Ads Top

Sedang Sarat Mengandung, Raja Ilya Masih Sempat Rakam Lagu Hindi Berjudul Zara Zara

Meskipun sedang sarat mengandung 32 minggu, ternyata pelakon Raja Ilya masih sempat untuk merakamkan semula lagu cover hindustan yang bertajuk Zara Zara.

Raja Ilya berkata, dia menerima tawaran merakamkan semula lagu berkenaan dengan versi tersendiri daripada penerbit muzik dan komposer dari Malaysia, Krishinthen Shanmugam sekitar September tahun lalu.

“Kalau diikutkan agak lama juga saya fikir untuk menyanyikan lagu ini atau tidak, apatah lagi saya kini sedang berbadan dua dan bukanlah penyanyi profesional.

“Selama ini pun saya tak pernah menyanyikan lagu Bollywood serra tak yakin dengan diri sendiri. Namun komposer itu yakin saya boleh melakukannya. Malah dia siap menghantar demo lagu itu untuk saya cuba nyanyikan,” katanya.

Lagu berbahasa Hindi dendangan asal nyanyian penyanyi wanita bernama Bombay Jayashri itu pernah dijadikan runut bunyi filem Rehnaa Hai Terre Dil Mein diterbitkan pada tahun 2001 selain dibintangi Madhavan, Saif Ali Khan dan Dia Mirza.

Pada masa sama, isteri kepada Trent Garret itu, akhirnya memberi persetujuan kepada komposer terbabit kerana berasa tidak mampu untuk menolaknya lagi.

“Setelah berfikir panjang, saya akhirnya bersetuju dan mencabar diri. Malah, saya akui jatuh hati dengan lagu itu yang diakui sangat popular dan digemari ramai. Cuma proses rakaman tidak berjalan dengan mudah. Lagipun saya di Perth, Australia dan komposer itu di KL. Tapi dengan kemajuan teknologi, proses rakaman itu tetap berjalan seadanya.

“Tak saya nafikan, banyak juga kesilapan dilakukan semasa rakaman. Lalu, komposer kena bimbing saya banyak kali untuk memperbetulkan kelemahan dan kekurangan. Termasuklah cara sebutan bahasa Hindi untuk lagu itu selain tempo,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Raja Ilya memberitahu bahawa proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ terbitan Vineyard Records itu juga memakan masa agak lama.

“Selepas melalui beberapa proses, rakaman suara saya itu dihantar ke sebuah studio muzik di United Kingdom, London untuk diadun secara profesional. Ketika itu, saya semakin berdebar kerana pelbagai perasan mencengkam saat proses lagu itu menuju kepada penamatnya.

“Komposer itu memberitahu versi bahasa Tamil lagu itu juga akan dinyanyikan selebriti Bollywood bernama Sophie Choudhry. Saya sempat ‘google’ namanya di internet dan ternyata Sophie penyanyi profesional,” katanya.

Raja Ilya berkata akhirnya bulan lalu, rakaman akhir lagu berkenaan sudah siap diperdengar kepadanya.

“Saya jadi bertambah cuak nak memperdengarkannya kepada peminat dan pengikut di media sosial. Maklumlah, saya bukan penyanyi profesional.

“Tapi sejak saya memuat naik ‘teaser’ lagu itu, ramai yang memuji dan tak sabar untuk mendengar versi penuh. Saya bagaimanapun tawakal saja dan anggap ini hanya percubaan suka-suka. Kalau ada yang suka, bonus. Kalau sebaliknya, saya reda,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Sedang Sarat Mengandung, Raja Ilya Masih Sempat Rakam Lagu Hindi Berjudul Zara Zara appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.