Ads Top

Bael0n Tampilkan Keunikan Tersendiri Menerusi Single Baharu Frekuensi

Penyanyi lelaki, Bael0n kini tampil dengan lagu terbaru berjudul ‘Frekuensi’ yang ternyata mempunyai keunikan tersendiri.

Menurut Bael0n atau nama penuhnya Nabil Izwan Norsaiful ‘Adlan, 26, dia mengambil langkah berani untuk keluar dari zon selesa dan mencuba pembaharuan dari segi nyanyian dalam buah tangan terbarunya itu.

“Keistimewaan lagu saya kali ini adalah menggabungkan vokal, rap dan elemen ‘dance break’ juga diselitkan. Ia berbeza dengan lagu-lagu yang pernah saya lancarkan sebelum ini. Genre lagu ini adalah pop dan bersifat ringan, senang untuk didengari serta dihayati pendengar.

“Saya tidak mahu berada dalam tampuk yang sama, justeru saya mencabar diri untuk lakukan perkara baru. Sebab itulah saya beranikan diri untuk rap dalam lagu ‘Frekuensi’ ini. Sebagai seorang penyanyi, saya sedar kita perlu sesuaikan diri dengan perubahan serta berusaha sebaiknya untuk memenuhi citarasa pendengar.

“Saya mahu para pendengar hayati lantunan vokal dan elemen rap yang ditonjolkan kerana itulah keunikan ‘Frekuensi’. Selain itu, lagu ini menjanjikan rasa gembira dan pengalaman yang menarik ketika mendengarnya. Kalau sedang stress, orang ramai boleh dengarkan ‘Frekuensi’ untuk hilangkan rasa sedih atau tekanan yang dialami, umpama dapat ‘vitamin’ daripadanya,” katanya.

Mengenai proses rakaman, Bael0n mengatakan dia tidak mengambil masa yang lama untuk menyempurnakan lagu ‘Frekuensi’ kerana persediaan awal telahpun dibuat sebaiknya.

“Antara perkara lain yang menarik tentang lagu ini, ia tidak mengambil masa yang lama untuk dihasilkan. Proses rakaman lagu ini agak singkat kerana draf sudah dibuat awal menerusi demo, jadi ketika rakaman akhir, semuanya berjalan lancar mengikut apa yang telah dirancang. Ia umpama satu petanda baik daripada Tuhan, saya sangat bersyukur.

“Meskipun tidak mengambil masa lama, sudah tentu tidak boleh lari daripada cabaran kerana ketika proses rakaman, saya sedang alami masalah vokal disebabkan kurang sihat. Namun begitu, saya lakukan yang terbaik dan Alhamdulillah, lagu ini berjaya juga disiapkan,” jelasnya.

Sebagai penyanyi muda dalam industri hiburan, Bael0n yakin setiap orang ada garis masa masing-masing dan dia akan sentiasa berusaha untuk menguatkan lagi Namanya dama industri tanah air.

“Saya percaya, setiap anak seni memerlukan masa tersendiri untuk mencapai impian. Lagipun, kita akan diberi rezeki oleh-Nya mengikut apa yang tertulis untuk kita. Jadi, saya tidak terlalu risau tentang persaingan dengan artis-artis lain dalam industri hiburan negara kita.

“Pada masa sama, saya menjadikan artis-artis yang telah berjaya sebagai contoh dan inspirasi kejayaan untuk saya. Kalau mereka boleh capai kejayaan, kenapa bukan saya.

“Saya tahu saya memiliki keunikan tersendiri, diikuti genre lagu saya yang boleh menjadi kekuatan. Sementara usia masih muda, saya juga perlu memanfaatkan peluang untuk belajar banyak lagi perkara baru pada masa akan datang agar saya boleh mengukuhkan lagi nama dalam dunia hiburan,” katanya lagi.

Akhir kata, Bael0n tentunya berharap agar lagu ‘Frekuensi’ diterima baik oleh para pencinta muzik di Malaysia. Dia juga menyifatkan lagu terbaru itu sebagai satu ‘bayaran’ kepada lagunya ‘Di Sini’ sebelum ini yang hanya berdurasi satu minit.

“Saya harap lagu Frekuensi ini diterima ramai, lagu ini juga istimewa buat mereka yang pernah mendengarkan lagu-lagu saya sebelum ini. Lagu ini adalah hadiah untuk penyokong saya yang mendengar lagu ‘Di Sini’ sebelum ini. Walaupun ‘Frekuensi’ agak berbeza dengan lagu-lagu yang biasa orang dengar, tetapi saya harap ia mampu menjadi kekuatan yang tersendiri. Ianya istimewa di hati saya, semoga perkara sama dirasai para pencita muzik di luar sana.

“Semoga orang ramai menggunakan lagu ini sebagai trend dalam menghasilkan konten di media sosial dan sebagainya. Jangan lupa masukkan lagu ini di media sosial dan sebarkan kepada rakan-rakan.

“Apapun, interpretasi lagu ini adalah luas, orang ramai boleh ekspresikan penceritaannya dengan kisah cinta, orang yang kita sayang dan percaya, bakal suami atau isteri dan pelbagai lagi,” katanya menutup bicara.

Lagu ‘Frekuensi’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

The post Bael0n Tampilkan Keunikan Tersendiri Menerusi Single Baharu Frekuensi appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.