Misran, 29 atau nama pentasnya sebagai Adam Shamil kini bersedia untuk melakar lebih jauh dalam industri hiburan tanah air setelah secara rasminya menjadi artis terbaru World Peace Entertainment (WPE) Sdn Bhd yang juga dinaungi oleh Ismail Izzani dan Naim Daniel. 

Kini, dalam usaha memahatkan namanya dipersadan seni tanahair, Adam bakal tampil dengan sebuah single terbaharu berjudul ‘Bantu’ hasil kolaborasi Shazriq Azeman, Darien, Omar K dan Adam sendiri. 

Meminati genre muzik balada dan pop, Adam mengasah Adam Shamil mengangkat muzik balada yang sememangnya sesuai dengan vokal serta mesej penghargaan atau terima kasih yang ingin disampaikan dalam ‘Bantu’ kepada pendengar muzik tempatan. 

Bait-bait lirik ‘Bantu’ menjurus tentang hal menghargai dan menyantuni tentang pengorbanan seseorang yang bersama kita dalam apa jua perihal kehidupan baik dalam susah mahupun senang. 

Elemen relatable dan easy listening disuntik untuk single ‘Bantu’ ini serta lirik digubah dengan susunan singkat dan ringkas tetapi mempunyai mesej mendalam untuk pendengar yang melalui perkara yang sama. 

Mengulas mengenai pengenalan beliau kepada industri muzik tempatan menerusi single ‘Bantu’, Adam berkata, “Single ‘Bantu’ adalah lagu yang dihasilkan oleh Darien, Shazriq Azeman, Adam Shamil dan Omar K serta saya sendiri tentang menghargai orang yang mengubah hidup anda. 

“Ia adalah karya indah yang didedikasikan untuk seseorang yang telah bersama anda, melalui perjuangan dan membantu membentuk anda menjadi orang yang anda ada hari ini, sehinggakan walaupun suatu hari orang itu meninggalkan dunia ini, anda boleh tenang dengan mengetahui bahawa mereka akan sentiasa bersama walau secara rohani, dan bahawa anda akan sentiasa memerlukan mereka dalam semangat anda untuk membantu membuka mata anda dan melihat dunia,” ujarnya.

Menurutnya, dia amat gembira dengan nukilan lirik dan alunan muzik yang terhasil dari kolaborasi bersama insan-insan yang hebat dalam persada muzik tanahair iaitu Shazriq Azeman, Darien dan Omar K yang dia amat kagumi. 

“Walaupun mereka adalah nama-nama besar, komitmen dan usaha yang diberikan membakar semangat saya untuk menghasilkan ‘Bantu’ kepada peminat muzik tanahair. Nyanyian dan penulisan lirik adalah jiwa dan memberi kepuasan kepada saya. Apabila WPE memberikan kepercayaan kepada bakat dan melamar saya untuk menjadi artis mereka, saya sesungguhnya amat terharu dan bersyukur. 

“Saya melihat itu sebagai termakbulnya doa serta pengorbanan mereka yang bersama-sama dengan saya dalam usaha saya untuk mewarnai industri dengan kebolehan yang ada, selagi mereka ini ada disamping saya, selagi itulah saya akan terus di sini menghiburkan semua,” jelasnya. 

Jelasnya lagi, menerusi single ‘Bantu’ ini juga, mesej yang ingin disampaikan diharap dapat memberi manfaat seterusnya meninggalkan kesan yang positif kepada orang ramai. 

“Saya sudah bersedia dengan sepak terajang dunia hiburan serta pernah diuji dengan pelbagai pahit getir dan turut pernah menerima komen-komen nakal terutamanya di laman media sosial. Sebagai seorang yang ‘hidup’ di laman media sosial, saya tahu segala gerak geri saya akan menjadi perhatian maka dengan itu saya sentiasa memastikan bahawa setiap hantaran yang saya paparkan kepada followers saya mempunyai nilai positif. 

“Jika terdapat teguran atau sebarang unsur negatif, saya ambil maklum dan jadikan ianya sebagai penguat semangat untuk bekerja lebih keras untuk cemerlang dalam membina jenama sendiri. 

Harapan saya agar single ini mendapat penerimaan yang baik buat semua. Saya turut mengucapakan jutaan terima kasih kepada semua followers serta peminat yang tidak pernah jemu menjadi penyokong setia saya dari awal kemuculan saya sebagai pempengaruh digital sehinggalah bergelar penyanyi sekarang,” ujarnya.

Single ‘Bantu’ serta muzik video ini diterbitkan sepenuhnya oleh World Peace Entertainment Sdn. Bhd dan ia merupakan hasil garapan dan suntingan sepenuhnya oleh pasukan produksi milik Adam Shamil yang berpusat di Kota Kinabalu. 

‘Bantu’ akan mula menemui peminat menerusi corong-corong stesen radio tempatan, laman YouTube serta laman sosial media – Instagram, TikTok bermula 12 Mei 2023. Lagu ini juga boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Spotify, Joox, Apple Music dan lain-lain. – KopiPlanet.com

The post Adam Shamil Harap Single Baharu, Bantu Dapat Tinggalkan Kesan Positif Kepada Pendengar appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.