Ads Top

The Sara Sisters Kumpulan Pop Wanita Adik-Beradik Pertama Di Malaysia

Label hiburan popular tanah air, Rocketfuel Entertainment sekali lagi menerajui industri muzik tempatan dengan memperkenalkan sebuah kumpulan pop wanita yang terdiri daripada 4 adik-beradik di bawah naungan mereka yang dikenali sebagai ‘The Sara Sisters’.

Mungkin ramai yang telah mengenali The Sara Sisters sebelum ini sebagai bintang TikTok yang popular dan sering trending melalui konten-konten menarik yang pernah dihasilkan mereka semua.

The Sara Sisters yang kesemuanya berasal dari Kuala Lumpur terdiri daripada Sara Jasmin, 27, Sara Alia, 22, Sara Aqila, 21, dan Sara Qaleesya, 20.

“Alhamdulillah, terima kasih yang tidak terhingga buat pihak Rocketfuel kerana sudi menyunting kami 4 beradik untuk menjadi artis di bawah naungan mereka.

“Semuanya bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada tahun 2020 di mana kami sering menghasilkan video cabaran tarian di TikTok dengan mendapat banyak tanda suka sehingga mula dikenali ramai,” kata Sara Jasmin.

Kumpulan adik-beradik ini adalah yang pertama seumpanya di Malaysia kerana belum pernah ada sebuah kumpulan nyanyian dengan 4 orang bersaudara sekaligus.

“Ramai yang menyangka kami adalah quadruplet atau kembar 4 kerana memiliki raut wajah yang seakan-akan sama, namun hakikatnya setiap dari kami dilahirkan pada tahun yang berbeza.

“Mungkin kerana keistimewaan itulah kami menjadi perhatian sehingga dipelawa menjadi sebahagian dari keluarga besar Rocketfuel,” jelas Sara Alia.

Walaupun mereka mempunyai rupa yang seiras, masing-masing berperwatakan yang berbeza, Sara Jasmin lebih prihatin, manakala Sara Alia gemar berjenaka, Sara Aqila pula seorang yang happy-go-lucky, dan Sara Qaleesya mempunyai keyakinan yang tinggi.

“Kami sangat teruja dan tidak sabar untuk memperdengarkan single sulung yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Setakat ini, apa yang boleh saya kongsikan adalah semuanya bakal menjadi kejutan kerana kami mahukan sesuatu yang lain dari lain. Lagu pertama itu nanti bakal menjadi bayangan jenis muzik yang akan kami bawakan kelak,” kongsi Sara Aqila.

Selain bidang tarian dan nyanyian, The Sara Sisters sering menjadi duta jenama-jenama tempatan dalam mempromosikan produk mereka. 

“Kalau boleh, kami mahu betul-betul fokus pada bidang nyanyian terlebih dahulu sebelum mencuba bidang lain seperti lakonan, pengacaraan dan lain-lainnya.

“Sebagai kumpulan 4 beradik yang pertama di Malaysia, kami akan buktikan pada semua yang kami juga mampu memberi saingan sihat pada girl group yang sedia ada,” terang Sara Qaleesya.

Menurut En. Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment, “The Sara Sisters mempunyai daya tarikan yang tersendiri, selain bersaudara, mereka mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan juga tarian, dan sekiranya digilap, mereka mampu pergi jauh.

“Semoga ini menjadi permulaan yang baik bagi mereka dalam mewarnai industri muzik tempatan dan menjadi kumpulan M-pop yang terkenal pada satu hari nanti.

Akhiri Sara Jasmin: “Kami akan berikan yang terbaik dalam single pertama kami nanti. Terima kasih kepada peminat yang memberi sokongan terhadap kami dan mana yang belum mengenali, jangan lupa untuk mengikuti kami di laman sosial. – KopiPlanet.com

The post The Sara Sisters Kumpulan Pop Wanita Adik-Beradik Pertama Di Malaysia appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.