Tayangan Perdana Telefilem Rompak Dihadiri Lebih 250 Pemegang NFT
Tayangan Perdana telefilem NFT (Non-Fungible Token (NFT)) pertama Malaysia, terbitan 4Ward Pictures yang bertajuk ROMPAK telah berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu. Dihadiri oleh lebih dari 250 orang pemegang NFT yang mula membanjiri perkarangan panggung wayang seawal jam 4 petang, barisan Instafamous dan TIK TOKERS dan ramai lagi yang menyokong telefilem ini.
ROMPAK, sebuah filem arahan Ghaz Abu Bakar, bakal ditayangkan di ASTRO FIRST (saluran 480) bermula 16 Jun 2022 (Khamis) ini dibintangi Zizan Razak, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, MK K-Clique, Azhar Sulaiman, Ezlynn dan ramai lagi.
Dimulakan dengan gimik iklan perdana di Digital LED Billboard Elite Pavilion di perkarangan utama Pavilion Kuala Lumpur, telefilem Rompak secara eksklusif menayangkan trailer telefilem ini bersama dengan lirik video runut bunyi yang berjudul ‘Tragi$’ nyanyian TujuLoca, MK K- Clique dan Chubb-E pada malam yang sama.
Dituruti dengan sebuah gimik “Flashmob” yang melibatkan 10 orang penari dan juga 8-piece Brass Band juga turut dipersembahkan pada malam tersebut yang mendapat perhatian lebih dari 500 orang pengunjung segitiga emas Kuala Lumpur, Bukit Bintang. Respon dari barisan para artis yang turut sama menonton bersama tayangan perdana tersebut merasa teruja dengan sambutan dari penyokong telefilem ini.
Rompak berkisarkan Ashraf (Zizan Razak) yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan Sofea (Siti Khadijah Halim), mempertaruhkan semua wang simpanannya dalam satu skim pelaburan cepat kaya tanpa menyedari ianya merupakan skim penipuan.
Setelah menyedari beliau ditipu, Ashraf mula mencari ketua sindiket ‘scam’ dan dipertemukan dengan mangsa- mangsa ‘scam’ yang lain iaitu Daniel (MK K-Clique), Sarah (Ezlynn Ariffin), dan Pakcik Kassim (Azhar Sulaiman). Ashraf juga didatangi seorang gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Nadia (Daiyan Trisha) yang mengaku pernah bekerja dengan Farouk (Tony Eusoff), ketua sindiket ‘scam’. Bermula misi ‘merompak’ Farouk dan sindiket ‘scam’, yang dibantu oleh Nadia.
Namun dalam keghairahan Ashraf dan rakan-rakan barunya melaksanakan misi ‘merompak’ ini, tiada siapa menyangka rupanya ‘ada duri dalam daging’, yang bakal menghancurkan kepercayaan, persahabatan dan perancangan mereka.
Selepas tayangan perdana telefilem yang mendapat sambutan positif dari penonton yang menonton filem ini, kebanyakan mereka memuji hasil tangan Ghaz Abu Bakar ini. Mereka tidak sempat bosan dan menyukai karakter Zizan Razak selaku Ashraf yang bersahaja serta plot twist yang memang tidak diduga. Bukan satu tapi, dua plot twist yang digarapkan di dalam telefilem ini. Pastinya, ramai yang tidak sabar ingin menonton telefilem NFT pertama Malaysia ini yang akan ditayangkan di Astro First pada 16 Jun ini.
Pada 30 Mei lalu juga merupakan tarikh tayangan perdana trailer dan juga lirik video runut bunyi TRAGIS, gabungan TujuLoca, MK K-Clique dan Chubb-E di laman YouTube 4Ward TV. Telefilem ROMPAK sedang rancak menjalankan pelan rangka promosi ini bermula 28 Mei yang lalu dan banyak aktiviti bakal mereka jalankan. Untuk sebarang promosi terkini, boleh dapatkan update terkini menerusi tanda pagar, #ROMPAKKASIJADI
4ward Pictures berterima kasih di atas kerjasama daripada pihak Intraday dan Konda Kondi Studios yang turut bekerjasama menerbitkan filem Rompak. – KopiPlanet.com
The post Tayangan Perdana Telefilem Rompak Dihadiri Lebih 250 Pemegang NFT appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: