Mahkamah Arah Hafidz Roshdi Dihantar Ke Hospital Bahagia Jalani Rawatan Psikiatri
Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini pada Isnin memerintahkan pelakon, Hafidz Roshdi dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.
Menerusi laporan Sinar Harian Online, perintah tersebut telah dikeluarkan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak selaku Majistret selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Sebelum ini, pelakon berkenaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali hingga luka dalam kejadian di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini pada 2 Mac lalu.
Bintang filem Pusaka berkenaan membuat pengakuan tidak bersalah itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, didakwa menumbuk isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini pada jam jam 3.32 pagi pada 2 Mac lalu.
Pelakon itu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.
Semasa prosiding, Nurul Qistini yang mengetuai pendakwaan dibantu, Elyza Amira Habeeb Rahman, manakala Hafidz diwakili peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kader. – KopiPlanet.com
Kredit artikel: Sinar Harian Online
The post Mahkamah Arah Hafidz Roshdi Dihantar Ke Hospital Bahagia Jalani Rawatan Psikiatri appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: