Ads Top

Khai Bahar Raikan Majlis Berbuka Puasa Bersama Penghuni Rumah Kebajikan Raudhatul AL Faeez

Bersempena kehadiran bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, banyak acara amal yang akan berlangsung dengan membabitkan artis-artis popular.

Misalnya, penyanyi Khai Bahar yang bakal menghiburkan anak-anak kurang bernasib baik dalam majlis berbuka puasa bersama Khai Bahar bagi meraikan Rumah Raudhatul AL Faeez yang akan berlangsung pada 14 April ini.

Dalam satu sidang media yang berlangsung di Grand Barakah Hotel baru-baru ini, penganjur Xutfilm Studio iaitu Shahriz Taher mendedahkan pemilihan penyanyi iaitu Khai Bahar dibuat oleh anak-anak Raudhatul AL Faeez sendiri.

“Ketika merancang untuk mengadakan majlis ini, kami ada sediakan beberapa nama. Kami juga ada buat pilihan secara ‘random’ antara team kami.

“Selain itu, kami bertanya kepada anak-anak berhubung penyanyi yang diminati beserta senarai nama. Majoritinya memilih Khai Bahar.

Dalam pada itu, Bersama slogan ‘sambil berhibur dan beramal, kumpul pahala’, Khai Bahar bekerjasama dengan penganjur, Xutfilm Studio memilih Raudhatul Al Faeez yang dihuni oleh anak asnaf, yatim piatu dan miskin seramai 30 orang berdasarkan keistimewaan dan kisah duka disebalik rumah kebajikan ini.

Sebelum ini, rumah kebajikan diasaskan oleh Zahrina Saat yang ditubuhkan pada 17 Julai 2010, di Gombak, Selangor, malangnya telah ditimpa musibah kebakaran.

Sehubungan itu, buat masa sekarang ini penghuni rumah tersebut ditempatkan sementara di rumah teres di Taman Lembah Keramat, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Khai Bahar berkata, dia tidak memilih siapa orang itu. Niat berbuat baik adalah perkara utama baginya serta berharap ia akan menarik lebih ramai peminatnya untuk menyertai acara ini.

“Saya teringat diri sendiri yang bukannya datang daripada keluarga senang. Jadi, dengan rezeki yang saya dapat, saya mahu kongsi dengan insan memerlukan. 

“Rezeki ini bukan milik saya sepenuhnya, ia hasil daripada orang yang mendoakan saya. Dalam rezeki saya, ada bahagian orang lain juga.

Ujarnya, pada acara itu dia akan membuat persembahan dan akan menyanyi sebanyak lima buah lagu pada malam berkenaan, namun senarai lagu masih belum diputuskan.

Selepas berbuka puasa, tetamu akan dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Khai selama satu jam. Majlis berbuka puasa ini juga dikendalikan oleh pengacara sensasi, Roslan Shah.

Majlis bakal berlangsung pada 24 Ramadhan, bermula jam 5.30 petang di Grand Barakah Hotel serta akan dimulakan dengan bacaan Al-Quran, disusuli laungan azan oleh anak dari rumah Raudhatul Al Faeez. – KopiPlanet.com

The post Khai Bahar Raikan Majlis Berbuka Puasa Bersama Penghuni Rumah Kebajikan Raudhatul AL Faeez appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.